Khamis, Julai 12, 2007

LAPORAN KHAS: KHASIAT KOPI HERBA MERAGUKAN


Tiada badan pantau pengeluaran produk punca lambakan tanpa kawalan

AKHIR-akhir ini pasaran minuman segera atau lebih dikenali minuman tiga atau lima dalam satu semakin menggalakkan, bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan, pantas dan banyak sekali berada di pasaran.

Pelbagai kaedah digunakan untuk menarik pengguna membeli produk dipaparkan itu. Yang paling popular di negara kita adalah minuman campuran pelbagai jenis bahan herba, tetapi sesetengahnya, konon mampu memberi pelbagai khasiat sampingan kepada pengguna.

Senario ini mungkin kerana pengeluar mula sedar bahawa masyarakat khususnya golongan yang prihatin terhadap penjagaan kesihatan lebih suka memilih minuman dipakejkan bersama bahan herba terkenal serta terbukti mampu memberi kesan sampingan seperti menguatkan tenaga dalaman dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

Namun, persoalannya sejauh mana produk dipasarkan itu benar-benar menggunakan bahan herba asli. Menurut Kementerian Kesihatan, hasil penyelidikan terperinci mendapati, tidak ada satu badan atau mekanisme tertentu mengawal pengeluaran produk sebegini.

Justeru, dalam kebebasan mereka menghasilkan produk, pasti tidak mustahil dengan mudah juga penipuan boleh berlaku.

Mudah saja, iaitu pengusaha boleh mendakwa produk keluaran mereka mempunyai bahan herba dan sekali gus menarik perhatian pengguna mencubanya. Untuk menambahkan lagi impak kepada produk mereka, iklankan di televisyen dengan gambaran bahawa produk mereka cukup berkesan.

Bayangkan, jika dilihat iklan produk kopi campuran herba di media setiap hari, pengguna pastinya terpengaruh dengan helah lakonan berlebihan. Ditayangkan aksi seorang lelaki terbaring lesu, datang isteri menghidangkan kopi herba dan selepas minum, dengan cepatnya lelaki itu segar kembali.

Ada pula iklan secara tersirat menunjukkan aksi sepasang suami isteri kembali segar untuk ‘satu tujuan’ selepas menikmati minuman kopi campuran daripada akar pokok tertentu. Jelas bahawa, ia menunjukkan seakan-akan produk itu mampu memberikan kesegaran tambahan. Benarkah semua ini?

Merujuk kepada semua khasiat yang ada dalam bahan herba itu dan kononnya bahan itu digunakan dalam produk mereka, syarikat kopi campuran meletakkan harga lebih tinggi berbanding kopi biasa di pasaran.

Bukan soal harga menjadi persoalan, tetapi sejauh mana harga itu berbaloi dengan kualiti bahan herba dan khasiat yang boleh diperoleh pengguna atau kemungkinan perbelanjaan mereka sia-sia kerana meminum kopi campuran yang hakikatnya sama seperti kopi biasa.

Hasil penyelidikan sepasukan saintis dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati bahan aktif, iaitu Eurycomanone yang ada dalam sepaket kopi campuran sangat sedikit dan langsung tidak memberi khasiat kepada pengguna, malah sama kualiti seperti meminum kopi biasa.

Malah, tahap keselamatannya juga diragui kerana ada kemungkinan pihak industri mengimport bahan mentah salah, lantaran ada empat spesies pokok tongkat ali di pasaran dan tidak semua sesuai dijadikan bahan minuman.

Kekurangan bahan mentah tongkat ali di negara ini menyebabkan industri terpaksa mengimport dari Indonesia dan negara lain. Ia menyebabkan bahan itu boleh dipertikaikan sama ada tulen atau tidak.

Industri yang rakus mengeluarkan produk sebegini juga memungkinkan tumbuhan herba berdepan dengan kepupusan. Justeru, sejauh mana kaedah dilaksanakan pihak berwajib dalam menangani masalah ini. Perlukah ia dibiarkan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada industri perhutanan negara?

Apabila merujuk kepada kaedah digunakan Kementerian Kesihatan dalam menangani lambakan produk sebegini, keadaan lebih mengecewakan apabila pengeluar boleh memasarkan produk sebegitu tanpa perlu dirujuk kepada mereka untuk mendapatkan sebarang perakuan.

Alasannya, kementerian sudah menggariskan pelbagai peraturan dan menjadi tanggungjawab syarikat terbabit mematuhi peraturan ditetapkan. Kata mereka, langkah itu lebih baik bagi memastikan syarikat pengeluar makanan sentiasa memastikan produk mereka memenuhi standard tertentu, bukan sewenang-wenangnya mempergunakan perakuan dikeluarkan kementerian.

Justeru, ia kelihatan memberikan laluan lebih mudah kepada industri menyalahgunakan kelonggaran itu untuk mengeluarkan produk tidak berkualiti dan bercanggah dengan dakwaan mereka di iklan produk masing-masing. Sudah sampai masanya, pelaksanaan peraturan itu dilihat semula supaya keselamatan dan hak pengguna dapat dipelihara.


Berita Harian
9 Julai 2007

Tiada ulasan: