Agensi Penyelidikan Pemasaran, AC Nielsen, dalam satu kajiannya pada tahun 2005, mendapati Malaysia menduduki tempat kedua daripada 10 negara di dunia yang memakan makanan segera, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Peratusan rakyat Malaysia yang makan makanan segera adalah 59 peratus, manakala Amerika Syarikat sendiri, yang dianggap sebagai pelopor dalam restoran makanan segera, menduduki tempat kelapan, iaitu hanya 35 peratus sahaja.
Kajian ini amat menunjukkan tentang gaya hidup rakyat Malaysia yang begitu obses terhadap makanan segera. Tidak hairanlah mengapa rakyat Malaysia di antara yang terdedah dengan pelbagai penyakit, dan sering menduduki tempat tertinggi antara penghidap penyakit kronik yang teramai di dunia.
Pengambilan makanan segera yang ramai dalam kalangan rakyat Malaysia ini di antaranya disebabkan oleh langkah agresif syarikat pengeluar makanan segera khususnya strategi pengiklanan mereka.
Biarpun begitu, langkah mengharamkan iklan makanan segera sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Rakyat Malaysia sendiri perlu mengamalkan makanan seimbang dan sering melakukan senaman.
Dalam pada itu, penjualan makanan segera, makanan tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat di sekolah-sekolah dan di luar sekolah perlu dihentikan. Kementerian Pelajaran perlu tegas dalam hal ini dan mengambil tindakan terhadap sekolah-sekolah yang gagal mematuhi peraturan ini. Hal ini kerana pelajar sekolah didapati ramai memakan makanan segera dan minuman berkarbonat ini dan semakin ramai pelajar sekolah yang obesiti agak membimbangkan.
Kerajaan perlu bersikap proaktif dalam menangani masalah kesihatan rakyat. Jangan hanya apabila berlakunya kejadian yang tidak diingini barulah tindakan tegas diambil sedangkan masalah ini telah lama berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan