Jumaat, November 13, 2009

LAPORAN KHAS: PERISIAN CETAK ROMPAK MAKIN MENULAR DI UNIVERSITI


13 November 2009

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

ADAKAH belum cukup tegas langkah pembanterasan dan penguatkuasaan terhadap pencabulan hak harta intelek atau masih wujud kelompangan dalam akta sedia ada sehinggakan sesiapa saja seolah-olah bebas menggunakan produk cetak rompak, malah penjualannya juga bebas dilakukan secara terbuka di mana saja.

Penat dan rumit jika semua produk di bawah akta hak cipta mahu dihuraikan satu persatu kerana semuanya berdepan masalah sama dengan kaedah berbeza. Namun apabila isu ini dijuruskan kepada perisian cetak rompak, ia nampak sebenarnya lebih menimbulkan pelbagai persoalan, dengan yang paling utama ialah antara harga dan keperluan.

Seperti kita sedia maklum, harga sesebuah perisian tulen ketika ini mahal, malah ada yang mencecah ribuan ringgit sedangkan realitinya setiap komputer memerlukan banyak perisian, apatah lagi jika penggunanya terbabit dengan aktiviti yang membabitkan banyak perisian sokongan.
Namun, adakah isu harga mahal menjadi tiket menghalalkan penggunaan perisian cetak rompak yang kebanyakannya membabitkan pengguna persendirian dengan alasan perisian itu digunakan bukan untuk tujuan perniagaan sebaliknya sekadar membantu tugasan di rumah.

Mereka yang berniaga selalunya tidak berani menggunakan perisian cetak rompak kerana sedar bahawa sekiranya tertangkap, hukuman yang dikenakan amat tegas termasuk risiko semua komputer dan perkakasan disita pihak berkuasa.

Apapun, apabila sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di Shah Alam dikesan menggunakan perisian cetak rompak dalam lapan set komputernya, soal ketegasan pembanterasan penggunaan perisian cetak rompak mula diperkatakan kerana realitinya ia kini bukan lagi sekadar popular di kalangan pengguna persendirian.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin, berkata pemeriksaan mendapati 58 salinan perisian cetak rompak yang turut dirampas di IPT itu bernilai kira-kira RM794,000.

Jika difikir secara logik, pengguna perisian cetak rompak menikmati keuntungan berlipat kali ganda kerana biasanya harga untuk satu cakera padat (CD) perisian cetak rompak hanya RM10, malah ada juga CD yang menggabungkan pelbagai perisian berbeza.

Isu utamanya, apabila penggunaan perisian cetak rompak sudah menular di kalangan syarikat dan IPT, siapa yang wajar dipersalahkan kerana kemungkinan sesebuah komputer di IPT itu digunakan sesiapa saja dan timbul kemungkinan penggunanya memasukkan perisian yang disukai tanpa pengetahuan IPT.

Sebagai contoh, sebuah komputer di pejabat, milik syarikat yang dibekalkan untuk kegunaan pekerja setiap hari dimasukkan perisian cetak rompak oleh pekerja itu dan apabila pemeriksaan dilakukan, siapa yang patut dihukum, pekerja atau majikan? Pelajar atau pentadbir IPT?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak kira siapapun yang memasukkan perisian cetak rompak ke dalam komputer milik syarikat atau IPT, pihak pertama yang akan didakwa adalah majikan atau pentadbir IPT itu.

Katanya, dalam isu ini, agak sukar untuk majikan atau pentadbir IPT boleh terlepas daripada hukuman atau meletakkan kesalahan itu kepada orang lain kerana komputer itu milik mereka dan menjadi tanggungjawab mereka memastikan harta itu dipantau daripada sebarang penyalahgunaan.

Apatah lagi, katanya, wujud pelbagai kaedah untuk memantau dan menyekat penggunaan perisian cetak rompak dalam komputer dan ia sekali gus menyebabkan tiada alasan untuk majikan atau pentadbir IPT terlepas daripada dakwaan.

Merujuk kepada IPT, beliau berkata, meskipun perisian cetak rompak itu bukan digunakan secara langsung untuk tujuan komersial tetapi modus operandi semua IPT tetap menjurus kepada perniagaan dan pastinya semua bahan dalam operasi mereka termaktub sebagai bahan perniagaan serta boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Hak Cipta 1987.

Namun, apabila menyentuh mengenai penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, akta sedia ada masih longgar dan wujud beberapa kelemahan kerana pendakwaan hanya boleh dibuat jika pemilik hak harta intelek itu membuat aduan.

“Ketika ini, jika pemeriksaan dibuat dan mendapati salinan perisian cetak rompak tidak lebih daripada tiga unit, tiada pendakwaan akan dibuat dan penggunaan untuk tujuan peribadi juga tidak termasuk sebagai kesalahan. Malah, pemilik bangunan yang membenarkan premisnya digunakan untuk penjualan CD perisian cetak rompak juga tidak dianggap bersalah.

“Malah, akta itu juga menyebabkan aktiviti penguatkuasaan menjadi terhad lantaran perlu menunggu aduan daripada pemilik produk sebelum pemeriksaan boleh dibuat sedangkan tak banyak aduan mengenainya yang kami terima.

“Ia sekali gus menyebabkan masih ada penjualan perisian cetak rompak dilakukan secara terbuka dan digunakan secara meluas juga oleh pengguna persendirian. Ia sebenarnya menjejaskan imej negara dan turut memberi kesan terhadap pelaburan asing dalam negara,” katanya dalam temubual ekslusif dengan Berita Harian baru-baru ini.

Justeru, katanya, kementerian sedang merangka pindaan terhadap akta berkenaan yang dijangka bakal dilaksanakan pada awal 2010 bagi membolehkan tindakan lebih tegas serta kaedah penguatkuasaan lebih menyeluruh sebagai isyarat jelas bahawa aktiviti penggunaan perisian cetak rompak akan dibanteras secara efektif.

Antara pindaan itu, katanya, termasuklah membolehkan sesiapa saja tak kira individu atau syarikat yang memiliki satu salinan saja boleh didakwa, mendakwa pemilik premis dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil meskipun pemilik produk tidak membuat sebarang aduan.

“Bagi saya, memiliki produk cetak rompak, tak kira untuk tujuan perniagaan atau peribadi sama seperti mencuri. Justeru, memiliki barang curi, menjual atau membelinya dan menyimpan dalam premis dianggap salah dan perlu didakwa.

“Selepas pindaan akta ini dilaksanakan, sesiapa saja, tak kira peniaga atau pengguna persendirian tidak akan terlepas daripada hukuman kerana ia dianggap satu kesalahan. Pemilik bangunan seperti pasar raya yang membenarkan mana-mana premisnya digunakan untuk menjual perisian itu juga akan didakwa,” katanya.

Merujuk kepada IPT pula, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memanggil semua pentadbir IPT untuk diingatkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi jika ada mana-mana komputer milik mereka dimasukkan perisian cetak rompak meskipun ia dilakukan oleh pensyarah atau pelajar.

Tak cukup dengan itu, kementerian juga menimbang untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi penjualan CD cetak rompak dengan menaikkan kadar denda sehingga RM100,000, selain turut melihat kemungkinan mendakwa pemilik laman web forum dalam negara yang membenarkan aktiviti muat turun perisian cetak rompak berlaku dalam laman web mereka.

Melihat kepada amaran dan bentuk hukuman yang bakal dilaksanakan itu, ia pastinya menjadi langkah positif untuk membanteras kegiatan penggunaan perisian cetak rompak dalam negara secara lebih cekap yang tidak lagi sekadar tertumpu kepada pengguna persendirian atau perniagaan.

Pemilik premis pula, pastinya tak senang duduk untuk membenarkan aktiviti penjualan perisian cetak rompak berlaku secara terbuka.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN PERLU LEBIH KETEGASAN


13 November 2009

MELAKSANAKAN penguatkuasaan terhadap pengguna perisian cetak rompak perlu melihat kepada tujuan penggunaan itu sendiri serta kelompok penggunanya sama ada membabitkan syarikat yang menggunakannya untuk meraih keuntungan atau individu yang sekadar dijadikan bahan membantu memudahkan tugasan seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata meskipun pihaknya bersetuju kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap perisian cetak rompak, disebabkan harga perisian tulen yang sangat mahal, pertimbangan sewajarnya perlu diberikan kepada pengguna persendirian.
“Fomca berpendapat dan bersetuju penguatkuasaan terhadap penggunaan perisian cetak rompak perlu dibuat secara tegas dan menyeluruh bagi menggalak dan mewajibkan penggunaan perisian tulen, namun situasi berbeza perlu dilihat membabitkan pengguna biasa atau pelajar kerana mereka bukan guna untuk keuntungan.

“Memang sepatutnya tak kira siapa, pengguna biasa atau syarikat perlu beli perisian tulen kerana ia membabitkan hak cipta seseorang. Namun apabila melihat kepada harganya yang sangat mahal, ia sesuatu yang sukar dibendung dan menjadi penyebab utama ramai guna perisian cetak rompak.

“Teknologi sangat penting ketika ini dan setiap komputer kebiasaannya perlu dimasukkan pelbagai jenis perisian. Jika harganya mahal, ia menjadi beban kepada pengguna biasa. Justeru, jika mahu semua orang guna perisian tulen, kurangkan harga,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kementerian sentiasa memantau aktiviti jualan komputer dengan memastikan semua jualan dilengkapi dengan perisian tulen supaya pengguna tidak perlu lagi memasukkan perisian cetak rompak.

Ketika merujuk kepada penggunaan perisian cetak rompak di syarikat atau institusi pengajian tinggi (IPT), beliau berkata, tindakan tegas memang perlu diambil kerana aktiviti mereka menggunakan perisian itu untuk meraih keuntungan dan turut bersetuju tindakan perlu diambil terhadap majikan atas kegagalan memastikan komputer milik syarikat hanya menggunakan perisian tulen.

Namun, katanya, isu penggunaan perisian komputer di rumah tak boleh disamakan dengan pejabat kerana tujuan penggunaannya ternyata jauh berbeza.

“Fomca memandang serius isu harta intelek kerana ia adalah hak seseorang dan tindakan menggunakan perisian cetak rompak umpama mencuri hak seseorang. Namun, isunya, bagaimana pengguna biasa nak guna komputer tanpa perisian? Nak beli pula, tak mampu.
“Jika kerajaan mahu juga menganggap pengguna biasa sebagai pesalah kerana guna perisian tulen, Fomca akan setuju tetapi selepas harganya diturunkan dan dikawal. Jika tidak, jangan salahkan pengguna biasa,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik ketegasan membela pengguna itu, Mohd Yusof turut berpendapat dalam perkembangan terkini teknologi internet, sudah wujud banyak perisian sumber terbuka (open source) yang membolehkan pengguna menggunakan perisian percuma yang berfungsi seakan sama dengan perisian dijual.

“Perisian sumber terbuka berfungsi hampir sama dengan perisian yang mahal di pasaran. Malah, sekarang sudah banyak perisian sebegitu di internet yang boleh dimuat turut dengan mudah. Dulu mungkin terhad tetapi sekarang sangat banyak serta boleh dicari di banyak laman web.

“Masalahnya, pengguna masih tak berapa faham konsep perisian sumber terbuka dan sudah terbiasa dengan perisian popular yang selalunya semua orang guna. Penerangan dan promosi terhadap konsep ini juga tak banyak, malah tak menyeluruh. Ramai lagi yang tak tahu. Mereka sangka, jika nak beli komputer, mesti perlu ada Microsoft Office.

“Apapun, meskipun wujud banyak perisian sumber terbuka di internet, Fomca tetap mahu kerajaan memberi sedikit ruang kepada pengguna biasa yang menggunakannya untuk menambah ilmu. Ia kemudahan untuk nikmati ilmu tetapi malangnya harganya mahal. Kita hormati harta intelek tetapi jangan sampai menyekat perkembangan ilmu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Prof Madya Rohazar Wati Zuallcobley, berkata akta yang digunakan ketika ini masih menghalang penguatkuasaan dan pendakwaan dibuat secara menyeluruh lantaran beberapa kekangan dalam pelaksanaannya.

“Penguat kuasa takkan dapat buat serbuan atau pemeriksaan tanpa aduan pemilik produk. Jika pemeriksaan dibuat pula dan memang ada perisian cetak rompak, kes akan dibuang begitu saja sekiranya pemilik produk tak hadir, malah kementerian pula berisiko untuk didakwa.

“Jika memang terang-terangan perisian itu dijual di premis pun, penguatkuasaan tak dapat dibuat tanpa aduan. Selain itu, setiap perisian pula mesti lebih daripada tiga salinan, baru dianggap menjual. Kurang daripada tiga, sukar nak dakwa,” katanya yang turut memberitahu pindaan terhadap akta itu sedang dirangka ketika ini.

Namun, menjurus kepada penggunaan perisian cetak rompak di syarikat atau IPT, beliau berkata, tiada jalan mudah atau alasan yang untuk membolehkan majikan atau pentadbir IPT melepaskan diri jika sabit kesalahan meskipun perisian itu dimasukkan oleh pekerja, pensyarah atau pelajar mereka.

“Komputer itu milik syarikat atau IPT. Pekerja atau pelajar adalah di bawah kawalan mereka. Jika berlaku sesuatu yang tak kena pada komputer, IPT sepatutnya perlu ambil tahu. Membiarkan, umpama membenarkan kesalahan dilakukan dalam bentuk tersirat.

“Malah, ketika ini terdapat pelbagai kaedah atau cara mengawal dan memantau komputer daripada disalah guna. Justeru, agak sukar untuk IPT beri alasan tak tahu dan melepaskan kesalahan itu kepada individu lain. Tindakan akan tetap diambil terhadap pemilik komputer, iaitu IPT sendiri.

“Jika sabit kesalahan, hukuman denda antara RM2,000 hingga RM20,000 boleh dikenakan. Maksudnya, jika ada 10 komputer guna perisian cetak rompak, denda maksimum boleh mencecah RM200,000 dan itu tanggungjawab IPT,” katanya.

Mengulas lanjut, Rohazar Wati berkata, kementerian sebenarnya tahu dan sedar bahawa hampir semua organisasi ada menggunakan perisian cetak rompak, namun tindakan tak dapat diambil kerana tiada aduan.

“Pemilik perisian di negara ini tak rasa terancam dengan perisian cetak rompak. Kami tahu sebenarnya banyak kes penggunaan perisian cetak rompak di IPT. Namun, selagi tak ada aduan oleh pemilik, kami tak dapat bertindak,” katanya.

SYARIKAT PATUT PASTIKAN HANYA GUNA BAHAN TULEN DALAM KOMPUTER


13 November 2009

KESALAHAN membabitkan penggunaan perisian cetak rompak pada komputer milik syarikat adalah satu bentuk tanggungjawab yang dipindahkan ke pihak majikan serta perlu dianggap kemudaratan pihak ketiga lantaran perlakuan orang lain.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, berkata ia perlu diakui dan diterima semua majikan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka menjaga serta memantau harta syarikat daripada disalah guna pekerja.

Katanya, syarikat perlu mempunyai dasar yang ketat berkenaan penggunaan komputer selain menggunakan perisian tulen saja dan mengingatkan pekerja supaya tidak memasukkan apa saja bahan dalam komputer syarikat tanpa izin.

“Jika semua peringatan itu sudah diberi dan masih berlaku penggunaan perisian cetak rompak, individu atau pekerja terbabit yang menggunakan komputer itu akan dipertanggungjawabkan. Maksudnya, majikan tetap berdepan tindakan di mahkamah tetapi tindakan akan diambil pula terhadap pekerja terbabit sama ada dibuang kerja dan memanjangkan kes ke mahkamah sivil bagi membolehkan semua kerugian syarikat ditampung oleh pekerja berkenaan.

“Diakui, risiko untuk komputer pejabat dimasukkan perisian cetak rompak sangat tinggi tetapi ia selalunya berlaku kepada syarikat yang jarang membuat audit peralatan mereka. Realitinya, jika syarikat peka dan sentiasa membuat pemeriksaan, pekerja takkan berani menyalahgunakan peralatan yang diberi.
“Jika ada pekerja yang menjadikan alasan perisian yang dimasukkan itu perlu untuk memudahkan tugas mereka, ia sebenarnya tidak relevan kerana menjadi tanggungjawab syarikat menyediakan perisian yang diperlukan,” katanya.

Menjelaskan senario semasa, Shamsuddin berkata, berbeza dengan ketika awal 1990-an dulu, masalah penggunaan perisian cetak rompak tidak begitu serius ketika ini kerana kebanyakan syarikat sudah mula sedar risiko yang mereka hadapi akibat menggunakannya.

Namun, masalah itu masih ketara membabitkan syarikat kecil yang bertindak demikian bagi mengurangkan kos operasi kerana harga perisian tulen mahal.

“Satu perisian tulen hanya boleh digunakan untuk satu komputer. Tentu ia membebankan syarikat kecil. Sewajarnya pemilik perisian perlu melihat bagaimana kaedah membantu peniaga kecil supaya masih dapat menggunakan perisian tulen dengan kos rendah.
“Mungkin juga kerajaan perlu fikirkan jalan bantu mereka ini dengan mewujudkan insentif pengecualian cukai atau apa saja yang boleh menggalakkan penggunaan perisian tulen,” katanya.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn, Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata tidak sewajarnya pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dipersalahkan jika terdapat pensyarah atau pelajar memasukkan perisian cetak rompak dalam komputer milik universiti.

“Jika itu yang berlaku, lebih baik universiti tak payah beli komputer atau masukkan perisian. Tak payah pakai komputer sebab ia mendatangkan masalah pula kepada IPT. Mana mungkin IPT dapat pantau sepenuhnya komputer dalam universiti. Bukan sedikit.

“Lagipun, perisian yang digunakan di IPT bukan untuk perniagaan. Ia adalah untuk tujuan akademik dan sebenarnya membawa keuntungan jangka panjang kepada pemilik perisian. Apabila pelajar sudah terbiasa dengan sesuatu perisian, mereka akan terus menggunakannya apabila bekerja atau membuka syarikat sendiri.

“Jika kementerian mahu terlalu bertegas dengan IPT, ia akan membawa kesan buruk terhadap perkembangan pendidikan. Namun, itu tidak bermakna kami menyokong penggunaan perisian cetak rompak kerana semua komputer yang dibeli memang sudah dilengkapi perisian tulen. Jika pensyarah nak tambah apa-apa perisian lain, mereka boleh mohon dan biasanya IPT akan luluskan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang tetap undang-undang yang tak boleh dilanggar tetapi hakikatnya, penggunaan sesuatu perisian secara meluas di IPT akan menyerlahkan sesebuah syarikat pemilik perisian. Beliau berkata, IPT agak sukar untuk mengawal tindakan pensyarah atau pelajar yang memasukkan sendiri perisian cetak rompak kerana jumlah komputer yang terlalu banyak.

“Manalah IPT ada masa nak periksa setiap masa. Namun, ada akta yang membolehkan tindakan diambil jika terbukti ada pensyarah atau pelajar bertindak melanggar undang-undang. Namun, sekali saya tegaskan bahawa universiti adalah satu strategi yang paling tepat untuk sesebuah syarikat pemilik perisian mengembangkan perisiannya,” katanya.

Jumaat, November 06, 2009

LANTIK BENGKEL BANTU TUGAS PUSPAKOM


4 November 2009

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi sijil kepada pengusaha bengkel yang bertauliah dan layak untuk menjadi pusat pemeriksaan tahunan bagi kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun sekaligus meringankan beban Puspakom.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata cadangan itu perlu dikaji berikutan kebimbangan orang ramai berhubung kemampuan agensi itu melaksanakan pemeriksaan sendirian.

“Kami bimbang kesulitan akan timbul apabila arahan ini mula dilaksanakan Januari tahun depan terutamanya bagi golongan yang tinggal di luar bandar.

“Kita sedia maklum bahawa bukan semua kawasan mempunyai cawangan Puspakom, malah bagi yang tinggal di kawasan terpencil sudah pasti mereka perlu melakukan perjalanan jauh hanya untuk membuat pemeriksaan tahunan yang disyaratkan kerajaan bagi kenderaan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kemudahan Puspakom serta lokasinya yang belum menyeluruh akan membebankan pengguna untuk membuat pemeriksaan selain membabitkan kos tinggi kepada mereka.

“Walaupun diakui ia untuk keselamatan, pelaksanaannya bakal menimbulkan pelbagai masalah kerana pemilik kira-kira 2.9 juta kereta berusia 15 tahun kebanyakannya rakyat berpendapatan rendah.

“Justeru, kerajaan harus menimbang untuk menghadkan bayaran pemeriksaan dengan kadar minimum dan berpatutan supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

CAJ KAD KREDIT ATASI MASALAH PENGGUNA MUFLIS



24 Oktober 2009

CADANGAN mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna kad kredit dan kad caj dilihat langkah berkesan untuk mengurangkan masalah pengguna yang diisytihar muflis akibat pengurusan yang lemah.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dengan caj yang dikenakan itu, hanya golongan yang berkelayakan yang dapat menggunakan perkhidmatan itu.

“Bagaimanapun, bagi menjamin keberkesanannya, langkah itu perlu diperkukuhkan dengan peraturan tambahan lain seperti had kelayakan untuk mendapatkan perkhidmatan itu dan bayaran minimum.

“Jika kita lihat sekarang individu yang mempunyai pendapatan RM1,600 layak menggunakan kad kredit, jadi had kelayakan perlu ditingkatkan contohnya hanya individu yang mempunyai pendapatan RM3,000 dibenar memohon di samping pembayaran minimum lebih tinggi,” katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memupuk semangat berbelanja secara berhemah, dicadangkan kad kredit dan kad caj termasuk yang diberi percuma dikenakan cukai perkhidmatan iaitu RM50 setahun bagi kad utama dan RM25 bagi kad tambahan.

Beliau berkata, cukai perkhidmatan itu akan dipungut pada tarikh kad dikeluarkan iaitu pada setiap genap setahun kad dikeluarkan atau diperbaharui yang dicadangkan berkuatkuasa mulai 1 Januari depan.

Mohd Yusof berkata, walaupun statistik individu yang muflis disebabkan hutang kad kredit masih kecil, keadaan itu agak membimbangkan kerana ia membabitkan kebanyakan pengguna yang berusia 30 tahun ke bawah.

Najib pada sidang Dewan Rakyat semalam berkata, tahap pinjaman tidak berbayar kad kredit masih terkawal dan menurun 2.4 peratus berbanding 16.1 peratus pada 1998 iaitu ketika krisis kewangan serantau.

Beliau berkata individu yang muflis disebabkan hutang kad kredit pula merangkumi kurang 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad kredit utama pada tiga tahun lalu.

Mohd Yusof berkata, walaupun penggunaan kad kredit satu kemudahan, ramai pengguna tidak dapat menguruskannya dengan betul.

“Sepatutnya ia menjadi satu kemudahan untuk orang ramai contohnya bagi kemudahan perjalanan ke luar negara tetapi kebanyakan pengguna menjadikannya sebagai satu instrumen untuk berhutang,” katanya.