Khamis, Julai 12, 2007

PENGGUNA TERTIPU IKLAN, HADIAH LUMAYAH

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendakwa penggunaan tongkat ali dalam kopi campuran sudah menjadi satu taktik pengeluar minuman pada masa kini untuk menarik pengguna membeli produk mereka.

Masyarakat seakan sudah kemaruk dengan khasiat tongkat ali yang dikatakan mampu memberi kesan perubatan kepada pengguna, terutama keupayaan menjadi ejen penggalak seks dan meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Namun, belum ada satu kajian saintifik yang benar-benar membuktikan kandungan tongkat ali yang digunakan dalam kopi campuran mampu memberikan faedah dari sudut perubatan kepada pengguna, apatah lagi yang merujuk kepada khasiat hasil pokok herba itu.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna selama ini tidak nampak kesan sampingan pengambilan minuman kopi campuran sebegitu, malah ada beranggapan ia sama seperti kopi biasa.

Namun, katanya, pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi kononnya untuk mendapatkan satu produk minuman yang turut mempunyai kandungan herba sedangkan ia belum dapat dipastikan sejauh mana kesahihan produk diminum itu mempunyai ekstrak tongkat ali.

“Ini jelas mengelirukan pengguna kerana peratusan penggunaan bahan tongkat ali tidak dinyatakan dengan jelas pada produk keluaran mereka. Jika kadar kandungannya terlalu sedikit, janganlah mendakwa mampu memberi kesan seperti memulihkan tenaga dan sebagainya.

“Selain itu, produk terbabit juga tidak dibuktikan pernah menjalani proses penyelidikan bersesuaian atau tidak kerana penguatkuasaan ke atas produk makanan serta minuman di negara ini agak longgar,” katanya.

Mohd Yusof juga mempertikaikan status kandungan tongkat ali digunakan dalam produk di pasaran sama ada tulen atau sebaliknya, sedangkan pengeluar kebiasaannya mendakwa produk mereka mempunyai kandungan tongkat ali yang tulen.

Beliau juga mendakwa banyak syarikat pengeluar melanggar peraturan Kementerian Kesihatan dengan pelbagai gimik pengiklanan berlebihan dan tidak mencerminkan sifat sebenar produk minuman mereka.

“Syarikat sebegini cukup bijak menilai kehendak pasaran. Apabila mereka merasakan pengguna lebih cenderung mendapatkan minuman berasaskan kesihatan, maka banyaklah produk sebegini dikeluarkan. Artis pula digunakan sebagai tarikan utama melariskan produk mereka.

“Malah, ada yang menggunakan strategi menawarkan hadiah bertuah melalui pembelian produk mereka dan ini perlu dipantau supaya tidak berlaku sebarang unsur penipuan dan penyalahgunaan dalam semua bentuk gimik sebegini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, berkata kementerian sewajarnya mengedarkan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam menghasilkan sesuatu iklan sama ada di media cetak atau elektronik terutama kepada golongan artis supaya mereka lebih peka dengan peraturan yang sudah digariskan.

Katanya, golongan artis hanya menjalankan tugas melakonkan watak dan mempromosikan sesuatu produk berdasarkan kontrak diberi oleh syarikat yang membayar mereka dengan tujuan untuk menggunakan populariti bagi menarik pengguna.

Namun, bukan semua artis sedar dan mengetahui garis panduan dan larangan dalam mempromosikan sesuatu produk, terutama makanan kerana selama ini belum pernah ada sebarang penerangan mengenai perkara itu diberikan kepada mereka.

“Mana ada artis yang arif berkenaan undang-undang pengiklanan dan pelabelan. Justeru, bagaimana mereka mampu mematuhinya. Mereka sekadar melaksanakan tugas berdasarkan perjanjian dalam kontrak.

“Saya yakin dan Karyawan sendiri menyarankan kepada artis mematuhi setiap peraturan sekiranya perkara itu dimaklumkan dan satu garis panduan lengkap diedarkan kepada semua artis untuk rujukan setiap kali dibayar berlakon dalam iklan,” katanya.

Tiada ulasan: