Isnin, Mac 26, 2007

SYARIKAT JUALAN LANGSUNG MENGAMALKAN SKIM PIRAMID

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) amat mengalu-alukan langkah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat 6 buah syarikat jualan langsung yang didapati menjalankan perniagaan ala skim cepat kaya.

Syarikat-syarikat jualan langsung ini didapati telah mengubahsuai pelan pemasaran sebenar yang dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mendapatkan Lesen Jualan Langsung.

Berdasarkan pemerhatian FOMCA, hampir sebahagian besar daripada syarikat jualan langsung yang beroperasi di negara ini memang menjalankan operasi bertentangan dengan pelan pemasaran asal yang dikemukakan kepada Kementerian. Ini kerana KPDHENP menetapkan syarikat jualan langsung menekankan penjualan produk mereka terus kepada pengguna yang memang akan menggunakan produk tersebut. Perlantikan pengedar dan stokis adalah bagi membantu operasi pemasaran mereka agar sampai kepada pengguna.

Namun yang sering berlaku, kebanyakan syarikat jualan langsung ini lebih menekankan kepada penajaan ahli baru dan setiap ahli baru perlu membeli sejumlah produk dengan nilai tertentu bagi membolehkan mereka memperolehi insentif yang ditawarkan oleh syarikat. Sesi ceramah yang dianjurkan oleh mereka lebih menekankan kepada mendapatkan penajaan ahli baru, dan bukannya tentang produk yang dijual. Lantaran itu, ada dalam kalangan pengedar dan stokis ini tidak begitu memahami tentang produk yang dijual sehingga gagal menerangkan kepada pengguna dengan jelas. Isu kematian pengguna yang mengambil pil pelangsing badan, baru-baru ini, mungkin disebabkan oleh masalah ini. Pengedar atau stokis gagal memaklumkan kepada pengguna tersebut tentang kesan sampingan atau komplikasi yang timbul jika produk tersebut diambil dalam keadaan pengguna tersebut sedang menghidap sesuatu penyakit atau alahan tertentu.

FOMCA amat berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memantau kegiatan syarikat-syarikat jualan langsung ini yang menjalankan perniagaan pelbagai peringkat atau MLM, tetapi mengamalkan operasi ala skim piramid.

Dalam masa yang sama, FOMCA juga berharap persatuan-persatuan jualan langsung seperti Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) dan Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA) turut melakukan pemantauan terhadap ahli-ahli mereka yang beroperasi menyalahi Akta Jualan Langsung. Kerajaan mungkin perlu mewajibkan semua syarikat jualan langsung yang ingin mendapatkan Lesen Jualan Langsung perlu menjadi ahli kepada salah satu daripada dua persatuan jualan langsung ini sebagai prasyarat utama. Ini bagi memastikan kawalan kendiri dapat dilakukan oleh persatuan-persatuan jualan langsung tersebut.

DSAM dilaporkan sebagai berkata, 90 peratus daripada syarikat jualan langsung tidak berdaftar dengannya. Daripada 600 buah syarikat jualan langsung yang berdaftar, hanya 66 sahaja yang menjadi ahlinya. Mungkin ada di antara syarikat-syarikat yang tidak berdaftar dengan DSAM ini menjadi ahli Persatuan Edaran Terus Malaysia. Namun apa yang penting ialah semua syarikat jualan langsung wajib menjadi ahli mana-mana persatuan jualan langsung.

Syarikat-syarikat yang tidak menjadi ahli mana-mana persatuan jualan langsung inilah yang banyak menjalankan operasi menyalahi peraturan yang ditetapkan. Mereka bukan sahaja mengamalkan operasi ala skim piramid, malah menjadi dalang kepada penipuan skim gores dan menang.

Tiada ulasan: