Selasa, Jun 17, 2008

SALAH ANGGAP PUNCA RAMAI PEMANDU RAGU-RAGU

PERMINTAAN terhadap pemasangan NGV menunjukkan peningkatan mendadak sehingga lebih 300 peratus sepanjang minggu pertama kenaikan harga minyak diumumkan, walaupun pelbagai spekulasi negatif berkenaan penggunaan bahan bakar itu dihebahkan kebanyakan pihak.

Malah, permintaan tinggi itu menyebabkan kebanyakan pemilik kenderaan hanya boleh memiliki sistem itu pada September ini berikutan ketidakupayaan syarikat pemasangan sistem NGV memenuhi peningkatan mendadak itu.

Ketua Pegawai Operasi Nice Network Diversified Sdn Bhd (Nice), Suhaini Misnan, berkata selama ini ramai tidak mahu memasang sistem NGV pada kenderaan mereka kerana sering disogokkan dengan tanggapan negatif mengenai masalah selepas menggunakan sistem itu.


Beliau berkata, isu paling kerap menjadi pertikaian ialah bilangan stesen menyediakan kemudahan NGV masih sedikit menyebabkan pemilik kenderaan bimbang sukar mendapatkan bekalan.

"Realitinya, Petronas sudah dan sedang berusaha keras menambah stesen NGV di lebih banyak stesen seluruh negara, malah difahamkan sudah ada stesen di kawasan Pantai Timur dalam proses penyediaan kemudahan itu.

"Pengguna sepatutnya tidak perlu menunggu sehingga semuanya sempurna baru nak menukar kepada sistem itu. Isu ini hanya timbul di kalangan mereka yang belum menggunakan sistem NGV kerana bagi sesiapa yang sudah menggunakannya pasti sudah tahu cara menjadualkan pengisian gas tanpa perlu bersesak dengan kenderaan lain seperti teksi.

"Sebenarnya, bagi pengguna NGV di Lembah Klang, ada cara mendapatkan NGV dengan mudah, tambahan pula kini sudah banyak stesen NGV dibuka di seluruh Lembah Klang. Janganlah pergi ke stesen di tengah pusat bandar kerana ia menjadi tumpuan pemandu teksi berehat sambil mengisi gas. Banyak lagi stesen yang selalunya lengang," katanya.

Selain isu itu, Suhaini yang mengendalikan satu syarikat pemasangan NGV terbesar di negara ini berkata, ada pemilik kenderaan disogokkan dengan dakwaan pemasangan sistem NGV akan menyebabkan penggunaan petrol lebih tinggi sekiranya terpaksa beralih menggunakan sistem lama apabila kehabisan gas.

"Kenyataan itu ada benar dan tidak. Jika pengguna sistem NGV tidak memastikan sistem petrol berfungsi dengan baik, ia pasti akan menjejaskan prestasi sistem itu apabila bertukar ke penggunaan petrol.

"Kebanyakan pengguna NGV tidak langsung menggunakan sistem petrol pada jangka masa lama. Ia menyebabkan kandungan petrol akan menyejat, sekali gus menjejaskan prestasi sistem petrol. Secara tidak langsung, gangguan itu akan menyebabkan penggunaan petrol lebih tinggi," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, jika pemilik kenderaan menggunakan sistem NGV menguruskan sistem petrol dengan baik, iaitu dengan sekurang-kurangnya menghidupkan enjin pada setiap pagi menggunakan sistem petrol, ia dijamin tidak membawa sebarang kesan kepada sistem lama.

Beliau berkata, sikap pemilik kenderaan di negara ini yang salah meletak kepentingan juga menjadi satu punca ramai tidak mahu bertukar ke sistem NGV, terutama bagi mereka yang tidak mahu kehilangan ruang penyimpanan barang.

"Inilah satu punca utama. Ramai sayangkan ruang simpan barang yang jarang digunakan daripada memikirkan pelaburan tinggi bagi mengisi minyak sedangkan ada alternatif lain bagi penyimpanan barang seperti memasang ruang di bumbung.

"Jika dikaji secara logik, ruang simpan barang hanya digunakan secara optimum pada sesuatu masa tertentu seperti ketika mahu pulang ke kampung. Kebanyakan masa lain, ruang itu hanya digunakan sesekali, malah ada yang langsung tidak membuka ruang itu sekian lama, tetapi minyak perlu diisi selalu. Jadi, mana lebih patut diberi keutamaan?" katanya.

Isu keselamatan juga menjadi punca masih ramai berfikir panjang untuk memasang sistem NGV berikutan ada dakwaan tangki silinder yang menyimpan gas itu boleh meletup dan membahayakan keselamatan, terutama penumpang di kerusi belakang.

Menjawab persoalan itu, Suhaini berkata realitinya, menggunakan NGV jauh lebih selamat kerana gas itu lebih ringan daripada udara. Sebarang kebocoran akan hanya menyebabkan gas itu tersebar pantas tanpa sempat disambar api.

"Tangki silinder menempatkan gas dicipta dengan pelbagai ciri keselamatan terbaik termasuk kalis peluru, hentakan, api dan letupan. Jika berlaku kemalangan sehingga meranapkan seluruh kenderaan sekalipun, tangki itu akan tetap berkeadaan seperti asal," katanya.

Beliau mengakui, masalah utama ramai pemilik kenderaan tidak mampu memasang sistem NGV ialah kerana kos pemasangannya yang agak tinggi sehingga ada mencecah RM8,000. Namun katanya, kini sudah ada syarikat kewangan memberi pinjaman bagi tujuan pemasangan sistem itu dengan bayaran balik antara dua hingga 10 tahun.

"Kerajaan mesti memikirkan mekanisme membantu pemilik kenderaan memasang NGV seperti memberi subsidi, yang dipraktikkan di Thailand. Di sana, mereka memperoleh subsidi RM1,000 bagi setiap pemasangan, malah ada negara memberikan tangki silinder percuma," katanya.

Berita Harian
16 Jun 2008

1 ulasan:

Saaidon Hj Mohd berkata...

Kepada yang memerlukan khidmat nasihat FREE untuk memilih dan memasang NGV bolih hubungi saya di 017-3303304