Oleh Azrul Affandi Sobry
TAHUKAH anda bahawa negara kita sebenarnya tidak perlu mengimport beras? Tetapi hakikatnya, hasil padi dalam negara ketika ini cuma mampu menampung 72 peratus keperluan beras bagi semua penduduk tempatan.
Bakinya kita terpaksa import dan apabila krisis makanan dunia tercetus seperti sekarang, harga beras import naik mendadak dan rakyat kita pula terpaksa membayar dengan harga lebih tinggi.
Kenapa perlu import jika kita mampu mengeluarkan hasil melebihi keperluan seluruh penduduk dalam negara?
Itulah antara persoalan yang wajar diberi perhatian apabila negara kini dalam dilema berdepan krisis bekalan beras yang dikatakan antara paling meruncing pernah dihadapi sejak pengurusan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan di bawah syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Ketika kemelut itu melanda, pelbagai rumusan dibuat dan kebanyakannya menyalahkan Bernas kerana kegagalan menguruskan bekalan beras dalam negara serta ketidakupayaan syarikat itu bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk krisis yang berlaku kini.
Salah menyalah dan tuding menuding bagai sudah menjadi adat dalam kehidupan masyarakat negara ini apabila sesuatu isu dibicarakan apatah lagi apabila ia membabitkan sumber makanan utama rakyat negara ini dan lebih buruk lagi apabila menyentuh soal ekonomi penduduknya.
Memang layak kebanyakan pihak melenting apabila harga beras terpaksa dinaikkan lantaran kononnya bekalan beras dari beberapa negara pengeluar selama ini berkurangan atas pelbagai alasan termasuk situasi cuaca dunia yang tidak menentu.
Namun, apabila membicarakan satu isu yang berhubung kait dengan bahan makanan yang sumbernya datang daripada sektor pertanian, punca akarnya tidak boleh disisihkan iaitu keupayaan negara mengeluarkan hasil padi dalam jumlah secukupnya.
Beras dan padi tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya mempunyai satu hubung kait yang sangat rapat. Manakan dapat berasnya jika tiada padi yang dituai. Justeru, apabila isu beras menjadi perbualan, isu padi juga wajar diberi perhatian sama.
Kenapa dalam kebingitan membicarakan krisis beras, tidak banyak yang bangkit membincangkan isu penanaman padi. Ini kerana, umum cukup mengetahui bahawa negara ini mempunyai keluasan tanah sawah yang sangat besar dan cukup gah dengan gelaran Jelapang Padi.
Jika diambil kira kenyataan Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, dan Timbalan Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Syed Omar Syed Rastan, Malaysia sepatutnya tidak terheret sama dalam krisis bekalan beras kerana kemampuannya menghasilkan sumber padi melebihi daripada keperluan rakyat dalam negara.
Menurut Syed Omar, kemampuan Malaysia, jika diambil kira keluasan kawasan penanaman padinya seluas lebih 650,000 hektar, ia mampu mengeluarkan hasil yang boleh menampung keperluan untuk lebih 30 juta penduduk, jauh daripada jumlah sebenar rakyat negara ini seramai 27 juta orang.
Malah, katanya, negara mampu menghasilkan sumber beras untuk 43 juta penduduk jika semua kawasan penanaman padi diusahakan dua kali setahun, dan jumlah yang hampir sekali ganda daripada keseluruhan penduduk negara ketika ini bukan saja menyelamatkan Malaysia daripada sebarang krisis, malah boleh pula meletakkan negara ini sebagai salah satu pengeksport utama dunia.
Kenyataan Abd Shukor pula kelihatan lebih realistik kerana katanya, tanpa perlu menambah keluasan tanah dan hasil padi hanya ditingkatkan sebanyak satu tan sehektar saja, ia sudah cukup untuk membolehkan Malaysia mempunyai bekalan berlebihan tanpa perlu diimport.
Justeru, apabila meneliti kenyataan kedua-dua pakar penyelidikan pertanian itu, pastinya persoalan demi persoalan akan diajukan kerana sehingga hari ini, malah dalam kenyataan terbaru Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia dikatakan masih tidak mempunyai bekalan beras mencukupi dan terpaksa menambah import dari negara luar terutama Thailand.
Memang benar, untuk merealisasikan hasrat pengeluaran padi melebihi keperluan, banyak perkara perlu dilakukan termasuk meningkatkan infrastruktur di sawah terutama membabitkan sistem pengairan. Namun, sewajarnya kerajaan tidak boleh terus berlengah kerana hanya dengan langkah itu keselamatan makanan negara dapat dipulihkan.
Semua pihak sedia maklum bahawa negara ini cukup hebat dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah seantero dunia cukup mengenali Malaysia, lantaran kehebatannya dalam menjalankan R&D.
Namun, berbalik kepada isu bekalan beras dan penghasilan sumber padi, pelbagai R&D yang dijalankan gagal digunakan sebaiknya meskipun sudah banyak terbukti ia mampu meningkatkan hasil padi sehingga lebih 100 peratus.
Contohnya sudah ada. Kenapa di kawasan projek Barat Laut Selangor, hasil padi boleh mencapai antara lapan hingga 12 tan sehektar sedangkan ada kawasan lain hanya mampu mengeluarkan hasil di bawah empat tan sehektar menjadikan purata pengeluaran padi seluruh negara hanya sekitar 3.5 tan sehektar.
Salah siapa? Teknologinya sudah ada. Baja subsidi sudah dibekalkan, malah pelbagai insentif sudah diberi, namun hasilnya masih menghampakan. Wajarkah pesawah dipersalahkan kerana tidak suka berganjak daripada kaedah konvensional kepada teknologi moden atau agensi penyampai yang tidak benar-benar turun padang memberi kefahaman.
Berita Harian akan cuba menyelami apa sebenarnya masalah dihadapi pada peringkat pesawah dalam Laporan Khas akan datang bagi mengenal pasti mengapa hasil padi di sesetengah kawasan gagal dipertingkatkan dengan harapan semua pihak membuka mata mencari satu jalan penyelesaian menyelamatkan sumber makanan utama negara.
Berita Harian, 12 Mei 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan