PELBAGAI keraguan boleh dikaitkan dengan penghasilan produk kopi campuran herba seperti tongkat ali, misai kucing, ubi jaga dan kacip fatimah kerana sehingga hari ini belum ada sebarang kajian saintifik yang boleh mengesahkan kaedah digunakan selama ini selamat atau memberi faedah kesihatan kepada pengguna.
Pengarah Program Tumbuhan Ubatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Rasadah Mat Ali, berkata persoalan itu perlu dihuraikan segera oleh pihak berwajib kerana ia membabitkan keselamatan dan kesihatan pengguna.
Beliau berkata, walaupun kandungan tongkat ali dalam kopi di pasaran amat sedikit, jika diambil secara berlebihan dikhuatiri turut mendatangkan kesan sampingan yang buruk kerana ia masih lagi diklasifikasikan sebagai sejenis tumbuhan ubatan.
“Apa saja jenis ubat jika diambil berlebihan pasti akan mendatangkan kesan memudaratkan. Justeru, FRIM berpendapat pengambilan berlebihan kopi campuran tongkat ali pasti juga ada kesan sampingannya, cuma belum ada kajian khusus untuk membuktikannya,” katanya.
Selain itu, Rasadah turut membangkitkan persoalan sama ada campuran kopi dengan pelbagai jenis herba selamat dan tidak memberi sebarang kesan sampingan kerana ia juga tidak pernah dikaji secara terperinci.
Malah, lebih meragukan apabila akhir-akhir ini campuran herba digunakan di dalam kopi lebih banyak, termasuk mencampurkan tongkat ali dengan ginseng serta pelbagai jenis bahan herba lain.
“Kajian secara terperinci perlu dilakukan segera. Kita perlu kenal pasti sama ada campuran ini selamat kerana umum pasti sedia maklum, jika penggunaan ubat diambil secara bercampur aduk, kemungkinan besar ada masalah lain akan timbul,” katanya.
Rasadah turut mempertikaikan kaedah pengambilan bahan tongkat ali digunakan dalam kopi campuran kerana bukan semua kaedah digunakan selamat, malah ada yang mampu membawa kesan sampingan negatif kepada pengguna.
Katanya, ada tiga cara kandungan tongkat ali dapat diperoleh iaitu dengan cara mengekstrak air tongkat ali melalui kaedah tradisional menggunakan teknik rebusan. Selain itu, kaedah mengekstrak juga boleh dilakukan menggunakan sejenis bahan dikenali sebagai metanol, manakala satu langkah lagi ialah dengan menghancurkan batang tongkat ali sebelum dicampur dalam kopi.
“Sekiranya industri menggunakan kaedah ekstrak, ia disahkan selamat, tetapi ekstrak menggunakan metanol ada sedikit kesan sampingan, tetapi terlalu kecil. Bagaimanapun, kedua-dua kaedah mengekstrak ini membabitkan kos tinggi dan memakan masa lama.
“Justeru, tidak mustahil industri akan memilih cara lebih mudah iaitu dengan menghancurkan batang tongkat ali dan memasukkannya secara terus ke dalam kopi. Jika kaedah ini digunakan, ia akan turut membawa masuk toksik yang akan memberi kesan jangka panjang kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata, pengguna meminum kopi campuran melalui proses itu akan menyimpan bahan toksik dalam badannya dan ini membawa kesan tidak baik terhadap kesihatan mereka kerana sistem penghadaman manusia tidak mampu menerima serbuk kayu.
Rasadah yakin dan percaya banyak industri menggunakan kaedah mudah itu kerana ia lebih murah dan sudah menjadi tabiat industri yang lebih mengutamakan keuntungan semata-mata. Tambahan pula, belum ada satu langkah penguatkuasaan yang mengawal kaedah penghasilan kopi campuran sebegini.
Oleh itu, Rasadah menyarankan Kementerian Kesihatan memberi fokus menjalankan penyelidikan dan kajian menyeluruh terhadap kadar kandungan toksik dalam sesuatu bahan dipasarkan supaya tidak memudaratkan pengguna.
Mengulas mengenai tindak balas perubatan yang boleh memberi faedah kepada pengguna, Rasadah berkata, satu pembangunan kaedah penilaian kawalan mutu minuman kopi tongkat ali berasaskan penanda kimia Eurikomanon sudah dijalankan dan didapati penggunaan bahan aktif daripada ekstrak herba itu terlalu sedikit serta langsung tidak memberi faedah kepada pengguna.
“Pengguna yang meminum kopi campuran sebegini seperti sekadar meminum kopi biasa kerana langsung tidak memberi faedah perubatan seperti yang biasa diperoleh daripada pengambilan tongkat ali.
“Justeru, pengeluar tidak layak mendakwa produk mereka berkhasiat dan mampu memberi tambahan tenaga kepada pengguna serta menjual dengan harga mahal kerana ia sama seperti kopi segera biasa,” katanya.
Selain itu, kebimbangan turut berasas kerana berlakunya kesilapan ketika membekalkan bahan mentah daripada spesies tongkat ali kepada pihak industri kerana ada empat spesies tumbuhan ubatan dikenali sebagai tongkat ali.
“Kekurangan bahan mentah di hutan negara ini juga boleh menyebabkan bekalan bahan itu diimport dari Indonesia dan negara lain. Ia sekali gus menimbulkan keraguan sama ada bahan digunakan industri selama ini benar-benar tulen atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan