Khamis, Januari 06, 2005

FOMCA Serah Memorandum Bantah Kenaikan Tol Kepada PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) akan menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenaikan kadar tol sebanyak 10 peratus kepada Pejabat Perdana Menteri pada petang Jumaat, kata Pengarah Komunikasi FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman.

Mohd Yusof berkata antara kandungan memorandum itu ialah cadangan FOMCA untuk mendesak kerajaan membatalkan kenaikan kadar tol 10 peratus di Lebuhraya Utara-Selatan yang dijadual bermula 1 Jan depan, dan menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perjanjian konsesi yang sedia ada.

"FOMCA adalah saluran untuk rakyat menyuarakan hak mereka, jadi memorandum bantahan itu merupakan pandangan rakyat (melalui FOMCA) mengenai isu kenaikan tol 10 peratus yang membebankan semua pihak ini," kata Yusof kepada Bernama selepas sidang media kempen rakyat bagi mengutip sejuta tandatangan untuk membantah kenaikan kadar tol 10 peratus di pejabat FOMCA, Petaling Jaya, di sini.

Turut hadir ialah Presiden FOMCA, Marimuthu Nadason dan Timbalan Setiausaha Agung FOMCA, Indrani Thuraisingham.

"Melalui kempen ini rakyat berpeluang menyuarakan pandangan mereka dengan menurunkan tandatangan melalui borang yang diedarkan ke semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," kata Yusof yang turut memaklumkan bahawa kempen itu akan berlangsung selama sebulan bermula Jumaat.

"Mereka (rakyat) boleh menyatakan sokongan terhadap kempen dengan menghantar e-mel ke alamat toll@fomca.org.my, khidmat pesanan ringkas (SMS) 012 dan 019 atau melayari laman web online www.petitiononline.com/no2hike/petition.html," dan menambah kata borang kempen juga boleh dimuat turun dari laman web, www.fomca.org.my.

Terdahulu dalam sidang media, Marimuthu berkata kenaikan kadar tol itu adalah tidak wajar berdasarkan kepada empat faktor -- kenaikan tol yang dilihat akan membebankan pengguna, kualiti infrastruktur dan perkhidmatan Lebuhraya Utara-Selatan yang tidak memuaskan, ketiadaan ketelusan dalam perjanjian konsesi dan ketiadaan undang-undang BOT (Built-Operate-Transfer) dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan pihak swasta serta halangan Akta Rahsia Rasmi 1986 yang menghadkan tahap ketelusan perjanjian projek-projek kerajaan.

"Kenaikan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 10 peratus akan membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya.

FOMCA akan mendapat maklumatbalas kerajaan terhadap memorandum itu selepas mesyuarat kabinet Rabu depan, katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: