Khamis, Mac 15, 2007

Membendung promosi ubat tidak beretika


PERTUBUHAN pengguna seluruh dunia menyambut Hari Hak Pengguna Sedunia pada 15 Mac setiap tahun. Seperti tahun sebelumnya, ‘Consumer International’ (CI), sebagai persatuan antarabangsa dianggotai lebih 250 persatuan pengguna dari 115 negara, menetapkan tema tertentu dan tahun ini ialah ‘Promosi Ubat-Ubatan Yang Tidak Beretika’.

Di Malaysia, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), yang juga ahli CI turut menjayakan kempen ini. Dengan kerjasama dan jaringan ahli CI seluruh dunia, Fomca sedang merangka pelbagai program seiring dengan kempen anjuran CI.

Sebagai permulaan, Fomca bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengadakan program kesedaran awam mengenai penggunaan ubat-ubatan secara rasional.

Menerusi program ini, masyarakat didedahkan terhadap konsep penggunaan ubat secara rasional.

Secara keseluruhannya, pengguna tidak sedar sebahagian besar ubat yang mereka ambil dipengaruhi syarikat pengeluar ubat, yang lebih mementingkan keuntungan. Kempen secara global ini bertujuan memastikan kerajaan dan syarikat farmaseutikal bertanggungjawab terhadap promosi, pemasaran dan pengiklanan ubat-ubatan tidak beretika.

Promosi ubat-ubatan dilakukan dengan pelbagai bentuk seperti promosi secara terbuka melalui iklan, pemberian produk sampel secara percuma dan kunjungan ke klinik perubatan oleh wakil jualan.

Ada juga promosi ubat dilakukan secara tidak langsung dengan membiayai kempen kesedaran sesuatu penyakit dan menulis artikel di dalam jurnal perubatan iaitu kaedah terkini syarikat farmaseutikal.

Dalam usaha promosi ini, syarikat pengeluaran farmaseutikal menggunakan pendekatan seolah-olah ia dilakukan secara sah mengikut undang-undang menyebabkan pengguna keliru dan mendapat maklumat salah.

Promosi yang disasarkan kepada doktor antara lain menerusi pengiklanan bercetak, brosur produk, menulis artikel dalam jurnal, kunjungan wakil jualan, pandangan pakar dalam sesuatu bidang, membiayai persidangan bagi pakar perubatan, pendidikan perubatan secara berterusan, hadiah, internet dan laman web produk.

Ada juga promosi menerusi anggota sosial, melobi menggunakan saluran politik, membiayai aktiviti pelajar perubatan dan farmasi, membiayai kumpulan pesakit.

Kaedah pemasaran ini memang tidak beretika. Pengeluar ubat-ubatan lebih mementingkan keuntungan. Oleh itu, bagi meningkatkan jualan produk, mereka cuba meningkatkan permintaan pengguna terhadap produk berkenaan.

Antara kaedah tidak beretika ialah:

  • Mempromosi ubat-ubatan serta membuat dakwaan yang mengelirukan;

  • Melindungi diri mereka daripada sebarang risiko dan kesan sampingan ubat-ubatan mereka dengan sengaja;

  • Memberikan insentif kewangan kepada doktor yang memberikan preskripsi ubat kepada pengguna, dan;

  • Menggunakan kempen kesedaran penyakit untuk mempromosi ubat mereka.

    Kaedah ini menyebabkan pengguna mengambil sesuatu ubat secara tidak rasional dan mendedahkan pengguna terhadap risiko kesihatan.

    Pada masa ini, tidak ada maklumat jelas mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan sesuatu promosi ubat-ubatan itu dijalankan secara beretika.

    Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mempunyai penanda aras dalam menentukan promosi ubat-ubatan tidak beretika. Bagaimanapun, kriteria ini bukan wajib dilaksanakan dan tidak mempunyai obligasi undang-undang. Pihak berkuasa kesihatan sesebuah negara perlu menggubal peraturannya sendiri untuk mengawal selia aktiviti berkaitan promosi ubat-ubatan.

    Di Eropah, kebanyakan negara di benua itu menyokong kawalan kendiri bagi sektor industri dan kerajaan mereka tidak begitu aktif dalam memantau salah laku korporat. Di negara rantau Asia, Amerika Latin dan Afrika, masalah rasuah dan tadbir urus lemah turut membantutkan usaha memantau aktiviti promosi ubat-ubatan.

    Kawalan kendiri industri menjadi pemantau kepada promosi ubat-ubatan tidak beretika. Mereka mewujudkan beberapa kod industri yang perlu dilaksanakan oleh industri secara sukarela untuk mengawal selia aktiviti promosi ubat-ubatan. Kod ini mempunyai perbezaan kandungan yang ketara dan sering gagal dikuatkuasakan.

    Dengan pengecualian kepada Amerika Syarikat dan New Zealand, kebanyakan negara mengharamkan pengiklanan berkaitan ubat-ubatan preskripsi secara terus kepada pengguna. Bagaimanapun, dengan menaja kumpulan pesakit tertentu, membiayai kempen kesedaran penyakit, mewujudkan laman web dan menawarkan khidmat kepada pakar kesihatan, pengeluar ubat-ubatan menemui kaedah lebih berkesan bagi mempengaruhi pengguna.

    Laporan CI pada 2006, yang berjudul ‘Penjenamaan Ubat-Ubatan' membentangkan bukti jelas bahawa kawalan kendiri industri gagal melindungi pengguna terhadap taktik promosi tidak beretika.

    Sebagai contoh, ada 972 pelanggaran terhadap kod Persatuan Industri Farmaseutikal Britain oleh 20 syarikat pengeluar ubat-ubatan utama sepanjang tempoh 2002 hingga 2005. Daripada jumlah itu, lebih 35 peratus pelanggaran peraturan berkaitan dakwaan tidak benar mengenai ubat-ubatan.

    Fomca amat yakin kesihatan pengguna perlulah mengatasi keuntungan korporat. Oleh itu, syarikat pengeluar perlu memaklumkan mengenai pembiayaan kempen kesedaran penyakit, mendedahkan sepenuhnya data ujian klinikal dan menghentikan amalan pemberian hadiah kepada doktor.

    Semua bentuk peraturan pada peringkat sejagat, serantau atau negara, hendaklah meliputi semua perkara berkaitan promosi ubat-ubatan, termasuk di laman web dan kempen kesedaran penyakit.

    Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Fomca dan Ahli Majlis Eksekutif Consumer International (CI)

  • Berita Harian, 15 Mac 2007

    Tiada ulasan: