Selasa, Januari 18, 2005

Ahli Parlimen BN ragu dengan jaminan harga air tidak dinaikkan

Beh Lih Yi

Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) kurang yakin dengan jaminan kerajaan bahawa kadar harga air tidak akan dinaikkan apabila kerajaan pusat mengambil alih pengurusannya daripada kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia.

Mereka melahirkan pandangan tersebut di sidang khas di Dewan Rakyat hari ini ketika membahas Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 2004. Pindaan utama membabitkan cadangan untuk memindahkan kuasa merawat, membekal dan mengebil bekalan air, kepada kerajaan pusat.

Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) bertanya bagaimanakah kerajaan dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dapat memastikan kadar harga air tidak akan dinaikkan.

Sambil merujuk kepada kenaikan 10 peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (Plus), beliau berkata, walaupun orang ramai menentangnya, tetapi kerajaan masih membenarkannya walaupun ia mempunyai kuasa untuk campurtangan dan mengkaji semula kadar bayaran tol tersebut.

Ahli Parlimen yang lantang bersuara itu berkata, orang ramai telah ‘diperbodohkan’ oleh kejadian tersebut.

Oleh itu, katanya, banyak alasan boleh digunakan untuk menaikkan kadar harga air pada masa depan.

Malah, katanya, tidak seorang pun menteri yang ‘berani’ memberi jaminan – sewaktu majlis taklimat kepada ahli Parlimen semalam – bahawa kadar bayaran air tidak akan dinaikkan.

Syarikat konsesi air


Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik memberitahu pemberita semalam bahawa kerajaan tidak akan menaikkan kadar harga air selama sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurutnya, sebarang perubahan pada kadar tersebut hanya akan diputuskan selepas tempoh berkenaan dan selepas syarikat-syarikat konsesi air dapat membuktikan kecekapan mereka mencapai tahap yang ditetapkan oleh Span.

Menteri itu juga mengingatkan syarikat-syarikat konsesi air bahawa kerajaan tidak akan membayar pampasan atau ‘menyelamatkan’ mereka jika operasi mereka gagal.

Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam) juga ragu terhadap jaminan itu memandangkan hutang kerajaan negeri kini berjumlah berbilion ringgit.

Sebagai contoh, katanya, Kerajaan Negeri Selangor telah memohon pinjaman berfaedah rendah berjumlah RM2 juta daripada kerajaan pusat untuk membayar sebahagian hutangnya kepada Puncak Niaga Holdings Bhd.

Oleh itu, katanya, bagaimana boleh mereka yakin sepenuhnya bahawa harga air tidak naik (mendadak) sedangkan hutang tersebut belum dijelaskan lagi.

Sehingga ini, kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung berhutang sebanyak RM7.5 bilion dalam pengurusan air daripada kerajaan pusat.

Liow Tiong Lai (BN-Bentong) yang turut berkongsi kebimbangan yang sama, meminta kerajaan supaya mendedahkan sepenuhnya rancangannya dalam mengendalikan hutang RM7.5 bilion itu dan bertanya sama ada Span boleh menyerap hutang-hutang tersebut.

Sambil mengalu-alukan penubuhan Span, beliau juga mahu suruhanjaya itu menguatkuasakan sepenuhnya kuasanya dalam mengawasi kadar harga air di negara ini.

Menyentuh mengenai Span, Mohamed Razali Che Mamat (BN-Kuala Krai) menggesa kerajaan supaya melantik pakar-pakar pengurusan air untuk menganggotai suruhanya tersebut bagi berkongsi kepakaran profesional mereka.

Beliau tidak mahu Span menjadi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kini dikritik hebat berikutan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lima negeri Khamis lalu.

Menurutnya, tidak seorangpun pengarah TNB yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut (bekalan elektrik).

Penyelesaian terbaik

Sementara itu, ketika membentangkan rang undang-undang tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, kerajaan-kerajaan negeri kini menghadapi kesukaran untuk menjelaskan hutang RM7.5 bilion itu.

Menurutnya, walaupun diberi peruntukan besar, tetapi ianya tidak mencukupi untuk menampung kos operasi pengurusan air dan modal yang besar diperlukan untuk menaiktaraf infrastrukturnya.

Oleh itu, katanya, pemindahan kuasa mengurus air – daripada kerajaan negeri kepada kerajaan pusat – adalah ‘jalan terbaik’ untuk mengatasi masalah-masalah yang berpanjangan dalam industri tersebut seperti kehilangan pendapat dan kawalselia yang lemah.

Ini tidak mengambilkira kesan kewangan yang besar terhadap kerajaan pusat, katanya tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Selain mengambil alih pengurusan air, Perlembagaan Persekutuan juga akan dipinda untuk menaikkan umur persaraan hakim, daripada 65 kepada 66 tahun dan untuk memulihara warisan negara oleh kerajaan negeri dan pusat.

Menurut Radzi lagi, pindaan terhadap umur persaraan para hakim itu selaras dengan pindaan umur persaraan kakitangan awam, daripada 55 kepada 56 tahun, yang berkuasa pada bulan Oktober 2001.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan oleh Dewan Negara Rabu ini.

Tiada ulasan: