Jumaat, Januari 14, 2005

Kekurangan diesel di Sabah meruncing

KOTA KINABALU, 14 Jan (Hrkh) - PAS Sabah menggesa Kerajaan Negeri menyelesaikan segera krisis kekurangan minyak diesel yang semakin meruncing di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Ustaz Anuar Ali berkata kekurangan bahan bakar yang semakin serius itu telah menimbulkan pelbagai masalah dan kebimbangan di kalangan pengguna terutama yang terlibat secara langsung dengan kegiatan ekonomi.

Permasalah itu bukan sahaja dirasai oleh pengguna kenderaan darat tetapi turut dirasai oleh para nelayan dan petani.

“Kita mahu agar pihak kerajaan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat dan pengguna di negeri ini,” kata Anuar ketika mengulas mengenai isu berkenaan yang mencetuskan pelbagai kesulitan kepada para pengguna bahan bakar tersebut.

Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Keningau dan beberapa daerah lain telah dikenal pasti menghadapi kekurangan teruk diesel di stesen-stesen minyak masing-masing sejak seminggu lalu.

Di Sandakan sahaja dikhuatiri kira-kira 500 buah lori mungkin tidak dapat digunakan berikutan kekurangan bahan bakar itu di semua stesen minyak sejak minggu lalu.

Sementara di Lahad Datu dikatakan kira-kira 100 buah lori 10 tan di letakkan di sekitar stesen-stesen minyak bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem quota peruntukan diesel oleh kerajaan yang mengakibatkan tercetusnya masalah tersebut.

Mengikut sistem itu, stesen-stesen minyak hanya diperuntukkan antara 170,000 hingga 200,000 liter diesel setiap hari sebagai langkah untuk mengelakkan penyeludupan dan penjualan haram bahan bakar tersebut.

Menurut Anuar, jumlah yang diperuntukkan itu amat tidak mencukupi bagi keperluan pengguna di negeri ini.

Ini kerana katanya, penguasaan penggunaan bahan bakar oleh pengguna di negeri ini sehingga 60 ke 70 peratus berbanding bahan bakar lain.

Keadaan ini berlaku ekoran kedudukan geografi Sabah yang luas dan bergunung ganang.

Anuar turut mendakwa, sesetengah pengusaha membekalkan minyak diesel lebih daripada yang dibenarkan kepada kenderaan-kenderaan industeri yang mana kenderaan tersebut sepatutnya mendapatkan bekalan di stesen khas perindustrian.

Akibatnya kenderaan-kenderaan kecil seperti bas sekolah, pick-up, kenderaan perkhimatan awam dan kenderaan untuk kegunaan ekonomi yang memerlukan menghadapi masalah kehabisan bekalan.

Boleh dikatakan hampir setiap petang menyaksikan berpuluh-puluh kenderaan yang menggunakan bahan bakar itu terpaksa berbaris panjang menunggu giliran di stesen-stesen minyak dikawasan berkenaan yang menghadapi masalah kekurangan bekalan.

Suasana ini turut menimbulkan kesesakan di stesen minyak dan menyukarkan kenderaan lain yang mengunakan bahan petrol untuk mendapatkan bekalan.

Sementara di Keningau, kanak-kanak sekolah menjadi mangsa apabila mereka terpaksa datang lewat kesekolah berikutan kenderaan (bas sekolah) mereka terpaksa berbaris panjang bersama kenderaan lain untuk mendapatkan bekalan di stesen-stesen minyak.

Manakala di Sandakan pula, dilaporkan seorang pemandu dalam lingkungan umur 25 tahun telah melepaskan geramnya dengan memecahkan alas meja kaca di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna, yang kecewa mendapatkan bekalan diesel walaupun sudah beberapa kali berbaris panjang di salah sebuah stesen minyak di daerah itu.

Anuar mahu agar pihak kerajaan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius terhadap penjualan bahan bakar itu bagi memastikan tidak berlakunya kes penyeludupan atau pengusaha yang mengambil kesempatan menjualnya kepada pihak lain.

“Pada saya, perlaksanaan sistem quota yang dikatakan bertujuan mengawal penyeludupan perlu dikaji semula selain penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih serius oleh kerajaan," katanya.

Beliau menambah sekiranya keadaan terus tidak terkawal, dibimbangi akan menimbulkan seribu satu macam lagi masalah terutama sekali kegiatan ekonomi rakyat pastinya akan terjejas. - SAM/zs

Tiada ulasan: