Oleh Azrul Affandi Sobry
Kekurangan stesen sedia kemudahan bahan bakar alternatif perlu segera diatasi
APABILA harga petrol dan diesel diumumkan kenaikannya pada 4 Jun baru-baru ini, pelbagai cadangan dibangkitkan sebagai alternatif kepada seluruh penduduk negara ini menyerap tekanan yang disifatkan sebagai paling membebankan dalam seluruh kehidupan mereka.
Antara alternatif yang dikatakan mampu menghurai kekusutan kewangan pemilik kenderaan ialah beralih kepada pengangkutan awam serta penggunaan sistem gas asli kenderaan (NGV) yang dikatakan jauh lebih murah dan menjimatkan.
Memang benar, penggunaan NGV adalah langkah terbaik ke arah penjimatan, tetapi jika pelbagai alasan diambil kira bimbang nanti tekanan lain pula menjadi kemelut mengusutkan fikiran pemandu, apatah lagi apabila saban hari terpaksa menunggu giliran mendapatkan bekalan gas itu.
Jika ditinjau di sekitar Kuala Lumpur, mungkin isu kekurangan stesen NGV bukan lagi satu pertikaian seperti yang selalu dibangkitkan 10 tahun lalu, tetapi hakikat perlu diakui semua pihak ialah isu kenaikan harga minyak bukan kemelut di Lembah Klang saja, malah turut menghantui seluruh negara.
Justeru, jika cadangan supaya kenderaan persendirian beralih ke sistem NGV, realitinya masih ada ruang untuk menafikan relevannya cadangan itu kerana hampir semua negeri di negara ini masih tidak mampu memenuhi permintaan penduduknya, malah ada negeri langsung tidak mempunyai kemudahan itu di semua stesen minyaknya.
Sebagai contoh, negeri seperti Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak langsung tidak ada kemudahan NGV sedangkan penduduk di negeri itu juga tertekan dengan masalah kenaikan harga minyak.
Isunya, bukan pemilik kenderaan di negeri itu tidak mahu untuk mengubah gaya hidup ke arah penjimatan, tetapi apa gunanya menyahut seruan memasang sistem NGV jika sudahnya tangki gas itu hanya menjadi perhiasan yang memenuhi ruang simpan barang.
Satu contoh lagi, apa ceritanya kenderaan yang selalu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kedah. Jika mereka mengisi NGV penuh satu tangki sekalipun, mahu tak mahu, mereka perlu mengisi sekali lagi di Prai sedangkan stesen itu hanya beroperasi sehingga jam 11 malam.
Simpati juga dengan nasib mereka yang memilih menggunakan gas itu kerana hidup mereka bagai keluar mulut buaya, masuk pula ke mulut naga. Selesai isu harga minyak, terpaksa pula pening kepala dan menyumpah seranah saban hari kerana jenuh menunggu giliran mendapatkan bekalan.
Justeru, kerajaan tidak ada jalan lain bagi menghuraikan kemelut ini, selain bertungkus-lumus memastikan kemudahan NGV ada di lebih banyak stesen, selain menggalakkan stesen lain selain Petronas untuk turut menyediakan kemudahan itu.
Mungkin juga kerajaan boleh terus memotivasikan rakyat supaya memilih pengangkutan awam sebagai alternatif lain, tetapi rasanya bukan sekali dua, malah sudah bertahun-tahun lamanya media memainkan isu kelemahan dalam pengurusan dan jaringan pengangkutan awam di Malaysia.
Sebagai contoh, tidak perlu lagi diperbincangkan secara terperinci kelemahan pengangkutan awam di negara ini yang disifatkan sesetengah pemerhati sebagai antara paling mengecewakan berbanding beberapa negara maju.
Cuba rasai pengalaman menaiki komuter yang dikatakan sebagai pengangkutan awam terbaik menghubungkan kebanyakan daerah termasuk Seremban, Pelabuhan Klang sehinggalah ke Kuala Kubu Bharu.
Rungutan dan keluhan daripada penumpang setia yang saban hari menggunakan perkhidmatan tren itu bukan lagi pelik didengari di mana-mana stesen, terutama apabila dari corong pembesar suara berkumandang pengumuman bahawa perkhidmatan tren komuter terlewat kerana masalah teknikal.
Menjenguk pula ke perkhidmatan monorel yang menjadi nadi utama perhubungan tren di tengah kepesatan bandar raya lebih menyakitkan mata. Pelik apabila melihat setiap kali monorel melalui hentian, hanya dua gerabak bergerak dan setiap gerabaknya sarat dengan penumpang hingga ada yang mencium tingkap.
Justeru, rasanya pengangkutan awam di negara ini belum lagi layak diangkat sebagai alternatif terbaik menangani isu kenaikan harga minyak selagi taraf perkhidmatan itu tidak dipertingkatkan.
Jadi, apa lagi pilihan rakyat negara ini bagi mengelakkan poket mereka terus berlubang setiap kali mahu mengisi minyak. Suka atau tidak, apa saja pilihan terbentang di depan mata perlu digunakan demi memastikan hidup dapat diteruskan.
Mungkin juga sudah sampai masanya kerajaan dan agensi terbabit seperti Petronas dan pengendali perkhidmatan awam meningkatkan prasarana masing-masing sebelum meniup semboyan semangat untuk meminta rakyat beralih kepada alternatif yang disediakan.
Bagi kelompok rakyat pula, isu kenaikan harga minyak harus menjadi masa yang sesuai menekan butang kecemasan dan meluaskan mata melihat apa saja cara menjimatkan perbelanjaan dan beralih kepada alternatif tersedia dengan perancangan penuh bijaksana.
Berita Harian
16 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan