Jumaat, April 29, 2011

KURANG NILAI KENDIRI JADI PENDORONG BUAT RAWATAN KECANTIKAN


29 April 2011

KECANTIKAN adalah subjektif dan setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenainya. Ada yang menyukai wanita montel, bermata sepet, berhidung besar malah pandangan mengenai cantik itu berbeza-beza mengikut tafsiran setiap orang.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Lim Abdullah, individu yang melakukan rawatan kecantikan sebenarnya mempunyai kurang nilai kendiri sehingga mereka merasakan tidak sempurna walaupun ketidaksempurnaan itu hanya lima peratus.

Golongan ini biasanya berusaha mencantikkan diri dengan cara melakukan rawatan kecantikan menerusi ubat-ubatan atau pembedahan.

Wanita seharusnya menerima setiap kelebihan dan kekurangan pada diri mereka dan menerima hakikat walau secantik mana sekalipun mereka, pada akhirnya kecantikan dalaman paling utama.

“Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Perhubungan yang baik tidak hanya bersandar kepada fizikal semata-mata. Misalnya lelaki memang suka memandang wanita cantik namun pada akhirnya perhubungan itu kekal dan bahagia disebabkan perasaan sayang, hormat menghormati dan sifat bertanggungjawab, bukanlah kepada kecantikan saja,” katanya.

Seharusnya wanita berkenaan perlu sedar, lelaki yang berdampingan dengan mereka hanya sekadar suka-suka dan bukannya untuk dijadikan pasangan hidup.

Apatah lagi kos untuk rawatan kecantikan ini sangat tinggi dan tidak semua lelaki sanggup mengeluarkan belanja untuk pasangan mereka. Jika ada pun mungkin setelah bergelar suami isteri.

“Bagaimanapun, setiap rawatan mempunyai kesan tertentu dan seharusnya mereka menilai daripada segi kewangan, kesan rawatan dan sama ada dibolehkan agama atau tidak. Jangan hanya melakukannya disebabkan terpengaruh kepada sesuatu yang akhirnya memudaratkan diri,” katanya.

Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman, orang ramai yang ingin melakukan rawatan kecantikan atau mengambil sebarang ubat melangsingkan badan harus memeriksa terlebih dulu pusat rawatan itu sama ada bertauliah atau tidak.

Ini dapat dilihat menerusi sijil dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mempunyai doktor pakar dalam bidang berkaitan.

“Kegagalan pengguna mendapatkan maklumat jelas mengenai rawatan akan menyusahkan mereka sekiranya berlaku masalah yang tidak diingini.

“Banyak aduan diterima daripada pengguna yang melakukan rawatan di pusat kecantikan tidak bertauliah dan mereka terpengaruh untuk menjadi cantik dengan segera tanpa memikirkan kesannya,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, wanita yang menghadapi mangsa akibat ubat palsu atau kecederaan pada fizikal boleh membuat aduan kepada Fomca dan KKM sebelum tindakan diambil. Selepas itu, baru pihak kementerian membuat serbuan ke premis berkenaan. Tindakan mungkin akan diambil dengan menarik sijil pendaftaran perniagaan.

Tambah Yusof, apa yang menjadi masalah kini adalah kebanyakan pusat rawatan berkenaan sukar dikesan kerana pemiliknya menggunakan sijil palsu dan pengguna berhadapan masalah tidak sanggup membuat aduan.

“Walaupun Fomca ada menerima aduan, ramai tidak sanggup tampil mendedahkan identiti mereka disebabkan rasa malu. Mereka hanya mendiamkan diri dan membuat rawatan susulan di hospital atau klinik bertauliah malangnya trauma daripada kejadian itu akan menghantui hidup mereka,” katanya.

Justeru, Mohd Yusof menasihati pengguna terutama wanita supaya lebih berhati-hati dengan setiap paparan iklan di media cetak atau elektronik. Sebaiknya pergi sendiri ke pusat rawatan atau klinik yang menjalankan rawatan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Paling penting, pilih doktor bertauliah dan berpengalaman supaya mereka tidak menghadapi masalah di kemudian hari akibat rawatan yang bukan saja menyebabkan kecacatan malah kehilangan nyawa.

Tiada ulasan: