Oleh ZAINUDDIN ZAIN, FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
Metro Ahad, 18 March 2007
Pendapatan mencecah lima angka selepas beberapa bulan aktif melabur KUALA LUMPUR: "Saya berdosa. Niat untuk memperbaiki ekonomi keluarga rupa-rupanya mendekatkan kami kepada api neraka kerana hasil daripada wang haram itu digunakan untuk membiayai kehidupan, sekali gus menjadi darah daging kami sekeluarga."
Demikian luahan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Liza yang sanggup berhenti kerja sebagai pemandu bas sekolah di ibu kota gara-gara pendapatan lumayan mencecah lima angka yang diperolehnya hanya selepas beberapa bulan aktif melabur di dalam skim pelaburan di internet.
Liza yang berusia pertengahan 30-an dan mempunyai tiga anak menangis teresak-esak kerana insaf selepas mendapat penerangan pakar ekonomi Islam, Zaharuddin Abdul Rahman, mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.
Mengimbas semula pembabitan di dalam pelaburan itu, Liza berkata, ia bermula awal tahun lalu selepas mendapat maklumat daripada seorang rakannya lalu membuat pelaburan awal kira-kira AS$100 (RM380) di dalam satu skim pelaburan di internet yang ketika itu masih baru beroperasi.
"Daripada pelaburan secara suka-suka, saya menjadikannya sumber rezeki sepenuh masa sehingga berhenti kerja kerana dalam tempoh kurang enam bulan, pendapatan saya mencapai lima angka apabila ada ramai ‘downline' (orang bawahan).
"Daripada keuntungan itu, saya melabur di beberapa skim baru di internet, sekali gus memberi pulangan lumayan yang digunakan untuk membayar hutang serta menyara hidup kami sekeluarga berikutan gaji suami kecil," katanya.
Bagaimanapun, Liza berkata, ketika ghairah mencari untung dengan melabur di internet, dia tersentak apabila membaca di dalam ruangan tulisan Zaharuddin di Metro Ahad (MA) mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.
Dia yang kemudian menghubungi Zaharuddin, bertekad berhenti daripada semua pelaburan haram itu untuk membina hidup baru tanpa wang haram.
"Saya tidak mahu mengheret keluarga ke dalam api neraka hanya kerana kemewahan sementara di dunia," katanya yang bersyukur suaminya tidak berhenti kerja meskipun pendapatan daripada pelaburan di internet mencecah puluhan ribu sebulan.
Liza juga berazam mencari kerja halal selepas ini dan akan mengira semula semua keuntungan yang digunakan hasil daripada pendapatan pelaburan di internet itu.
"Saya berjanji akan membayar sedikit demi sedikit kepada badan kebajikan untuk membersihkan diri kami sekeluarga daripada wang haram," kata Liza.
Pada masa ini, ada beberapa skim pelaburan di internet yang popular di kalangan rakyat negara ini yang mengaku kononnya mereka syarikat pelaburan online telus yang menawarkan fenomena baru dunia pelaburan ‘off shore'.
Ada pengendali skim itu mengaku mereka berpangkalan di Zurich (Switzerland), Amerika Syarikat dan Eropah serta peneraju ekonomi yang lain untuk menarik minat pelaburan bukan hanya dari rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.
Kebanyakan pengendali skim menawarkan pelaburan serendah AS$20 (RM76) dengan jaminan ulangan dua peratus setiap hari selama 100 hari, sekali gus bermakna seseorang mendapat keuntungan maksimum 200 peratus dalam tempoh itu.
Malah, bagi yang melabur AS$2,000 (RM7,600) pula, skim menjanjikan pulangan sehingga 290 peratus dalam tempoh 100 hari. Jumlah pulangan terus meningkat jika seseorang pelabur mempunyai ‘downline' (orang bawahan) yang ramai.
Seorang lagi pelabur yang mahu dikenali sebagai Hazli, 30, yang baru tiga minggu terjebak dalam pelaburan di internet, berkata dia terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan modal sebelum berhenti daripada aktiviti berkaitan riba itu.
Hazli berkata, dia menyertai pelaburan itu dengan pelaburan AS$100 (RM380). Melalui pengiraannya, selepas 100 hari, dia memperoleh keuntungan kira-kira RM950 dan selepas ditolak modal, dia bakal mendapat untung bersih RM570.
"Bayangkan, dalam masa 30 hari saya bakal mendapat RM285, sedangkan ada 70 hari lagi untuk tempoh matang. Jadi jika saya melabur dalam jumlah besar, tentu pulangannya besar. Begitupun selepas menyedari ia haram, niat itu terus terbatal dan kini saya hanya menunggu untuk mendapatkan modal semula," katanya.
Dia yang dimaklumkan mengenai pelaburan itu oleh kakak dan abang iparnya berkata, sebelum mengetahui ia haram, dia berhasrat menggunakan keuntungan sebagai simpanan untuk membuka perniagaan, membayar hutang dan membantu ibu bapa.
"Memang pada mulanya saya bersemangat untuk menyertainya, apatah lagi selepas diberitahu keuntungan diperoleh segera. Namun selepas berfikir secara logik, ke mana wang dilaburkan itu pergi dan mengapa begitu cepat iaitu selepas sehari boleh dapat keuntungan, saya terfikir kebenarannya," katanya.
Hazli berkata, keghairahan masyarakat Melayu menyertai pelaburan seperti itu yang menjanjikan pulangan segera mengundang risiko, selain salah di sisi agama.
"Pada saya, disebabkan ghairah melabur, tidak mustahil seseorang itu membuat pinjaman ceti haram atau along kerana dalam masa sehari sudah dapat keuntungan.
"Selain itu, berdasarkan pengalaman saya, ia melalaikan kerana kita asyik mencari ‘downline' tanpa menitikberatkan perkara wajib seperti solat, selain menimbulkan sifat tamak. Bila dapat wang, kita mahu cari lagi banyak, sedangkan apa yang diperoleh itu tiada keberkatan," katanya.
Bagaimanapun, rasa insaf Liza dan Hazli tidak dikongsi Amira, berusia pertengahan 20-an, yang bertekad tidak meninggalkan pelaburan di internet sehingga Jawatankuasa Fatwa Malaysia membuat pengumuman rasmi mengenai pengharamannya.
"Saya tidak tahu ia (pelaburan menerusi internet) halal atau haram. Ada orang kata halal dan ada juga beritahu haram.
"Begitupun, ‘upline' (orang atas) saya bergelar haji. Malah, ada rakan bertanya seorang ustazah dan diberitahu ia halal. Saya keliru, tetapi bagi saya, terpulang kepada niat masing-masing."
Amira berkata, pada masa ini ramai orang Melayu, sama ada kakitangan swasta atau kerajaan, ‘berlumba-lumba' menyertai pelaburan ini yang menjanjikan pulangan dalam tempoh 24 jam atau sehari selepas menyertainya.
"Soal halal dan haram sangat penting, terutama bagi orang Islam. Jika haram, tentu saya akan tinggalkan, tetapi pada masa ini saya lihat pelbagai golongan atau status menyertainya.
"Mungkin ia (skim) masih baru di negara ini dan mendapat sambutan hangat tetapi akan datang, saya tidak tahu apa akan berlaku, terutama apabila banyak pihak mula ‘bercakap' mengenai status halal dan haram pelaburan ini sekarang," katanya.
Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu tidak menafikan, keuntungan segera selain ‘kerja mudah' antara faktor ramai orang Melayu terpengaruh untuk menjadi orang kaya baru (OKB) melalui pelaburan singkat itu.
"Bayangkan, jika seseorang itu melabur AS$100 (RM380), mereka boleh memperoleh keuntungan sehingga RM950 (AS$250) selepas tempoh matang iaitu 100 hari.
"Dalam sehari, boleh untung RM9.50 (AS$2.50). Kalau malas cari downline, mereka hanya mengaut untung ini setiap hari selama 100 hari dan jika ada downline, tentu keuntungan bertambah. Memang mudah dan senang," katanya.
Dia yang melabur AS$500 (RM1,900) beberapa bulan lalu gembira kerana hanya dalam tempoh 40 hari, modal dilaburkan diperoleh kembali dan kini dia hanya ‘makan untung'.
"Sebelum menyertai pelaburan ini, bakal pelabur diberitahu mengenai risikonya, termasuk kerugian yang akan ditanggung sendiri. Justeru, mereka yang baru digalakkan membuat pelaburan serendah AS$20 (RM76) dan lihat hasilnya sebelum membuat keputusan sendiri," katanya sambil menambah, pelaburan tertinggi ialah AS$2,000 (RM7,600) dengan pulang mencapai RM23,000 dalam tempoh 100 hari.
Ditanya adakah dia tidak bimbang jika satu hari nanti kerajaan mengharamkan pelaburan seperti itu, Amira berkata, seandainya perniagaan itu terbukti haram, dia tidak teragak-agak meninggalkannya.
Mukadepan: Ketepikan hukum agama untuk jadi OKB
18 March 2007
KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah untuk menjadi ‘orang kaya baru' atau OKB, ada umat Islam di negara ini sanggup mengetepikan hukum agama dengan mengambil risiko melabur di dalam skim pulangan ekspres di internet.
Walaupun menyedari ia berbentuk skim cepat kaya dan pelaburan mereka berisiko berikutan hanya bersandarkan urusan di internet dan satu nombor telefon, habuan lumayan dijanjikan skim itu menjadikan mereka ‘kelabu mata'.
Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, memberi amaran, pulangan yang diterima daripada skim di internet adalah haram.
Beliau yang juga penulis tamu untuk ruangan An-Nur di Metro Ahad berkata, selepas tiga minggu berturut-turut membicarakan mengenai pelaburan di internet di ruangan itu, banyak maklum balas diterima daripada orang ramai.
"Ramai menelefon dan menghantar e-mel untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Malah, saya diminta membentangkan kajian saya mengenai pelaburan di internet dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, 10 Mac lalu.
"Selain saya, seorang lagi yang juga bekas pelabur di dalam skim pelaburan internet turut membentangkan pengalamannya," katanya.
Zaharuddin berkata, pada mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan pelaburan di internet sebagai haram.
"Apabila saya maklumkan keputusan ini kepada mereka yang menelefon dan menghantar e-mel, ada yang terkejut dan menangis kerana selama ini menggunakan wang haram.
"Yang jelas, jangan kata makan minum atau membeli aset, wang berkenaan juga haram meskipun digunakan untuk membayar hutang, termasuk cukai.
"Ini kerana Majlis Fekah Sedunia memutuskan, wang yang difatwakan daripada hasil yang haram harus disedekahkan kepada badan kebajikan awam atau surau dan masjid selain golongan fakir," katanya.
Bagaimanapun, Zaharuddin berkata, kajian ulama dan pakar ekonomi Islam mendapati, ada beberapa ciri di dalam pelaburan berkenaan yang jelas bertentangan dengan Islam, menyebabkan ia difatwakan sebagai haram.
"Yang jelas, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah. Selain itu, banyak helah di dalam skim pelaburan berkenaan, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada pelanggan, yang mana keadaan ini tidak dibenarkan di dalam Islam.
"Semua skim ini tidak ada kontrak atau perjanjian sempurna, sebaliknya hanya berurusan di internet tanpa butiran sebagai bukti, menyebabkan risiko untuk orang ramai tertipu adalah besar dan mudah," katanya.
Beliau berkata, tindakan beberapa skim menetapkan kadar faedah untuk tempoh tertentu juga bertentangan dengan hukum Islam kerana berkonsepkan riba.
Zaharuddin berkata, tiada jalan penyelesaian, selain umat Islam yang terjebak dengan skim berkenaan mengeluarkan semua wang mereka dan mengambil semula modal sebenar yang dilaburkan.
"Wang keuntungan pula perlu diserahkan untuk kebajikan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika diteliti, banyak skim pelaburan di internet mengamalkan konsep skim piramid.
Di dalam satu kenyataan, beliau berkata, ada skim meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif tinggi dengan lebih ramai berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif diperoleh.
"Persoalannya, peserta yang mengikuti skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa sebenarnya berlaku ialah, wang pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur lain.
"Pada satu peringkat, wang berkenaan tidak lagi dijadikan sebagai pusingan sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif diharapkan," katanya sambil menambah, tidak wujud undang-undang pada masa ini yang menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka jika berlaku penyelewengan terhadap skim berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan