KEMENTERIAN Kesihatan sudah menggariskan pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi pengeluar produk makanan bagi tujuan pelabelan dan pengiklanan produk mereka di pasaran.
Bagaimanapun, masih banyak pelanggaran dilakukan demi melariskan barang atau produk mereka bagi mengaut lebih banyak keuntungan.
Malah, sekiranya diamati setiap peraturan digariskan, masyarakat sendiri mampu menilai dan mengenal pasti kesalahan dilakukan pengeluar produk makanan kerana secara terang-terangan setiap hari ada saja iklan mempunyai elemen dilarang ditayang serta dipamerkan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Mohammad Jefri Crossley, berkata kementerian sudah menetapkan bahawa setiap produk mempunyai kurang daripada 20 peratus bahan aktif dikategorikan sebagai bahan makanan dan tidak perlu dirujuk kepada Biro Farmaseutikal Kebangsaan.
Justeru, merujuk kepada kebanyakan kopi campuran herba seperti tongkat ali, ubi jaga, kacip fatimah dan seumpamanya, diklasifikasikan sebagai minuman kerana bahan aktif herbanya tidak sampai 20 peratus untuk diiktiraf sebagai bahan ubatan.
Namun, apabila dikategorikan sebagai herba, pelbagai peraturan sudah ditetapkan supaya pengeluar tidak mengelirukan pengguna dengan iklan keterlaluan dan melebihi apa ditetapkan.
Antaranya, pengusaha atau pengeluar tidak boleh mendakwa produk mereka mampu memberi kesan atau faedah kesihatan kerana tidak pernah melalui sebarang ujian pengesahan yang boleh membuktikan produk itu mampu mendatangkan sebarang khasiat.
“Contohnya, adalah menjadi kesalahan bagi pengeluar produk sebegini mendakwa produk mereka mampu mengembalikan kecergasan, menyihatkan badan, memberi kekuatan dalaman dan pelbagai lagi istilah lain yang menggambarkan kesan dari sudut perubatan.
“Sehingga kini, masih banyak pengeluar berdegil dan tetap menggunakan istilah sebegitu dengan tujuan mempengaruhi pengguna. Amaran sudah dikeluarkan kepada mereka, namun kebanyakannya akan berhenti seketika sebelum terus kembali menggunakan istilah sama,” katanya.
Jefri berkata, kebiasaannya apabila kementerian mengenal pasti syarikat melanggar peraturan pelabelan dan pengiklanan, amaran akan dikeluarkan kepada pihak terbabit dan syarikat yang menyiarkan iklan itu, untuk mengarahkan ia dihentikan serta-merta.
Namun, taktik digunakan syarikat pengiklanan untuk tetap meneruskan iklan itu adalah dengan menghentikan sementara atau menukar waktu siaran ke tengah malam iaitu ketika ia kurang disedari pihak berkuasa.
“Kementerian tidak mampu menugaskan pegawai khas untuk memantau iklan sebegini secara berterusan kerana helah digunakan pengiklan sering kali berubah untuk mengelirukan kami,” katanya.
Beliau berkata, selain ayat digunakan, antara pelanggaran peraturan lain yang kerap dilakukan pengeluar ialah menggunakan jenama atau ungkapan tidak dibenarkan kementerian seperti ‘super’, ‘king’, ‘berkualiti tinggi’, ‘segar’, ‘pemberi tenaga’, ‘baik untuk kesihatan’ dan pelbagai istilah lain.
Selain itu, label sesuatu makanan tidak boleh mengandungi komen, rujukan atau huraian ang bercanggah dengan pernyataan atau isi kandungan label berkenaan.
“Namun, sejak akhir-akhir ini, kami dapati semakin banyak pelanggaran peraturan berlaku, malah penggunaan istilah dilarang juga sudah seakan menjadi kewajipan kepada pengeluar untuk melariskan produk mereka. Hakikatnya, kementerian sendiri inginkan kepastian sejauh mana keberkesanan produk mereka benar seperti yang mereka dakwa.
“Bagi pengeluar yang tidak perlu dirujuk ke Biro Farmaseutikal Kebangsaan, produk mereka juga tidak perlu dirujuk kepada kementerian dan boleh terus dijual di pasaran. Kementerian tidak mengeluarkan sebarang perakuan mengesahkan keberkesanan produk mereka. Jadi, terpulang kepada pengeluar untuk berlaku jujur dan mematuhi peraturan,” katanya.
Jefri berkata, hanya syarikat jualan langsung saja selalunya akan merujuk produk mereka kepada kementerian bertujuan mendapatkan pengkelasan bagi memudahkan mereka memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan