KUALA LUMPUR: “Jika perlu, isytiharlah darurat,” demikian reaksi Pengarah Komunikasi Gabungan Persekutuan Pengguna Melayu (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, ketika mengulas krisis beras yang sedang melanda negara ini.
Katanya, kerajaan perlu bersikap lebih tegas menangani perkara berkenaan berikutan barang keperluan itu adalah makanan asasi masyarakat negara ini.
“Isu seperti ini pernah berlaku sekitar 1973 dulu dan kerajaan pada masa itu mengambil langkah mengisytiharkan darurat supaya tiada yang berani mengambil kesempatan menyorok atau menyeludup beras ke luar negara.
“Langkah itu perlu kerana tidak seperti tepung atau gula, beras adalah makanan asasi rakyat negara ini. Sekarang ini, apa yang kita lihat, kerajaan seolah-olah tidak terlalu bersungguh-sungguh atau agak lambat bertindak bagi menangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
“Agak pelik kerana Bernas (PadiBeras Nasional Bhd) kata negara kita masih mempunyai lebih 70 peratus simpanan beras atau dengan kata lain masih mempunyai stok yang mencukupi.
“Persoalannya, bagaimana boleh timbul krisis. Ini membuktikan, memang wujud kemungkinan ada pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan situasi kekurangan bekalan beras dunia untuk mencari untung dengan menyorok barang keperluan ini.
“Selain itu, dulu kita ada stok penimbal beras sebanyak 92,000 tan untuk digunakan sewaktu darurat atau kekurangan beras, tapi adakah ia masih wujud apabila Bernas ambil alih daripada Lembaga Padi Negara (LPN) dan jika ada, memang wajar digunakan sekarang,” katanya.
Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kegiatan menyeludup keluar beras gred super tempatan 15 peratus hancur ke Thailand dan tidak menolak kemungkinan beras berkenaan turut dibawa keluar ke Singapura.
Penyeludupan itu berlaku berikutan kesan kenaikan harga serta kekurangan beras dunia menyebabkan penyeludup membawa keluar beras gred berkenaan ke negara jiran kerana beras gred berkenaan harganya dikawal dan lebih murah berbanding beras gred lain iaitu antara RM1.65 hingga RM1.95 sekilogram.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, beras gred berkenaan dilarang sama sekali dibawa keluar dari negara ini kerana ia barang kawalan selain kerajaan memberi subsidi.
Menurutnya, jika sebelum ini penyeludup membawa masuk beras dari Thailand ke negara ini tetapi kegiatan itu bertukar apabila mereka membawa keluar pula beras ke negara jiran.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Saidon Ahmad, turut tidak menolak kemungkinan ada pemborong menyorok bekalan itu dan berharap kerajaan bersikap lebih proaktif bagi menyekat perilaku tidak beretika berkenaan.
Harian Metro, 13 Mei 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan