Thu | Feb 22, 07 | 11:09:12 AM
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) – Langkah kerajaan untuk mengharamkan iklan makanan segera tidak boleh menyelesaikan peningkatan masalah penyakit kronik yang dihidapi rakyat, kata Bendahari Agung, Persatuan pengguna-pengguna Malaysia (Fomca), Yusuf Abdul Rahman.
Katanya, sebelum ini masalah makanan segera atau ringan sudah lama disuarakan oleh pihak yang prihatin seperti Fomca dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Bagaimanapun katanya, hanya apabila bilangan rakyat yang mengidap penyakit kronik seperti diabetis, obesiti, jantung dan sebagainya sudah mencecah jutaan orang barulah kerajaan sibuk untuk mengambil tindakan sehingga mahu diharamkan iklan produk-produk tersebut.
Menurut beliau, walaupun langkah tersebut adalah salah satu cara, tetapi ia tidakdapat mengatasinya.
Sebaliknya beliau membidas sikap kerajaan sendiri yang tidak proaktif terhadap masalah tersebut.
Media melaporkan, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek berkata, bahawa cadangan pemberhentian iklan makanan segera akan dibawa ke kabinet secepat mungkin.
Katanya, walaupun iklan makanan segera menyumbang perolehan RM100 juta setahun tetapi kesihatan rakyat lebih utama.
Dalam pada itu Yusuf berkata, kerajaan sepatut sedar bahawa penyakit tersebut bukan kerana makanan ringan sahaja tetapi gaya hidup masyarakat yang kurang mengamalkan bersenam dan memakan makanan berlemak seperti nasi lemak pun boleh membuat kesihatan terganggu.
“Contohnya pengambilan nasi lemak setiap pagi ini pun akan menambah lemak dan kolestrol, jadi takkan kerajaan hendak haramkan juga nasi lemak apabila terbukti ia penyebab pelbagai penyakit,” soalnya.
Oleh kerana itu katanya, yang penting ialah cara seseorang mengendalikan kehidupan sehariannya di mana perlu mengambil makanan seimbang dan rajin bersenam.
Katanya, nampak sangat kerajaan hanya akan sedar apabila ramai yang mengidap penyakit kronik dan tidak kurang juga yang meninggal sedangkan isu tersebut sudah lama berlaku. - mr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan