Jumaat, Mac 09, 2007

KEMARUK SKIM PELABURAN MELALUI INTERNET

Jika kita melayari internet pada hari ini, kita akan menjumpai pelbagai laman web yang menawarkan perkhidmatan skim pelaburan. Ada di antaranya yang memberikan pulangan yang begitu menarik sehingga ramai yang ingin menyertainya.

Ramai yang telah melaburkan wang mereka melalui skim pelaburan ini dengan pelaburan sehingga beribu-ribu ringgit. Memang ada yang mengatakan mereka telah mendapat pulangan sebagaimana yang dijanjikan. Namun begitu, terdapat lebih ramai lagi yang mendakwa wang mereka telah lebur kerana tidak mendapat pulangan sebagaimana yang dijanjikan.

Sebenarnya jika diperhalusi skim pelaburan ini secara teliti, ia mengamalkan konsep skim piramid. Ada skim ini yang turut meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif yang tinggi, berbanding sekiranya mereka hanya melabur sahaja. Lebih ramai yang berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif yang diperolehi.

Persoalannya di sini, para peserta yang mengikuti skim-skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa yang sebenarnya berlaku ialah wang para pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur yang lain. Pada satu peringkat, wang tersebut tidak lagi dijadikan sebagai pusingan, sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif yang diharapkan.

Para pengguna begitu asyik dengan pulangan pelaburan melalui internet ini sehingga gagal untuk memastikan sama ada wang yang dilaburkan itu selamat ataupun tidak. Tidak wujud sebarang undang-undang pada masa ini di negara kita yang dapat menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka sekiranya berlaku penyelewengan terhadap skim pelaburan tersebut.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim baru-baru ini ada menyatakan bahawa terdapat pegawai kanan kerajaan negara yang leka menyertai skim pelaburan melalui internet sehingga menjejaskan prestasi kerja mereka.

ini menunjukkan bahawa skim pelaburan ini turut diminati oleh golongan yang berkedudukan tinggi. Sudah tentu jumlah pelaburan mereka juga besar dan sedang dijanjikan pulangan yang tinggi. Apabila sampai satu peringkat nanti, apabila penaja skim ini menghentikan pemberian pulangan, barulah mereka sedar bahawa mereka sebenarnya telah tertipu. Pada ketika itu segalanya seperti `nasi telah menjadi bubur’. Sudah tentu pada masa itu, prestasi kerja mereka akan lebih teruk lagi.

Adalah lebih baik mereka melabur ke dalam pelbagai skim pelaburan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi amanah di negara ini. Permodalan Nasional Berhad baru-baru ini telah menawarkan pembelian Amanah Saham Wawasan 2020 sebanyak satu bilion dan Amanah Saham Malaysia pula sebanyak 800 juta unit. Pelaburan ini telah terjamin pulangannya walaupun mungkin tidak setinggi pulangan yang didakwa oleh penaja pelaburan melalui internet ini. Yang pentingnya wang mereka selamat dan mendapat jaminan daripada kerajaan.

Tiada ulasan: