Selasa, Jun 17, 2008

MASALAH KOS, TAPAK KEKANGAN BUAT PETRONAS

PETRONAS komited menjayakan program penggunaan NGV di negara ini demi kepentingan alam sekitar dengan mensasarkan penambahan jumlah stesen yang menyediakan kemudahan itu kepada 200 stesen selewat-lewatnya pada 2010.

Namun, atas beberapa faktor, termasuk kos melengkapkan kemudahan agak tinggi iaitu mencecah RM1.5 juta untuk stesen sedia ada dan sehingga RM4.5 juta untuk stesen baru (tidak termasuk kos pembelian dan penyewaan tanah) menyebabkan perkembangan itu agak sedikit perlahan.

Pegawai Komunikasi Unit Penjenamaan Petronas Dagangan Berhad, Rahayu Sri Kirana Ahmat Adambe, berkata sehingga kini Petronas mempunyai sebanyak 90 stesen servis yang mempunyai kemudahan NGV, iaitu merangkumi 80 stesen yang sudah beroperasi, manakala 10 stesen lagi akan memulakan operasinya dalam masa terdekat.


Malah, katanya, menjelang akhir tahun ini, Petronas Dagangan merancang menyediakan kemudahan NGV di 100 stesen di seluruh negara.

Beliau berkata, Petronas memperkenalkan NGV di negara ini sebagai usaha untuk menyumbang ke arah alam sekitar yang lebih bersih dan perniagaan itu sebenarnya terbuka kepada mana-mana syarikat minyak yang berminat.

"Bagaimanapun, harga kos gas tinggi berbanding harga jualan gas yang rendah mungkin menjadi punca utama tiadanya sambutan daripada syarikat lain untuk menceburi bidang ini.

"Sejak memperkenalkan NGV secara komersial di negara ini, Petronas sudah menanggung subsidi yang tinggi untuk bahan bakar ini. Setiap penjualan NGV pada harga 68 sen seliter, jumlah subsidi ditanggung Petronas ialah RM2. Untuk 2007 saja, jumlah subsidi ditanggung Petronas ialah RM143 juta, malah sejak 1997 hingga kini, subsidi ditanggung berjumlah RM450 juta.

"Selain daripada faktor subsidi, beberapa aspek lain seperti kekurangan saluran paip gas di kawasan strategik, harga kos peralatan dan operasi stesen NGV yang tinggi juga menjadi antara sebab mengapa perniagaan NGV tidak mendapat sambutan daripada syarikat minyak lain," katanya.

Beliau berkata, penggunaan NGV bagi kenderaan ringan adalah alternatif terbaik menangani krisis kenaikan harga minyak ketika ini kerana ia mampu menjimatkan sehingga 75 peratus kos bahan bakar berbanding penggunaan petrol atau diesel.

Malah, katanya, jumlah kenderaan memasang NGV di negara ini juga menunjukkan peningkatan dengan 33,058 kenderaan termasuk 2,000 kenderaan persendirian, 140 bas, 10 lori dan selebihnya teksi sudah menggunakan sistem itu sehingga 31 Mei tahun ini.

Bagaimanapun, Petronas Dagangan tidak dapat membuat kesimpulan peningkatan harga minyak akan mendorong lebih ramai pemilik kenderaan memasang sistem NGV kerana masih terlalu awal untuk melihat sebarang perbezaan ketika ini.

Mengenai kesan penggunaan NGV kepada prestasi kenderaan, beliau berkata, enjin kenderaan sedia ada yang dicipta bagi menggunakan sistem petrol sememangnya akan mendatangkan sedikit kesan terhadap daya kuasa enjin selepas menggunakan NGV.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Stesen Minyak Petronas, Abu Samah Bachik, berkata tidak semua stesen Petronas mampu menaik taraf stesen masing-masing dengan kemudahan NGV kerana ia memerlukan tapak besar.

Beliau berkata, selain itu, masalah laluan paip bekalan NGV juga agak terhad sekali gus menyukarkan usaha itu, walaupun bahan bakar itu juga boleh dihantar menggunakan lori tangki, namun ia akan menambahkan kos perlu ditanggung pengusaha.

"Jika stesen yang sedang beroperasi sekarang dinaik taraf, ada di antaranya yang mungkin menyebabkan lebih kesesakan kerana tapaknya kecil dan tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang banyak.

"Realitinya, semua stesen minyak termasuk syarikat lain (bukan Petronas) berminat menyediakan kemudahan itu, tetapi persediaan dalam pelbagai aspek menghalang tujuan itu," katanya.

Beliau turut menyatakan rungutan lantaran beban yang perlu ditanggung pengusaha stesen minyak berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini yang secara tidak langsung menyebabkan banyak kerugian terpaksa mereka tanggung.

Antaranya, beliau berkata, semua stesen minyak terpaksa menambah modal sehingga RM100,000 bagi membolehkan operasi seperti sebelum ini diteruskan, selain turut menanggung lebih banyak kerugian kos komisen setiap kali pengguna menggunakan kad kredit.

"Jika dulu, kami (pengusaha) perlu membayar komisen satu peratus bagi setiap ringgit dibayar menggunakan kad kredit, sekarang, selepas harga minyak naik, komisen tetap satu peratus. Maksudnya, jika dulu satu peratus untuk RM1.92, sekarang satu peratus untuk RM2.70," katanya.

Justeru, katanya, kebanyakan pengusaha lebih menitikberatkan isu itu daripada masalah penyediaan stesen NGV kerana bagi mereka, sama ada stesen masing-masing menyediakan perkhidmatan NGV atau tidak adalah bukan isu utama.

Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Wahid Bidin, pula berkata kebanyakan stesen minyak lain tidak berminat menyediakan kemudahan NGV di stesen mereka kerana keuntungan daripada jualan itu sangat rendah lantaran terpaksa membeli daripada pihak ketiga, iaitu Petronas.

Justeru, katanya, dengan jumlah stesen minyak Petronas yang menyediakan kemudahan itu sekarang, ia tidak akan mampu menampung permintaan mendadak yang bakal berlaku apabila lebih banyak kenderaan beralih kepada bahan bakar itu berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan optimis mahu memastikan NGV digunakan secara meluas di seluruh negara, pemberian insentif, termasuk subsidi membuka stesen NGV perlu dilaksanakan selain turut memberi insentif kepada pemilik kenderaan untuk memasang alat itu dengan kos lebih murah.

Berita Harian
16 Jun 2008

Tiada ulasan: