Di negara kita terdapat 31 barangan elektrik yang wajib mendapat piawaian keselamatan, termasuklah peti televisyen, plag, seterika, periuk nasi elektrik dan sebagainya. Semua barangan elektrik ini perlu mempunyai label piawaian keselamatan yang dikeluarkan oleh SIRIM dan label Suruhanjaya Tenaga, sebagai pengawalselia bekalan elektrik di negara ini.
Namun begitu, banyak barangan elektrik ini yang tidak mempunyai piawaian keselamatan ini dijual secara berleluasa dan secara terbuka di pasaran, termasuk juga di pasar raya-pasar raya besar. Seperti kebiasaannya, barangan elektrik ini dijual lebih rendah berbanding barangan elektrik berjenama yang mempunyai piawaian standard. Oleh itu, ia menjadi pilihan para pengguna untuk membelinya. Apatah lagi, ia sering dijadikan gimik oleh sesetengah pasar raya besar seolah-olah mereka menjual barangan elektrik pada harga yang lebih rendah berbanding pasar raya besar yang lain.
Satu lagi yang menyebabkan hal ini berlaku disebabkan oleh kekurangan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Tenaga. Keadaan ini berlaku kerana Suruhanjaya Tenaga hanya mempunyai beberapa orang penguatkuasa sahaja. Oleh itu mereka mampu untuk mengambil tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melainkan apabila menerima aduan daripada para pengguna.
Oleh yang demikian, FOMCA mencadangkan agar 31 barangan elektrik yang diwajibkan mempunyai piawaian keselamatan ini turut diwartakan di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999. Di Bahagian III, Seksyen 19, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberi kuasa untuk menetapkan piawaian keselamatan bagi mana-mana barangan atau perkhidmatan.
Dengan menetapkan piawaian keselamatan barangan elektrik dalam Akta Perlindungan Pengguna, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mengambil tindakan sekiranya ada peniaga yang menjual barangan elektrik yang tidak mempunyai piawaian keselamatan. Dengan ini, sekurang-kurangnya perlambakan barangan elektrik yang tidak mempunyai piawaian ini dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama, masalah kebakaran disebabkan oleh penggunaan barangan elektrik yang tidak selamat juga dapat dielakkan.
Surat & E-mel, Berita Harian
10 Februari 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan