Jumaat, Februari 23, 2007

HAK UNTUK MENDAPATKAN UBAT: KERAJAAN PERLU TEGAS BAGI MENYELAMATKAN NYAWA PESAKIT

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia ingin mengulas dan menyokong pendirian tegas Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail yang mempertahankan kemudahcapaian dan ketersediaan ubat generik di Malaysia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak di Geneva baru-baru ini.

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Amerika Syarikat (FTA Malaysia-AS) telah membangkitkan pelbagai isu sosio-ekonomi yang menarik perhatian pelbagai pihak, khususnya persatuan pengguna dan pertubuhan berasaskan komuniti.

FTA Malaysia-AS atau sebarang bentuk perjanjian dua hala mahupun pelbagai hala, tidak sewajarnya menyebabkan wujud ketidaksaksamaan sosial dalam masyarakat, terutamanya dalam sektor yang kritikal seperti penjagaan kesihatan.

Pada tahun 2003, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan lesen untuk mengimport beberapa dadah antiretroviral generik dari India, di bawah Perjanjian Berkaitan Hak Harta Intelektual (TRIPs) untuk kegunaan Kementerian Kesihatan.

Hasil daripada tindakan tersebut, kos rawatan bulanan hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan telah menurun sebanyak 81 peratus, iaitu daripada AS$315 kepada AS$58 (RM1,102 kepada RM203). Rentetan daripada itu, jumlah pesakit yang dirawat oleh agensi-agensi di bawah kementerian kesihatan juga telah meningkat daripada 1,500 kepada 4,000.

Walau bagaimanapun, jumlah ini masih rendah berbanding dengan kes penghidap penyakit AIDS seramai 10,000 yang memerlukan rawatan segera. Lesen import ubat generik tersebut pula hampir tamat.

Melihat kepada isu-isu yang dibincangkan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat sebelum ini, terdapat beberapa peruntukan di bawah TRIPs yang amat membimbangkan. Kemungkinan besar, Amerika Syarikat juga akan mendesak Malaysia untuk menerima peruntukan ini dalam FTA Malaysia-AS.

Sebenarnya peruntukan-peruntukan ini bertentangan dengan Pengisytiharan Doha tentang TRIPs dan kesihatan awam. Ia juga telah menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan ubat-ubat pada harga yang rendah.

Antara peruntukan lain yang bertentangan adalah peruntukan yang memberikan hak ekslusif kepada syarikat yang menghasilkan data ujian ubat-ubat generik tertentu bagi sesuatu tempoh. Ini akan menghalang penggunaan ubat generik dalam tempoh tersebut, walaupun ubat-ubat itu tidak dipatenkan.

Bagi penghidap HIV/AIDS, tindakan ini tidak ubah seperti mengenakan hukuman mati terhadap mereka. Mereka memerlukan rawatan berterusan pada tempoh masa yang lama dan kemudahcapaian kepada rawatan pada kadar yang rendah merupakan aspek yang amat penting.

Menyedari akan wujudnya situasi seumpama inilah, maka Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas bagi melindungi berjuta-juta nyawa yang terancam, khususnya golongan miskin, warga tua dan penghidap penyakit kronik seperti pesakit HIV/AIDS.

Peraturan berkaitan perdagangan tidak sepatutnya menafikan hak asasi manusia untuk menikmati keperluan asas, seperti kemudahan kesihatan. Sebaliknya tumpuan perlu diberikan bagi mewujudkan kesaksamaan sosial, melalui kemajuan dan pembangunan.

Tiada ulasan: