Jumaat, Februari 16, 2007

AWASI SURAT BERANTAI SKIM CEPAT KAYA

Sudah menjadi lumrah pada masa ini, apabila pergi ke masjid atau surau, terdapat risalah-risalah yang diletakkan di situ untuk dikutip oleh orang ramai. Kandungan risalah tersebut adalah berkaitan dengan satu program yang didakwa boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka yang menyertainya. Pelbagai nama yang diberikan untuk program ini, seperti Skim Insan Gemilang, Program Sumbangan Ikhlas, Program Ikhwan dan sebagainya.

Surat ini akan menceritakan masalah kewangan yang dihadapi oleh penyebar risalah ini. Namun apabila beliau menyertai program ini, masalah kewangan tersebut telah berjaya diselesaikan. Dalam risalah tersebut tersenarai tiga nama peserta yang telah menyertai program ini. Apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin menyertai program ini ialah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun ketiga-tiga peserta tersebut. Kemudian peserta baru ini diminta mengisi borang yang disertakan dengan meletakkan nama peserta kedua di tempat pertama dan peserta ketiga pula di tempat kedua, manakala peserta baru pula di tempat ketiga. Buat salinan sebanyak mungkin dan sebarkan kepada sesiapa sahaja.

Sebenarnya program ini adalah skim piramid atau sering kali disebut juga skim cepat kaya. Skim ini bertujuan untuk memancing orang yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dan pulangan yang tinggi. Sejarah menunjukkan bahawa skim seperti ini tidak mencapai matlamat sebagaimana yang dijanjikan. Ia hanya menguntungkan beberapa orang yang berada di atas sahaja.

Para pengguna perlu berhati-hati apabila mendapat risalah seperti ini. Jangan sesekali melibatkan diri kerana ia akan menyebabkan skim seperti ini terus bermaharajalela. Tidak usaha kita hidup dengan berangan-angan bahawa apabila menyertai skim ini, akan mencurah-curah wang masuk ke dalam akaun.

FOMCA telah lama mendesak agar Akta Anti Piramid digubal supaya skim-skim seperti ini dapat dibanteras. Akta ini bukan sahaja mengenakan tindakan kepada mereka yang menganjurkannya, tetapi juga mereka yang bersubahat dan turut mempromosi skim ini untuk disertai oleh orang lain. Janganlah kita membuangkan wang kita secara tidak bermanfaat dengan menyertai skim ini. Wang tersebut lebih baik digunakan untuk menampung perbelanjaan hidup kita yang kian meningkat pada masa ini.

Tiada ulasan: