KUALA LUMPUR: Masih ada segelintir syarikat mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengaut keuntungan ‘atas angin’ lanjutan daripada Mekanisme Penggenapan pembayaran bil di kaunter.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pemantauan Fomca mendapati terdapat sesetengah syarikat menjalankan mekanisme itu, tetapi masih ada yang tidak menggunakan kaedah terbabit.
Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna kerana terdapat sesetengah syarikat utiliti seperti elektrik dan air serta syarikat komunikasi mengambil kesempatan menggenapkan bilangan bil lebih awal sebelum mereka membuat pembayaran di kaunter.
“Penggenapan jumlah bil hanya boleh dibuat jika pengguna datang membuat bayaran di kaunter saja dan bayaran bil tidak boleh digenapkan dan bayaran tetap sama jika mereka membayarnya melalui sistem online.
“Perkara ini terjadi kerana ramai pengguna tidak sedar bayaran bil mereka digenapkan lebih awal sebelum mereka membuat pembayaran lagi,” katanya.
Menurutnya, mungkin kerana jumlah wang yang kecil, orang ramai tidak mengendahkan hal ini, tetapi mereka tidak mengambil mudah perkara itu dan membiarkan pihak tidak bertanggungjawab memperdayakan mereka.
Mohd Yusof turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan teliti ketika membuat pembayaran serta membuat aduan kepada pihak berwajib untuk memastikan perkara itu tidak berterusan.
Mekanisme Penggenapan yang dilaksanakan sejak April lalu bertujuan mengurangkan penggunaan wang syiling mendapat respons baik daripada kebanyakan pihak dan peniaga kerana kaedah itu memudahkan urusan transaksi jual beli antara peniaga dan pengguna.
Pelaksanaan mekanisme itu membolehkan jumlah bil yang berakhir dengan satu, dua, enam dan tujuh sen diturunkan kepada lima sen terdekat, manakala tiga, empat, lapan dan sembilan sen dinaikkan kepada lima sen terdekat.
Sistem penggenapan berkenaan berlaku dengan membawa baki sen dalam jumlah bil dibawa ke bulan yang akan datang untuk memastikan sistem pembayaran berjalan lebih lancar.
Harian Metro, 3 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan