Jumaat, Jun 27, 2008

FOMCA SYOR KADAR TOL KEKAL

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan kepada kerajaan supaya kadar tol di lebuh raya yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) perlu menyediakan laluan untuk motosikal dan kadar tol yang ditetapkan tidak akan berubah-ubah.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu membuat penelitian secara terperinci sebelum menandatangani kontrak bersama syarikat konsesi bagi memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat diberi keutamaan.

Katanya, kerajaan perlu menambah peruntukan bagi menyediakan laluan untuk motosikal yang berupaya mengurangkan risiko kemalangan manakala penetapan kadar tol sekali saja adalah untuk memastikan rakyat tidak dibebankan dengan peningkatan kos berkenaan.

“Kita berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya sebelum menandatangani perjanjian konsesi terutama membabitkan kadar tol bagi mengelakkan pengguna lebuh raya membayar pada harga tinggi setiap kali kajian semula dilakukan.

“Bagi laluan pengguna motosikal pula, kerajaan perlu memberikan peruntukan tambahan kerana kebanyakan lebuh raya di negara ini tidak menyediakan kemudahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mohd Yusof mengulas komitmen kerajaan dalam RMK-9 menjelang 2010 yang mahu membina Lebuhraya Pantai Timur Fasa II Kuantan-Kuala Terengganu, Senai-Desaru dan Kemuning-Shah Alam bagi meningkatkan kapasiti, kecekapan dan liputan rangkaian infrastruktur pengangkutan.

Beliau berkata, dengan pembinaan lebuh raya itu pengguna akan dapat menjimatkan masa perjalanan sekali gus memberi keselesaan sepanjang melalui laluan berkenaan.

Ditanya mengenai komitmen kerajaan untuk membina jalan menghubungkan kawasan penempatan semula dengan kawasan perindustrian luar bandar dan estet terutama di Sabah dan Sarawak, Mohd Yusof berkata, ia adalah perlu bagi membantu merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi di lokasi berkenaan.

“Pembinaan jalan raya ini perlu mengutamakan kawasan seperti di Sabah dan Sarawak supaya ia dapat membangunkan lokasi perindustrian di lokasi berkenaan,” katanya.


Berita Harian,
27 Jun 2008

Tiada ulasan: