Isnin, Mei 12, 2008

FOMCA GARIS TUJUH PUNCA TANGANI KRISIS

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), membangkitkan tujuh isu utama bagi mengulas situasi beras di negara ini termasuk kebimbangan mengenai keselamatan bekalan makanan asasi negara dalam menangani krisis ketika berlaku kecemasan.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, (gambar) berkata berdasarkan konsep dan pelaksanaan digunakan selama ini, bekalan beras untuk tujuan ketika kecemasan ditempatkan di gudang milik Bernas, yang dulunya menjadi gudang stok beras negara di bawah Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

Katanya, gudang berkenaan perlu berada di lokasi strategik bagi memudahkan kerajaan mengambil stok pada bila-bila masa dan boleh diperiksa apabila perlu.

“Persoalannya, adakah stok simpanan beras negara masih ada dan disimpan oleh Bernas. Jika bekalan beras mencukupi, mengapa baru-baru ini harga beras dinaikkan tanpa dimaklumkan kepada 27 juta rakyat Malaysia sedangkan beras adalah makanan asasi.

“Bukankah stok beras negara sewajarnya digunakan untuk mencegah kenaikan harga beras di pasaran dengan tindakan melambak pasaran terhadap gred beras yang didapati dinaikkan harga. Ini adalah tanggungjawab Bernas yang ditetapkan dalam ‘Perjanjian Penswastaan’ untuk menjaga kepentingan pengguna dalam negara.

“Sekiranya berlaku kecemasan seperti darurat atau bencana, adakah pada masa itu baru hendak mengilang padi sedangkan pada masa darurat, pengguna memerlukan beras serta-merta, bukannya baru hendak menunggu ia dikisar,” katanya.

Selain itu, isu kedua yang dibangkitkan Fomca ialah masalah bekalan lantaran keliru dengan kenaikan harga beras tempatan sedangkan difahamkan bekalan beras dalam gudang Bernas mencukupi untuk menampung 72 peratus keperluan dalam negara.

Beliau berkata, pada kebiasaannya kenaikan harga barang kawalan mempunyai kaitan dengan kekurangan atau ketidakcukupan bekalan pada satu-satu masa dan jika ia berlaku, adakah kerajaan gagal memantau aktiviti perniagaan Bernas atau agensi itu sendiri gagal memantau syarikat subsidiari di bawahnya.

Isu ketiga dibangkitkan mereka ialah masalah harga beras kepada pengguna dengan mempersoalkan pihak mana yang berani mengaku bertanggungjawab terhadap kenaikan harga beras tempatan dan import di pasaran sebelum ini dan sekarang.

“Bolehkah kerajaan meneliti harga beras import yang dibeli dari Thailand, China, Vietnam, India, Pakistan dan Myanmar. Persoalannya, kerajaan mesti mempunyai maklumat harga pasaran beras tempatan di Thailand, harga belian sebenar oleh Bernas melalui syarikat usaha samanya di Bangkok, harga selepas tiba di pelabuhan Malaysia dengan mengambil kira semua kos dan berapa pula harga jualan Bernas kepada pemborong (bukan anak syarikat Bernas).

“Teliti juga harga jualan Bernas kepada subsidiari Bernas, dan mengambil kira harga jualan beras mengikut gred pada peringkat peruncit yang seterusnya menjual pula kepada pengguna.

“Bolehkah kerajaan menetapkan paras keuntungan bagi setiap jenis atau gred beras import Bernas supaya keuntungan yang adil dan berpatutan diberikan kepada setiap peringkat saluran pemasaran, iaitu Bernas, pemborong dan peruncit seperti formula penetapan harga beras tempatan,” katanya.

Selain itu, Fomca turut mempertikaikan isu bekalan beras tempatan yang masih gagal mencapai 100 peratus keperluan penduduk negara dengan mempersoalkan kaedah yang akan digunakan untuk menggerakkan industri penanaman padi supaya mampu memenuhi keperluan itu.

“Adakah kerajaan bersetuju bahawa dengan berada pada paras 73 peratus kecukupan sara diri, Malaysia akan berdepan dengan situasi lebih 20 peratus bekalan makanan asasinya berada dalam situasi tidak selamat. Bukankah ia sekali gus menyentuh soal keselamatan makanan?

“Adakah kementerian sentiasa memeriksa paras stok beras negara dalam gudang milik Bernas secara berkala untuk memastikan beras terbabit sentiasa ada dan berkualiti baik supaya tindakan itu dapat memastikan ia tidak menjadi isu apabila berlaku situasi kecemasan.

“Jika isu kenaikan harga beras berbangkit, bolehkah kementerian mengarahkan Bernas melambakkan pasaran dengan gred beras yang mengalami kenaikan harga supaya tindakan campur tangan kerajaan dapat menurunkan harga beras pada harga kerajaan tetapkan,” katanya.

Isu saluran pemasaran yang berlapis serta tidak efisen juga menjadi salah satu pertikaian dibangkitkan kerana Fomca berpendapat ia menjadi antara sebab harga beras sukar dikawal dan tidak tetap.


Berita Harian, 12 Mei 2008

Tiada ulasan: