Selasa, Mei 27, 2008

SUBSIDI MINYAK IKUT CC

Oleh Sazarina Shahrim

Fomca cadang harga petrol berdasarkan jenis kenderaan

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan supaya pemberian subsidi petrol dilakukan mengikut kuasa enjin kereta (cc) yang digunakan pengguna.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata langkah itu bagi memberi keadilan kepada mereka yang tidak berkemampuan yang kebanyakannya menggunakan kereta berkuasa rendah.

"Apa yang berlaku ketika ini, mereka yang mampu membeli kereta besar membayar harga petrol sama dengan pemilik kereta kecil," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah itu adalah antara cadangan dikemukakan Fomca pada dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai skim subsidi minyak untuk dinikmati penduduk negara ini.

Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu menetapkan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun kepada pengguna jika mahu menghapuskan subsidi minyak dinikmati selama ini supaya segala tindakan untuk mengurangkan beban dapat diambil dalam tempoh itu.

Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan kerajaan mencari bahan api serta tenaga alternatif menggantikan minyak.

"Di negara maju, penggunaan bahan api untuk kenderaan persendirian berjaya dikurangkan melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan sebagai langkah awal.

Ia dipertingkatkan dengan menyepadukan semua kaedah pengangkutan menjadi satu entiti yang berkesan," katanya.

Beliau berkata, tempoh masa tertentu diperlukan rakyat supaya tiada kenaikan mendadak terhadap kos kehidupan sekiranya subsidi minyak dihapuskan.

Sambil menegaskan pengumuman beberapa langkah kerajaan sejak kebelakangan ini dilihat mampu mengatasi masalah itu, Mohd Yusof yakin demonstrasi seperti berlaku di Indonesia berikutan kenaikan harga bahan apinya sehingga 30 peratus, tidak akan berlaku di negara ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mengkaji dan memperhalusi semula skim subsidi minyak ketika ini berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia, mengikut kaedah yang tidak membebankan rakyat terutama berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, dilaporkan berkata pengguna negara ini dijangka menikmati harga petrol biasa lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak subsidi bagi petrol biasa.

Shahrir berkata, perubahan harga petrol itu akan dibuat melalui kajian semula subsidi petrol di pasaran seperti petrol berplumbum dan tanpa plumbum, iaitu RON 92 dan RON 97.


Berita Harian
26 Mei 2008

Tiada ulasan: