Bersama Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna
KENAIKAN harga petrol sebanyak 78 sen selain diesel, begitu dirasai oleh pengguna. Apakah kesan jangka pendek dan panjang kepada pengguna secara keseluruhannya.
Kenaikan harga minyak, misalnya petrol sehingga 78 sen memang memberi kejutan kepada pengguna. Pengguna perlu membayar lebih kos untuk mendapatkan jumlah liter yang sama. Tambah parah, kenaikan harga minyak itu pula turut memberi kesan kepada kenaikan harga barang lain. Berdasarkan kepada pengalaman lalu, setiap kali harga minyak naik, rata-rata harga barang juga akan melambung. Kerajaan memberi rebat RM625 kepada kereta 250cc hingga 2000cc tetapi ia tidak dapat menampung perbelanjaan kepada penggunaan terhadap bahan api itu. Bagi pengguna, sekarang adalah keadaan yang mencabar dan mereka terpaksa menanggung kos hidup yang kian meningkat sedangkan kualiti hidup masih sama. Jika sebelum ini, dengan pendapatan sedia ada, mereka boleh berbelanja dengan selesa, tetapi sekarang sudah meningkat. Kenaikan harga petrol memberikan kesan jangka panjang kepada masyarakat, iaitu dari segi impak sosial. Sebelum ini, mereka membuat satu pekerjaan tetapi sekarang mungkin perlu memikirkan untuk mencari kerja lain bagi menambah pendapatan. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan masalah sosial lain dan boleh menggugat ketenangan serta menambah ketegangan hidup.
Orang ramai dan kerajaan tahu ‘trend’ harga minyak global terus melonjak. Mengapa kerajaan seolah-olah tidak bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu sedangkan kenaikan ini sudah berlaku berkali-kali.
Secara kronologi, kenaikan harga minyak berlaku sejak 2000. Ketika itu, harga setong minyak cuma AS$30 tetapi sekarang melonjak ke paras AS$138. Dari situ, kita sudah mula rasakan berlaku peningkatan harga. Justeru, kerajaan sepatutnya sudah memulakan perancangan bagaimana untuk tidak terlalu bergantung kepada minyak atau bahan api. Sewajarnya pada masa sama, kerajaan perlu merancang menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan. Bagaimanapun, apa yang dilihat sistem itu masih lemah dan tidak diperbaiki sepenuhnya sehingga penggunaannya tidak meluas. Persoalannya, adakah pengangkutan awam sedia ada mampu menerima pertambahan pengguna yang mendadak.
Apakah persediaan dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan rakyat menggunakan pet-roleum.
Malaysia mempunyai sumber alam yang banyak untuk digunakan sebagai ganti bahan api itu seperti kelapa sawit dan solar atau cahaya matahari. Bagaimanapun ia tidak dibangunkan secara serius. Sebelum ini, kita sering mendengar mengenai penggunaan bio mass dan bio fuel, namun sehingga sekarang ia tidak begitu nampak dari segi penggunaannya. Sudah tiba masanya kerajaan mengorak langkah meningkatkan penggunaannya sebagai tindakan jangka panjang menangani krisis kenaikan harga petroleum di pasaran global. Kerajaan perlu mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta insentif terhadap penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Kita yakin jika ini dapat dilakukan segera, negara juga tidak menghadapi masalah jika bekalan minyak Petronas dijangka habis menjelang 2013. Sekarang cuma ada 76 stesen gas asli kenderaan (NGV). Sepatutnya, sejak 2000, kerajaan sudah mula menambah lebih banyak stesen NGV. Setakat ini, hanya Petronas yang menyediakan pam NGV. Mengapa kerajaan tidak mendesak stesen minyak lain menyediakan perkhidmatan bekalan NGV. Harga tangki bagi menukar NGV ialah antara RM3,000 hingga RM8,000 bergantung kepada saiz tangki sesebuah kenderaan. Harga NGV hanya 06.35 sen seliter. Dalam jangka panjang sudah pasti ia dapat menjimatkan kos. Oleh itu, Fomca berpendapat, kerajaan mungkin boleh menukarkan insentif RM625 setahun diberi kepada pengguna secara tunai kepada insentif untuk menukar tangki NGV.
Sejauh mana peranan Fomca menangani isu berkenaan dan sehingga ini bagaimana tahap kesedaran masyarakat untuk mengamalkan
Fomca berpendapat, dalam keadaan sekarang sama ada suka atau tidak kita terpaksa menerima hakikat, kos hidup kita kian meningkat. Apa yang perlu dilakukan pengguna ia bagaimana menyesuaikan keadaan yang sedang berlaku. Fomca sejak beberapa tahun lalu, sudah menjalankan kempen kesedaran kepada pengguna bagaimana mengamalkan gaya hidup lestari dengan berjimat cermat, mengelak pembaziran dan berhemah dalam perbelanjaan. Sejak Mei lalu, Fomca bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengadakan kempen kesedaran pengguna pada peringkat kebangsaan untuk tempoh empat tahun. Menerusi kempen itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk mendedahkan semua ahli bagaimana dapat mencari jalan untuk menstruktur dan mengurangkan gaya hidup dengan lebih praktikal, bersesuaian dengan keadaan yang berlaku sekarang. Antaranya, mengadakan bengkel, seminar dan mengedarkan risalah (panduan langkah penjimatan seperti tenaga elektrik, air dan membeli-belah serta bercucuk tanam di rumah). Melalui kempen secara berterusan itu, kita dapati kesedaran pengguna sudah semakin meningkat. Berdasarkan aduan, tahap kesedaran semakin baik termasuk membuat aduan mengenai kepenggunaan serta memahami peranan masing-masing sebagai pengguna. Bagi kita, kenaikan harga minyak itu lebih memberi kesan kepada golongan pertengahan berbanding berpendapatan rendah. Biasanya bagi yang berpendapatan rendah, mereka sudah berbelanja mengikut kadar pendapatan bulanannya. Golongan itu juga yang mengamalkan bercucuk tanam dan menggunakan pengangkutan awam. Masalah utama adalah golongan pertengahan yang terpaksa menanggung kos kenaikan harga barang lain.
Apakah yang perlu dilakukan kerajaan untuk mengurangkan beban kepada golongan berkenaan yang terpaksa menanggung kos tinggi sekarang.
Kerajaan perlu menyediakan program untuk membantu golongan pertengahan bagi mengurangkan bebanan mereka. Kita menyambut baik langkah kerajaan mengeluarkan produk tanpa jenama seperti gula, beras, susu dan tepung dan makanan itu diletakkan di pusat tertentu. Bagi golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan untuk membeli barang diberi kad tertentu. Bagi golongan berpendapatan sederhana, mereka perlu sesuaikan dengan keadaan. Mereka perlu mengurangkan penggunaan perbelanjaan kepada barang yang tidak perlu.
Kenaikan harga minyak sering menjadi alasan peniaga menaikkan harga barang hingga menambahkan lagi tekanan hidup rakyat. Apa silapnya.
Memang ada peniaga mengambil kesempatan dengan kenaikan itu dan ada kala tidak munasabah. Bagi pengusaha restoran kerap menaikkan harga makanannya dengan alasan kos pengangkutan yang meningkat. Bagi Fomca, tindakan penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan kepada peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga di negara ini seperti tidak takut dengan undang-undang kerana menganggap penguat kuasa tidak ada taring. Kerajaan perlu berbuat sesuatu supaya peniaga tidak menaikkan harga barang. Kini tiba masanya kerajaan memperketatkan undang-undang serta menggubal akta baru bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada peniaga. Malaysia kekurangan peraturan itu. Jika di negara lain ada akta khusus boleh dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga keterlaluan seperti Akta Persaingan dan Akta Perdagangan Adil. Kedua-dua akta itu tidak ada di negara kita.
Ramai pengguna masih tidak memahami sebab kenaikan harga minyak.
Tanggapan itu berlaku kerana kerajaan mahu pengguna berjimat cermat. Bagaimanapun, pengguna tidak dapat melihat bagaimana kerajaan sendiri tidak melakukan langkah berjimat cermat. Ada lagi projek mega, selain melancarkan sesuatu program secara besar-besaran. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, mereka menjadi marah, sedangkan Petronas mengaut keuntungan yang banyak daripada hasil minyak. Negara juga menjadi pengeksport minyak, tetapi masih perlu membayar harga yang tinggi untuk minyak. Kerajaan pula menyatakan sebahagian pendapatan Petronas itu diberikan semula kepada kerajaan untuk pembangunan dan subsidi lain.
Berita Harian
10 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan