GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendesak Proton supaya mencipta pengeluaran kereta nasional dengan menyediakan tangki NGV, mungkin yang lebih kecil dan boleh diletakkan meliputi kawasan tengah dan belakang di bawah kereta.
Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ini boleh dilakukan terhadap semua kenderaan baru keluaran Proton dalam usaha menggalakkan penggunaan NGV ketika negara dihambat dengan kenaikan harga petrol dan diesel.
“Jika kereta nasional disiapkan dengan sistem NGV, ia sekali gus akan menjadi pemacu meningkatkan kembali jualan kereta nasional yang pastinya akan merosot dengan kenaikan harga minyak kini,” katanya.
Katanya, masih ramai pemilik kenderaan berkira-kira memasang sistem itu pada kenderaan masing-masing kerana membabitkan kos pemasangan yang tinggi, malah ada mencecah RM8,000.
“Walaupun kerajaan ada memberi insentif pemotongan cukai jalan sebanyak 25 peratus, ia masih belum memadai untuk menjadi motivasi kepada pemilik kenderaan kerana kos pemasangannya sangat tinggi.
“Mungkin bagi golongan berada, ia bukan masalah besar, tetapi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, kos sebanyak itu sangat tinggi sedangkan kenaikan harga minyak sebenarnya lebih dirasai golongan itu,” katanya.
Selain itu, katanya, masalah prasarana, iaitu kekurangan stesen minyak menyediakan perkhidmatan NGV menyebabkan ramai pemilik kenderaan berasakan tidak berbaloi memasang sistem berkenaan dan perlu beratur panjang untuk mendapatkan bekalan gas asli itu.
Beliau berkata, dengan sebanyak 79 stesen minyak menyediakan kemudahan itu yang kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang, ia mendatangkan masalah. Walaupun kerajaan berjanji akan menambah kepada 100 stesen tahun ini, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan.
“Pengguna NGV di Lembah Klang mungkin sudah boleh menarik nafas lega kerana kini sudah semakin banyak stesen minyak membekalkan gas itu, tetapi bagaimana pula bagi mereka di negeri lain, terutama di sekitar Pantai Timur dan utara,” katanya.
“Pada pihak pengguna pula, pemotongan kepada bayaran cukai jalan mungkin boleh ditambah bagi menjadi motivasi atau tarikan kepada mereka menggunakan sistem itu. Kos pemasangannya juga perlu dikaji supaya boleh diperoleh dengan harga lebih murah,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak Petronas mendapati permintaan terhadap NGV masih tidak menunjukkan peningkatan mendadak, kecuali di beberapa stesen minyak di Utara Semenanjung.
Beberapa pengusaha dan penyelia stesen Petronas di Lembah Klang memberitahu tiada peningkatan mendadak terhadap NGV, walaupun harga petrol naik sehingga mencecah sehingga RM2.70 seliter.
Penyelia stesen Petronas SS3 Kelana Jaya, Fadhil Abdullah, berkata tiada perubahan mendadak terhadap jualan NGV, malah beliau yakin senario kenaikan harga minyak tidak akan meningkatkan jualan NGV.
Pengusaha stesen Petronas Taman Sri Hartamas, Rosman Omar, pula berkata, sepanjang pemerhatiannya, pemandu teksi masih menjadi kelompok utama, iaitu 99 peratus daripada pelanggan NGV di situ berbanding pemilik kenderaan persendirian.
Katanya, meskipun harga minyak naik mendadak, tidak ada petanda pengguna NGV akan bertambah kerana setakat ini kebanyakan pelanggannya masih di kalangan pelanggan tetap dan tidak ada pelanggan baru.
Keadaan berbeza pula berlaku di stesen Petronas Prai apabila secara tiba-tiba permintaan terhadap NGV meningkat secara mendadak, malah mungkin menyebabkan stesen itu tidak mampu menampung permintaan pada masa akan datang sekiranya tiada stesen baru dibuka.
Penyelianya, Fahitah Yeop, berkata dalam masa seminggu selepas kenaikan harga minyak, pam NGV di stesen itu menjadi semakin sesak, terutama pada waktu puncak.
“Daripada sumber yang kami peroleh, lebih ramai penduduk Pulau Pinang dan Kedah memasang sistem NGV. Jika ia benar, kami yakin stesen ini tidak akan mampu menampung permintaan pada masa akan datang. Tambahan pula, hanya stesen ini mempunyai kemudahan NGV di negeri ini.
“Lebih memburukkan keadaan, semua kenderaan dari Kuala Lumpur dan negeri lain yang ke utara melalui Prai akan mengisi NGV di sini kerana tidak ada stesen lain menjual NGV di sepanjang laluan bermula Perak,” katanya.
Berita Harian
16 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan