helmy@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Jangan ambil risiko,” demikian reaksi Pengarah Komunikasi Gabungan Persekutuan Pengguna Melayu (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, ketika mengulas pendedahan Harian Metro mengenai risiko penduduk diserang kanser dan pelbagai sakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi.
Katanya, pihak berwajib perlu lebih serius menangani isu ini dan tidak lagi membenarkan pembinaan menara komunikasi berhampiran kawasan kediaman.
“Ini soal nyawa penduduk yang tak boleh dijual beli. Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu dan tidak memandang remeh perkara ini supaya jangan nanti berlaku lebih banyak perkara tidak diingini.
“Sepatutnya, menara telekomunikasi perlu ditempatkan di kawasan tinggi atau bukit, bukan di tengah-tengah kawasan perumahan,” katanya ketika, semalam.
Isnin lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan mengenai risiko tinggi penduduk diserang kanser dan pelbagai penyakit kronik lain berikutan tinggal berhampiran menara pemancar telekomunikasi di Taman Subang, Kelana Jaya.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Adlina Suleiman, bersama 10 pelajarnya, melalui kajian kesan radiasi menara pemancar telekomunikasi terhadap penduduk di Taman Subang, Kelana Jaya.
Hasil kaji selidik dua minggu membabitkan 170 penduduk taman perumahan itu mendapati 8.23 peratus responden diserang kanser berbanding tidak sampai satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat negara ini mengalami penyakit sama.
Kebanyakan kes berlaku sesudah sebuah menara pemancar telekomunikasi didirikan di taman perumahan itu 10 tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung dengannya.
Dr Adlina yang turut menghuni taman perumahan itu mengambil inisiatif membuat siasatan bahaya kesan radiasi gelombang elektromagnetik (EMR) dihasilkan menara pemancar telekomunikasi sebelum melakukan kaji selidik dua minggu membabitkan 170 responden.
Mohd Yusof berkata, pihak berwajib perlu melakukan lebih banyak kajian mengenai bahaya kesan radiasi dihasilkan menara telekomunikasi dan mendedahkannya kepada orang ramai.
“Orang ramai yang tidak mengetahui bahaya kesan radiasi mungkin kata ia baik untuk kemudahan sedangkan hakikatnya sesetengah menara pemancar boleh menjadi seperti pembunuh senyap.
“Kalau kita lihat di Eropah, banyak kajian sebegini dilakukan dan kita patut meniru usaha ini sebelum terlambat,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersikap proaktif bagi mencegah bencana disebabkan kesan radiasi menara terbabit.
Harian Metro, 2 Mei 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan