Jumaat, Januari 14, 2005

Lembah Kelang dan selatan tanahair terputus bekalan elektrik

Roshan Jason

Separuh Semenanjung Malaysia terputus bekalan elektrik selama satu jam hari ini mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas yang teruk di bandar-bandar utama, manakala beribu-ribu penumpang komuter terkandas.

Bekalan elektrik terputus pada jam 12.20 di wilayah tengah dan selatan, menjejaskan bekalan ke Lembah Klang, Seremban, Melaka dan Johor Bahru.

Bagaimanapun, bekalan pulih semula secara berperingkat-peringkat mulai jam 1.25 petang.

Sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan stesen LRT telah mengosongkan penumpang sebelum menutup terus stesen-stesen terbabit. Menurut Putra LRT, perkhidmatannya pulih pada jam 4.45 petang.

Perkhidmatan telefon talian dan telefon bergerak turut terjejas dan pusat pengendali kerosakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, perkhidmatan antara bandar KTM terjejas hampir tiga gam, mengakibatkan 24 komuter tidak dapat bergerak. Perkhidmatan tersebut hanya pulih semula pada jam 3 petang dan tiada penumpang yang dilaporkan cedera.

Sistem sokongan

Manakala perkhidmatan Express Rail Link ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur juga terhenti berikutan ketiadaan bekalan elektrik, tetapi kini sudah disambung semula.

Bagaimanapun, lapangan tersebut, pelabuhan-pelabuhan utama dan hospital tidak terjejas kerana mereka mempunyai sistem sokongan sendiri.

Bernama melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah menerima banyak laporan mengenai orang terperangkap dalam lif di sekitar Kuala Lumpur, termasuk di bangunan pejabat kerajaan dan swasta.

Pihak Tenaga Nasional Berhad, ketika dihubungi, berkata bekalan elektrik pulih semula di semua kawasan terbabit pada jam 4.30 petang. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan kawasan yang terbabit.

Bagaimanapun, kawasan di utara semenanjung termasuk Ipoh dan Pulau Pinang tidak mengalami masalah bekalan elektrik.

Pada 3 Ogos 1996, kerosakan yang sama berlaku mengakibatkan seluruh negara bergelap. Kerosakan yang berlaku selama 14 jam itu mengakibatkan kerugian berbilion-bilion ringgit.

Dua tahun lalu, kejadian yang sama berlaku di lima negeri di utara Semenanjung yang mengakibatkan kerugian di antara RM20 juta dan RM30 juta.

kekurangan bekalan

Pada bulan September 1992, sembilan daripada 13 negeri di Semenanjung terputus bekalan elektrik selama dua hari berikutan Tenaga Nasional tidak dapat memenuhi permintaan yang meningkat secara mendadak.

Dalam sidang akhbar petang tadi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Abdul Hadi Mohd Deros memberitahu reporters bahawa bekalan elektrik dapat dipulihkan di semua kawasan terbabit pada jam 2.50 petang.

Bagaimanapun, tinjauan malaysiakini mendapati, sehingga jam 4.20 petang tadi, bekalan elektrik ke beberapa kawasan perumahan di Subang Jaya dan Bandar Sunway – kedua-duanya di Selangor – masih belum pullih.

Menurut Hadi, gangguan bekalan elektrik itu bermula pada jam 12.16 tengah hari dan pulih sepenuhnya dua setengah jam kemudiannya.

Katanya, gangguan berpunca daripada masalah di stesen Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Selangor, mengakibatkan berlaku kekurangan bekalan sebanyak 1700 megawatt.

Hadi berjanji akan melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut, tetapi tidak dapat menyatakan punca sebenar masalah itu.

Pampasan

Hadi bagaimanapun enggan menyatakan jumlah kerugian yang dialami oleh TNB akibat gangguan tersebut, tetapi bersedia menjawab “soalan-soalan teknikal sahaja”.

Beliau juga enggan menyatakan sama ada TNB akan membayar pampasan kepada syarikat, industri atau individual yang mengalami kerugian akibat kejadian tersebut.

Hadi bagaimanapun berkata, beliau akan mengadakan satu lagi sidang akhbar di KLIA pada jam 11.30 malam ini apabila Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Che Khalib Mohamad Noh pulang dari Cina.

“Apa berlaku mempunyai kepentingan negara dan oleh itu, perdana menteri dan menteri tenaga, air dan komunikasi telah diberi taklimat mengenainya,” kata Hadi ketika menjawab panggilan telefon daripada Timbalan Perdana Menteri ketika sidang akhbar itu berlangsung.

Ditanya mengapa orang ramai tidak dimaklumkan menngenai punca sebenar gangguan bekalan elektrik hari ini, Hadi berkata TNB tidak menyembunyikan apa-apa maklumat tetapi beliau perlu mengadakan siasatan terperinci terlebih dahulu, sebelum mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Beliau juga berkata, pihaknya cuba mendapatkan stesen radio untuk menyiarkan laporan mengenai gangguan tersebut tetapi berlaku kesesakan talian telefon dan komunikasi yang lain.

Hadi berkata, pihaknya akan mendapatkan perkhidmatan “pihak ketiga” – sepertimana dalam kejadian pada tahun 1996 – untuk meningkatkan sistem yang digunakan sekarang bagi memastikan kejadian yang sama tidak akan berulang.

Tiada ulasan: