Khamis, Julai 12, 2007

KEMPEN DIDIK PENGGUNA BIJAK BERBELANJA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Kempen Pengguna Bijak di seluruh negara bagi membendung kebimbangan pengguna berhubung kenaikan harga barang, seterusnya mengawal pasaran daripada ancaman peniaga tidak bertanggungjawab.

Menerusi kempen itu, pengguna ada pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan.

Kempen Pengguna Bijak ini bertumpu di pasar raya besar di seluruh negara. Ia bukan bertujuan menjejaskan perniagaan peniaga runcit, malah satu strategi bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna. Serentak ini, penguatkuasaan ditingkatkan di seluruh negara, membabitkan anggota penguat kuasa dan lebih 14,000 sukarelawan.

Apa yang pasti, kempen ini sejajar dengan usaha kementerian memperkasakan pengguna supaya mereka mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Antaranya:

  • Hak mendapatkan keselamatan

    Pengguna berhak dilindungi daripada pemasaran barang atau perkhidmatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan. Contoh perkhidmatan yang keselamatannya dicurigai ialah pembuatan dan penggunaan pelbagai bahan kimia dalam makanan, racun makhluk perosak, ubat-ubatan dan kenderaan bermotor.

    Justeru, bagi melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan kesihatan, Parlimen meluluskan beberapa akta seperti Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

    Bagi memastikan semua ubat di pasaran selamat, mujarab dan bermutu, akta seperti Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 turut digubal.

    Setiap ubat yang dijual di Malaysia wajib didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan semua ubat hanya boleh diiklankan dengan kebenaran kementerian itu.

  • Hak mendapat penerangan

    Ini adalah keperluan membekalkan pengguna dengan maklumat tepat, terkini dan mencukupi bagi membolehkan mereka membuat pemilihan terbaik dan memastikan penggunaan yang sempurna dan lestari serta selamat bagi alam sekitar.

    Akta Perihal Dagangan 1972, misalnya membolehkan keterangan palsu atau mengelirukan terhadap sesuatu produk sebagai suatu kesalahan.

    Akta lain ialah Akta Kawalan Harga (Arahan Melabel) 1980 yang mewajibkan pengilang dan pengeluar memberi maklumat asas pada pembungkusan makanan yang dikilangkan seperti kandungan, jenis makanan, jumlah kandungan dan berat minimum, manakala Akta Pembangunan Perumahan menetapkan syarat bagi pengiklanan projek perumahan.

  • Hak mendapat pilihan

    Hak ini merujuk isu kemampuan memilih antara barang atau perkhidmatan ditawarkan. Ia bererti suatu jaminan agar jumlah barang dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga berpatutan.

    Antara undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barangan 1957. Akta Kawalan Bekalan 1961, misalnya memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran dan menghukum pihak yang terbabit dalam kegiatan menyorok barang keperluan.

  • Hak mendapatkan ganti rugi

    Hak ini pula melayakkan pengguna mendapat pampasan yang adil dan berpatutan berikutan produk atau perkhidmatan yang dibeli didapati tidak seperti yang dijanjikan, cacat atau tidak berfungsi.

    Untuk itu, Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan yang membolehkan pengguna yang mengalami kerugian membuat tuntutan ganti rugi. Penyelesaian akan cuba dilakukan dalam tempoh 60 hari dan had nilai yang boleh dirujuk ialah tidak melebihi RM25,000, manakala belanja perbicaraan dalam tribunal adalah percuma.

    Setiap pengguna wajar merebut peluang menggunakan khidmat tribunal ini apabila dirundung masalah mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan sama ada daripada pihak swasta mahupun kerajaan.

  • Hak mendapatkan keperluan asas

    Hak ini bererti pengguna berhak mendapatkan produk dan perkhidmatan yang perlu bagi meneruskan kehidupan iaitu makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan sanitasi. Untuk menjamin hak pengguna berhubung bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan harganya berpatutan, beberapa undang-undang digubal dan dilaksanakan.

    Antaranya Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Timbang Sukat 1972, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    Bagi melindungi pengguna daripada ditipu pemaju perumahan tidak bertanggungjawab, Akta Pemaju Perumahan (Mengawal dan Melesen) digubal dan dikuatkuasakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Selain itu, Akta Pembangunan Perumahan turut memberi lebih kuasa kepada menteri untuk melindungi pembeli rumah kerana mengikut akta ini juga ditubuhkan satu Tribunal Pembeli Rumah. – Bernama


  • Berita Harian
    9 Julai 2007

    Tiada ulasan: