Jumaat, Januari 14, 2005

KENAPA KITA SANGSI KEMPEN MAKAN IKAN

Oleh Pak Ngah (Laman M@RHAEN)


Apalah yang ada pada pemikiran kita rakyat marhaen ini, bila dikatakan ikan di Pulau Pinang dan persekitarannya tidak sesuai dimakan, kita tak makanlah. Bagi kita Tsunami bukannya menjadi asas pertimbangan tetapi ada perkara lain yang lebih utama. Sekali pun berbagai gimik dan promosi dijalankan oleh Kerajaan yang memerintah sekarang ini ianya masih sukar diterima kerana ianya lebih merupakan gimik politik dan tujuan perniagaan sahaja. Perhatikan tajuk berita hari ini:
Sesi yakinkan orang ramai makan ikan
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Para pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diketuai oleh Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan `turun padang' untuk sesi makan ikan dan hasil laut lain.

Ia bagi meyakinkan orang ramai bahawa hasil laut terutama ikan selamat dimakan walaupun selepas bencana tsunami.

Sesi tersebut akan dilakukan lusa di satu lokasi yang akan ditetapkan oleh pihak penganjur.

Muhyiddin berkata, beliau bersama para pegawai Kementerian itu tidak akan teragak-agak untuk makan hasil laut yang ditangkap oleh para nelayan di negara ini kerana ia adalah selamat dan bebas daripada apa yang dianggap oleh sesetengah pihak.

"Jika Menteri perlu turun untuk makan ikan goreng bagi meyakinkan orang ramai maka saya tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan khabar angin mengenai ikan di laut yang dikatakan memakan mayat mangsa bencana tsunami.
Menurutnya, khabar angin itu telah menyebabkan jualan ikan merosot di pasaran kerana orang ramai bimbang selepas mendengar khabar angin tersebut.

"Jualan ikan di pasar borong Kuala Lumpur merosot sebanyak 50 peratus,'' katanya.

Walau pun khabar angin tersebut tiada sebarang kebenarannya, rakyat akan terus beranggapan begitu memandang begitu besarnya manusia yang terhayut dan hilang di lautan yang luas ini akibat tsunami. Andaian dan anggapan tersebut agak sukar untuk dihapuskan tetapi yang nyata kenapa rakyat tidak mahu makan ikan mungkin disebabkan oleh perkara tersebut di bawah ini, sudah lupakah mereka? Tsunami tidak menghilangkannya sebaliknya menyebar luaskan lagi. Perhatikan berita berikut:
Penyelidik akui tidak berani makan ikan ternak di perairan Pulau Pinang
PULAU PINANG 20 Dis. - Seorang penyelidik pencemaran laut mengakui beliau sendiri tidak berani memakan ikan yang diternak di perairan pulau ini termasuk kerang yang diternak di kawasan Kuala Juru dekat sini kerana dikenal pasti mengandungi bakteria.
Ingatkah lagi tentang pencemaran najis tertinggi di Asia Tenggara, kalau sudah lupa diperlihatkan kembali petikan dari akhbar Utama tersebut:
Pencemaran najis antara tertinggi di Asia Tenggara
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kajian dua universiti termasuk sebuah dari Jepun mendapati tahap pencemaran akibat najis dan kumbahan di perairan Pulau Pinang merupakan antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Pauzi Zakaria berkata, kajian pada 2003 oleh UPM dan Universiti Tokyo itu mendapati kerang, kepah, kupang dan lokan di kawasan tersebut didapati tidak selamat dimakan kerana mempunyai kadar kepekatan kimia yang tinggi.

"Dengan menggunakan penunjuk pencemaran najis manusia `fecal sterol', didapati kadar pencemaran di perairan Pulau Pinang adalah amat tinggi,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengurus Besar Alam Sekitar Malaysia, Dr. Abdul Rani Abdullah semalam, yang menyatakan kerang, kepah, kupang dan lokan dari perairan Pulau Pinang berisiko tinggi kepada manusia kerana hidup dalam air dicemari oleh najis dan kumbahan yang di alir terus ke laut.

Kelmarin, Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, Pulau Pinang akan mendapat sistem pembentungan dan rawatan air moden bernilai RM468 juta.

Menurut Mohd. Pauzi, kadar pencemaran yang tinggi itu berlaku kerana ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab membuang najis dan kumbahan secara terus ke sungai dan laut tanpa sebarang rawatan terlebih dahulu. "Kajian kami turut mendapati Sungai Pinang di Pulau Pinang merupakan sungai kedua paling tercemar di seluruh Malaysia selepas Sungai Klang,'' katanya.

Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Ibrahim Komoo berkata, langkah kerajaan membina sistem pembentungan dan rawatan air moden adalah tepat pada masanya. "Tanpa sistem pembentungan yang baik, pencemaran di kawasan perairan laut akan berlaku mengakibatkan hidupan-hidupan laut dijangkiti bakteria dan tidak selamat dimakan,'' ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengambil tindakan segera mengatasi masalah di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mengalami pencemaran yang teruk.

Sementara itu Pengasas Yayasan Anak Warisan Alam, Khadijah Abdul Rahman berkata, isu hasil laut yang tercemar hanya akan mengakibatkan negara kekurangan makanan-makanan yang berzat dan terpaksa bergantung hasil laut yang diimport.

"Masyarakat Pulau Pinang perlu bersepakat dalam memulihkan kembali persekitaran dan menghentikan pencemaran yang sedang berlaku,'' katanya.

Yang memaklumkan kepada kita bukan nelayan Pantai atau Ahli Politik tetapi para pakar yang diperakui didalam bidang ini. Apakah kita ingin mendengar kata-kata dari Ahli Politik, Peniaga atau Pakar Hidupan Laut. Umpamakan kalau kita sakit, apakah kita akan mendengar kata-kata Ahli Politik, Peniaga atau Ahli yang Pakar ia itu Doktor. Bagi Pak Ngah tentu memilih doktor.

Tiada ulasan: