Jumaat, Jun 23, 2006

Kenaikkan harga minyak, elektrik beri padah pada rakyat

Wed | Jun 21, 06 | 01:57:21 PM
Oleh Nabila Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan tarif elektrik mula menunjukkan padah khususnya kepada rakyat di negara ini.

Pengarah Komunikasi Fomca, Yusof Abdul Rahman berkata, sebelum ini persatuan pengedar beras bercadang untuk menaikkan harga beras sebanyak 5 peratus disebabkan oleh tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak dan tarif elektrik.

"Semuanya ini berpunca daripada kerajaan kerana kenaikan minyak dan tarif elektrik menyebabkan kos pengeluaran mereka meningkat.

"Walaupun kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga beras tetapi persatuan pengguna takut tekanan daripada pengedar akan memaksa kerajaan menaikkan harga beras,"jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini, mendorong pengusaha untuk mengambil kesempatan di atas tindakan kerajaan untuk menaikkan harga barang.

"Kalau perkara ini berterusan apa yang menjadi masalah ialah beban yang ditanggung oleh pengguna semakin teruk terutama sekali bagi golongan miskin,"katanya. - mks.

Selasa, Jun 20, 2006

Tidak setuju cadangan Fomca

SAYA tertarik dengan cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya harga gula dinaikkan sebagai langkah mengatasi krisis gula di pasaran.

Saya juga pengguna. Adakah saudara Presiden Fomca, Marimuthu berasakan idea anda mewakili seluruh pengguna di Malaysia? Saya rasa tidak.

Ada kebaikan dan keburukannya jika harga gula dinaikkan. Ada kemungkinan bekalan akan pulih seperti sedia kala selepas cadangan ini dilaksanakan, tapi perkara yang sebaliknya juga tidak mustahil boleh berlaku.

Malah, saya melihat kita seolah-olah akur pada kehendak pemborong yang menyorokkan gula. Adakah ini cara terbaik yang dikatakan boleh menyelesaikan masalah berkenaan?

Selain itu, kesan lain yang mungkin akan timbul selepas ini adalah kenaikan harga barang lain ekoran daripada kenaikan harga gula.

Akibatnya, semua barangan yang berasaskan gula akan turut mengalami kenaikan harga dalam sekelip mata seperti kek, kuih, roti, air minuman dan lain-lain.

Sanggupkah rakyat menanggung beban ini selepas harga petrol dinaikkan 30 sen baru-baru ini dan tidak lama lagi kadar tarif elektrik pula akan naik sedangkan gaji tidak pernah naik sejak sekian lama.

Mungkin mereka yang mewah tidak berasa sangat akibatnya tetapi bagi golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai lebih tertekan.

Siapakah yang akan membela nasib golongan ini jika bukan pemimpin yang dipilih oleh mereka sendiri?


NUREF SALLEH,
Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Surat & Emel
Berita Harian
20 Jun 2006

Tanpa gula kita boleh hidup

KETIKA banyak persatuan pengguna mendesak orang ramai supaya memboikot gula, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) sebaliknya mencadangkan agar harga gula dinaikkan.

Cadangan kenaikan sebanyak 30 sen daripada harganya sekarang iaitu RM1.40 itu difikirkan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula di pasaran yang sudah berlarutan sejak April lalu.

Presiden FOMCA, N. Marimuthu yakin bahawa kenaikan itu juga boleh menjadi satu senjata strategik dalam usaha kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

“Saya setuju bahawa kita perlu mengurangkan penggunaan gula dan menaikkan harga gula adalah salah satu caranya,” katanya dalam satu wawancara bersama wartawan NOOR AZAM SHAIRI di pejabatnya, kelmarin.

Kenaikan harga itu, katanya, adalah sesuatu yang sangat praktikal berbanding pelbagai cadangan supaya pengguna beralih kepada gula alternatif yang dirasakan lebih mahal dari segi kos. Mengenai saranan pemulauan itu, Marimuthu bertanya: “Apa yang hendak diboikot kalau barangnya pun tidak ada?”

Sementara itu, dalam satu wawancara berasingan, pakar pemakanan di Institut Jantung Negara, Mastari Mohamad menjelaskan tentang peranan gula kepada tubuh manusia, serta buruk dan baiknya.

“Bukan gula itu yang buruk tetapi tabiat pemakanannya yang tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat satu kesan baik daripada masalah kekurangan bekalan gula yang dikatakan semakin kritikal sekarang – bahawa orang mula berbincang mengenai gaya pemakanan yang sihat.

“Ini adalah sesuatu yang sangat positif kerana ia memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang baik buruk gula, serta pemakanan yang sihat.

“Mungkin orang akan mula sedar bahawa kita selalu berlebihan dalam soal makan, terutamanya gula serta lemak dan garam,” katanya.

MINGGUAN: Kenapa harga gula perlu naik?

MARIMUTHU: Saya yakin bahawa bekalan yang kurang sekarang akan pulih seperti sedia kala. Harga itu perlu dinaikkan dan dikawal di setiap peringkat pemasaran, pengeluar, pemborong dan peruncit supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan seperti sekarang.

Kita harus faham bahawa syarikat pengeluar tempatan bergantung hampir sepenuhnya, 95 peratus, kepada gula mentah yang dibeli dari luar sebelum ditapis untuk pasaran tempatan dan eksport. Setelah diproses, hampir 50 peratus daripada gula tapis itu dieksport ke Singapura, Indonesia, New Zealand, Arab Saudi dan Filipina, dan bakinya untuk pasaran tempatan.

Bolehkah masalah selesai kalau harga naik?

MARIMUTHU: Kekurangan bekalan ini disebabkan antaranya oleh kegiatan menyorok oleh para pemborong yang mahu memberikan tekanan kepada kerajaan supaya menaikkan harga gula yang sudah 10 tahun tidak dikaji semula. Kita boleh semak laporan akhbar sejak kebelakangan ini mengenai serbuan oleh pihak penguat kuasa. Apa yang dilaporkan itu adalah bot-bot yang ditahan. Soalnya, apakah tidak ada bot-bot yang terlepas?

Malah saya tidak terperanjat kalau rakyat Singapura membeli gula di Johor Bahru kerana harganya yang lebih murah. Hal yang sama juga berlaku di sempadan Thailand. Harga gula kita ialah RM1.40 atau RM1.45 sekilogram manakala di Brunei harganya RM2.95, di Singapura RM2.05, di Thailand RM1.90, di Indonesia RM2.40 dan di Filipina RM2.88. Malah harga gula kita adalah yang kedua terendah di dunia.

Selain itu, bekalan gula untuk pasaran tempatan juga dilaporkan diseludup ke negara luar untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana keadaan harganya yang rendah itu.

Bukankah harga dan bekalan gula dikawal?

MARIMUTHU: Ya, tetapi sistem kawalan yang ada tidak menyeluruh. Harganya hanya dikawal pada peringkat runcit saja dan tidak melibatkan pengeluar dan pemborong. Akibatnya, ada pemborong yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harganya sehingga melebihi harga yang dikawal. Ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada peruncit yang boleh dikenakan tindakan undang-undang kalau menjual lebih daripada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Itu sebabnya FOMCA mencadangkan supaya harga gula dinaikkan.

Apa betul masalah bekalan ini ada kaitan dengan kenaikan harga pasaran gula dunia?

MARIMUTHU: Harga pasaran gula dunia telah meningkat dengan mendadak sejak Februari lalu, ke paras yang tertinggi dalam masa 25 tahun. Harganya sekarang ialah RM2,000 setiap tan metrik manakala harga pasaran tempatan ialah RM1,300.

Sektor industri tempatan selama ini mengimport gula dari Thailand tetapi sekarang harga di sana pun sudah meningkat dan ini tentu mengurangkan margin keuntungan mereka. Jadi, mereka mula mendapatkan bekalan daripada pasaran runcit tempatan tetapi malangnya – saya dapat tahu tentang sebuah syarikat coklat – mereka membuat produk untuk pasaran eksport. Itu sebabnya kita berpendapat harga gula patut dinaikkan.

Apakah ini tidak akan memberikan tekanan kepada harga barangan lain?

MARIMUTHU: Kita tidak dapat mengelak daripada hakikat bahawa akan berlaku sedikit reaksi pasaran. Tetapi dalam hal ini, kita harus memikirkannya dari pelbagai sudut. Adalah sesuatu yang sangat logik untuk menaikkan harganya sekarang. Saya percaya negara akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga gula itu.

Pertama, bekalan gula di pasaran akan pulih, dan yang paling utama, kita boleh menggerakkan kempen mengurangkan penggunaan gula. Saya tidak nampak ada cara lain untuk kita menjayakan kempen gaya hidup sihat itu. Kalau gula mahal, orang akan mula kurang makan gula.

Tetapi sekarang ini pun orang bercakap tentang gula alternatif?

MARIMUTHU: Apakah kita sedar bahawa harga gula alternatif itu sebenarnya lebih mahal daripada gula pasir? Gula merah harganya RM1.89 sekilogram, gula kastor RM1.49, gula batu RM4 dan gula melaka RM5.98. Apakah orang mahu beralih daripada yang murah kepada yang mahal?

Saya ada juga terbaca tentang nasihat supaya orang mengambil buah-buahan. Cuba kita ambil sebuah keluarga empat orang. Kita kata kepada mereka jangan ambil gula tetapi makan epal. Kalau harga epal 50 sen sebiji, ini bermakna sehari mereka membelanjakan RM2.

Apa yang saya hendak katakan ialah adakah kita hendak kecoh hanya dengan kenaikan 30 sen yang kalau dilihat dari sudut yang lebih luas sebenarnya masih menguntungkan pengguna? Menaikkan harga gula itu mungkin sesuatu pahit tetapi apakah kita ada pilihan lain?

Apakah yang harus dilakukan oleh pengguna?

MARIMUTHU: Saya setuju bahawa ada atau tidak bekalan, pengguna memang sepatutnya mengurangkan pengambilan gula. Kita harus ingat bahawa kencing manis adalah saudara kepada segala macam penyakit – darah tinggi, buah pinggang dan sebagainya. Itu sebabnya saya percaya kalau harga gula mahal, orang tidak lagi akan bermewah-mewah menggunakan gula. Tetapi saya sangat tidak bersetuju dengan cadangan supaya pengguna memboikot gula kerana masalahnya ialah kita tidak ada bekalan dalam pasaran. Apa yang kita hendak boikot kalau barangnya pun tidak ada?

Kalau sekarang pun orang kecoh kerana tiada bekalan, kalau harganya naik tentulah lebih riuh.

MARIMUTHU: Kenapa hendak riuh? Gula bukanlah barangan keperluan harian seperti beras atau tepung. Kita tidak perlu kepada gula setiap hari sebenarnya. Tanpa gula, kita masih boleh hidup.

Sejak beberapa hari lalu, kita membaca pelbagai pandangan pakar mengenai bahaya gula. Gula bukan bahan yang paling penting untuk tubuh manusia tetapi sudah menjadi tabiat kebanyakan daripada kita suka makan yang manis-manis. Semua makanan kita hendak tambah gula. Pisang goreng pun cecah dengan gula. Kita bukan saja makan terlalu banyak gula tetapi juga susu pekat manis. Kalau terasa dahaga, orang pergi minum teh tarik atau sirap atau air berkarbonat. Kalau kita kurangkan gula dalam teh atau kopi sekalipun, kita minum air berkarbonat.

Itu sebabnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak tahu bahawa mereka ada penyakit kencing manis sehinggalah diserang sakit jantung, darah tinggi, strok dan rosak buah pinggang. Menurut laporan terbaru, pakar kesihatan menjangkakan 13 hingga 15 peratus penduduk negara ini menghidap kencing manis berbanding 8.8 peratus sepuluh tahun lalu. Ini sangat membimbangkan.

Kita makan terlalu banyak gula. Barangkali inilah masanya kita meminta para peniaga kedai makan tidak membubuh gula dalam minuman yang dipesan sebaliknya meletakkan bekas gula di atas meja. Biar kita sendiri yang menentukan jumlah gula yang hendak diambil. Ini salah satu kempen yang boleh kita mulakan sekarang.

Ini soal menukar gaya hidup, dan ia bukan sesuatu yang mudah.

MARIMUTHU: Kita harus menukar gaya hidup, dan kita harus bermula dengan mengasuh anak- anak kita makan dengan betul. Kita tidak boleh lagi membiarkan anak-anak kita makan makanan yang tidak berkhasiat dan makanan segera. Kita tidak lagi boleh membiarkan mereka minum air berkarbonat dan sirap.

Adakah kita tahu apa yang mereka beli dengan duit belanja sekolah? Adakah kita ambil tahu apa yang dijual di kantin sekolah? Mereka membeli sirap, aiskrim dan sebagainya yang mengandungi banyak gula. Kita harus mendidik mereka. Kita harus menggalakkan mereka membawa bekal.

Dalam hal ini, FOMCA akan memulakan kempen asli dan khasiat mulai Julai ini untuk menunjukkan pemakanan yang sihat. Sasaran kita ialah kanak-kanak, bukan saja tentang pemakanan tetapi semua isu kepenggunaan. Inilah generasi yang mahu kami selamatkan. Inilah harapan kita.

Menukar tabiat itu sesuatu yang sukar?

MARIMUTHU: Memang sukar tetapi dalam semua perkara yang sukar dalam hidup ini, ia memerlukan keazaman yang tinggi. Ini adalah soal pilihan. Kita boleh memilih sama ada mahu tersenyum atau menangis, dan pilihan itu adalah di tangan kita sendiri. Hanya kerana kita mampu, apakah kita mahu makan apa saja mengikut kehendak selera, dan akhirnya kita menanggung sakit dan derita?

Bolehkah harga yang lebih tinggi mengubah sikap orang ramai terhadap gula? Orang mungkin mengubah gaya hidup tetapi tidak lama.

MARIMUTHU: Ini soal pilihan. Kita mesti ingat bahawa gula yang berlebihan boleh menghancurkan hidup kita. Kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan badan kita, kita tidak boleh menukar spare partsnya di kedai. Kalau kita ada diabetes, kita akan menanggungnya sampai ke akhir hayat. Hidup kita pun sudah tidak ada kualitinya lagi.

Biarlah kita makan gula sedikit-sedikit tetapi kita boleh makan itu dan ini sampai kita mati. Jangan kita makan terlalu banyak gula sekarang tetapi selepas itu terpaksa hidup berulang ke hospital.

Adakah orang akan sokong cadangan FOMCA ini?

MARIMUTHU: Saya tahu ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan FOMCA. Mereka fikir FOMCA sudah hilang akal. Cadangan menaikkan harga gula itu mungkin tidak popular tetapi itulah caranya untuk kita menyelesaikan masalah bekalan sekarang. Saya dimaklumkan oleh ahli gabungan FOMCA di Kelantan bahawa orang bersedia membayar antara RM1.70 sehingga RM2 untuk mendapatkan sekilogram gula. Saya juga mendapat banyak panggilan telefon dari serata negara yang menyatakan sokongan kepada cadangan itu.

Kalau kita lihat, harga gula ini tidak pernah disemak sejak 1997; kalau gaji kita tidak naik sejak sepuluh tahun pun kita akan bising. Kalau kita serius hendak mengubah tabiat orang menggunakan gula, inilah caranya. Naikkan harga gula. Bekalan gula yang sekarang tidak adapun akan ada semula.

Ini adalah pendekatan yang akan menguntungkan semua pihak – kerajaan, peniaga dan pengguna. Ini bukan cadangan yang kita sengaja lontar, main tembak saja. Kita membuat cadangan ini selepas melihat keadaan pasaran gula tempatan dan antarabangsa. Pengguna harus faham keadaan ini.

Mereka jangan panik dan membeli gula sehingga melebihi keperluan. Para pemimpin politik pun janganlah memberikan mesej yang salah kepada rakyat. Jangan keluar gambar dalam akhbar menjual gula. Ini hanya akan menyebabkan rakyat panik. Selebihnya, ia tidak membantu usaha kerajaan yang mahu menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula.

Mingguan Malaysia
18 Jun 2006

Isnin, Jun 12, 2006

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi tempoh tujuh hari kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyelesaikan masalah kekurangan gula.

Masalah ini sudah berlarutan hampir dua bulan. Awang masih tidak faham apa masalah sebenar dan kurang faham kenapa pihak kementerian begitu sukar mengatasinya.

Bagi Awang, apa yang sedang dihadapi ialah satu ‘masalah positif.’ Pun begitu, kekurangan tidak patut berlaku kerana manusia tetap memerlukan gula walaupun ia boleh bawa masalah kepada kesihatan.

Kalaupun berlaku kekurangan sebenar (bukan sorok), sepatutnya ia sudah dapat diselesaikan. Kelambatan ini mencerminkan ketidakcekapan.

FOMCA mahu masalah ini diselesaikan dalam masa tujuh hari. Jika tidak, mereka akan mencari jalan penyelesaian sendiri.

Jika pihak kementerian dengan segala kuasa yang ada padanya tidak dapat selesaikan, apa agaknya FOMCA boleh buat?

Marilah kita tengok. Janganlah omong kosong sahaja.

Awang - Manis semula jadi.

Utusan Malaysia
12 Jun 2006

FOMCA beri tujuh hari selesai masalah

KUALA LUMPUR 11 Jun - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi tempoh tujuh hari kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan gula di pasaran yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Presiden FOMCA, N. Marimuthu berkata, pihaknya kesal kerana pihak kementerian seperti tidak berminat untuk menyelesaikan segera masalah tersebut sehingga ia berlarutan bagi tempoh yang panjang.

Beliau berkata, kelewatan kementerian yang mempunyai kuasa untuk bertindak menyelesaikan segera masalah tersebut, telah menyebabkan pengguna berdepan dengan pelbagai masalah.

‘‘Kita beri masa kementerian tujuh hari untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sekiranya mereka masih gagal, maka FOMCA akan mencari jalan penyelesaian sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Penyelesaian

Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bentuk penyelesaian yang akan diambil oleh gabungan itu sekiranya pihak kementerian masih gagal bertindak dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal sebelum ini berkata, masalah kekurangan bekalan gula di pasaran berpunca daripada permintaan tinggi pihak industri untuk membeli barang keperluan asas itu daripada pemborong dan pengeluar.

Sementara, Timbalannya, Datuk S. Veerasingam semalam memberi amaran, tindakan tegas boleh dikenakan ke atas peruncit yang enggan mengambil bekalan gula daripada pemborong.

Ini berikutan terdapat aduan yang peruncit yang enggan menjual gula atas alasan margin keuntungan yang diperoleh terlalu rendah.

Marimuthu berkata, sekiranya benar kekurangan bekalan gula berpunca daripada permintaan tinggi pihak industri, maka kementerian perlu mengkaji mengapa perkara itu berlaku.

‘‘Buat apa pihak industri beli gula. Kalau industri nak naik harga pun, berapa banyak kenaikan yang mereka hendak, kita boleh berbincang.

‘‘Ini tidak, tiada kesungguhan yang ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Marimuthu berkata, beliau menerima antara 30 hingga 40 khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari daripada ahli dan badan gabungan FOMCA di seluruh negara, menyuarakan rungutan tentang kekurangan bekalan gula.

‘‘Saya pun tak tahu apa nak balas kerana pihak kementerian yang mempunyai kuasa pun masih gagal menangani masalah yang wujud,” katanya kesal.

Utusan Malaysia
12 Jun 2006

Restoran wajib letak gula atas meja

Oleh SAHBULAH DARWI

KEPALA BATAS 11 Jun - Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan semua restoran dan kedai kopi menyediakan gula kepada pelanggan sebagai pilihan kepada mereka mengawal pengambilan bahan itu.

Sehubungan itu, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pengusaha restoran mematuhinya, sebagai satu syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon berkata, langkah itu dijangka mampu mengurangkan pengambilan gula di kalangan penduduk negara ini.

‘‘Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan kaedah itu sebagai langkah mengurangkan kes kronik diabetes dan buah pinggang yang kini dihidapi lebih 26,000 orang dengan 2,500 pesakit baru setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Awam dan Pameran Sayangi Buah Pinggang Anda di Pusat Budi Penyayang di sini hari ini.

Kah Choon berkata, PBT juga boleh mewujudkan kursus pendek tentang kesedaran kesihatan mengenai penyakit terbabit dalam kursus kebersihan untuk pengusaha-pengusaha itu.

Menurutnya, dua penyakit itu berkait rapat kerana sebanyak 52 peratus kes penyakit kegagalan buah pinggang adalah berpunca daripada kencing manis.

‘‘Teh tarik yang dijual biasanya terlalu manis walaupun telah dipesan teh tarik kurang manis dan jika pelanggan boleh mencampur sendiri gula maka tidak lagi timbul masalah ini,” katanya.

Kah Choon berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira lapan peratus daripada jumlah populasi negara menghidap penyakit kencing manis.

Lebih membimbangkan, menurutnya, kos rawatan untuk penyakit kegagalan buah pinggang adalah terlalu mahal kerana harga sebuah mesin dialisis mencecah RM40,000 seunit.

‘‘Sebuah pusat dialisis yang mempunyai lapan mesin dialisis memerlukan sebanyak RM800,000 untuk ditubuhkan manakala RM400,000 lagi diperlukan setiap tahun untuk kos penyenggaraan, perubatan, pakar dan sewa bangunan,” katanya.

Utusan Malaysia
12 Jun 2006