Jumaat, Februari 02, 2007

LPKP GAGAL MELINDUNGI KEPENTINGAN PENGGUNA

Tindakan syarikat teksi di Kuala Lumpur menaikkan kadar bayarannya sehingga 100 peratus amat dikesali. Apa yang lebih mendukacitakan, Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor menyatakan bahawa kenaikan tersebut tidak perlu mendapat kelulusan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), sebaliknya dibuat berdasarkan persetujuan daripada kebanyakan syarikat pengusaha teksi di Lembah Klang Dan Selangor.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh pengusaha teksi ini. Jelas tindakan ini dilakukan kerana kegagalan LPKP melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan mereka.

Sebelum ini terdapat laporan berita yang menyatakan bahawa ada syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang sehingga RM220 bagi perjalanan sehala dari Johor Bahru ke Pulau Pinang. Apakah yang dilakukan oleh LPKP bagi mengatasi masalah ini.

Kewujudan ulat yang berleluasa di terminal bas dan Kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih gagal diatasi walaupun telah lama berlaku. Begitu juga kegiatan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan mengenakan caj yang tinggi kepada pengguna. Apakah tindakan LPKP bagi menghentikan kegiatan ini?

Mungkin Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi perlu menstrukturkan semula peranan LPKP dan memberikan kuasa perundangan serta penguatkuasa yang mencukupi bagi mengatasi masalah yang terus membelenggu pengguna pengangkutan awam ini.

Tidak ada gunanya Kementerian Dan LPKP mengumumkan tentang kadar pengangkutan awam tetapi ia gagal dipatuhi oleh syarikat pengusaha pengangkutan awam itu. Dan biarpun ia berlaku, LPKP masih gagal mengambil tindakan terhadap mereka.

Tiada ulasan: