Oleh Nor Azma Laila
Peniaga diberi amaran tak ambil kesempatan dengan kenaikan gaji pekerja bank
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak terus mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi harga barang berikutan kenaikan gaji pekerja bank.
Menterinya, Datuk Shahrir Samad, berkata kenaikan itu tidak seharusnya dijadikan penyebab oleh peniaga untuk menaikkan harga barang kerana ia tiada kena mengena dengan kos operasi dijalankan peniaga.
"Bagi memastikan peniaga tidak terus mengambil kesempatan di atas situasi ini, penguat kuasaan sentiasa dilakukan ke atas barang kawalan seperti petrol, diesel, gas petroleum cecair, tepung gandum, susu pekat manis, roti, ayam, minyak masak dan simen," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas adakah kenaikan gaji pekerja bank akan menyebabkan peniaga menaikkan harga barang.
Semalam akhbar melaporkan kira-kira 32,000 kakitangan perkeranian dan bukan perkeranian bank perdagangan di negara ini menerima durian runtuh apabila mendapat kenaikan gaji 17 peratus melalui perjanjian bersama (CA) yang dimeterai kelmarin.
Kenaikan gaji melalui CA bagi tempoh antara 2006 hingga tahun itu adalah yang tertinggi sejak 10 tahun lalu kerana dalam CA sebelum ini pada 2005, kenaikan gaji hanya sembilan peratus.
Shahrir berkata, bagi barang yang bukan dalam senarai kawalan, pengguna perlu membuat pilihan bijak dengan tidak membeli barang yang dijual dengan harga mahal sebaliknya mendapatkan barang pengganti.
"Selain kerajaan, pengguna juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah peniaga yang menaikkan harga barang dengan tidak membeli barang mereka supaya lama-kelamaan mereka akan menurunkan harga.
"Saya yakin, pekerja yang menerima kenaikan gaji ini akan menguruskan perbelanjaan mereka dengan baik kerana mereka adalah kakitangan yang terbabit dalam urusan perbankan dan tahu untuk menguruskan hal kewangan dengan bijak tanpa melakukan pembaziran," katanya.
Beliau berkata, media juga perlu memainkan peranan positif dengan melihat kenaikan gaji itu sebagai aspek positif yang boleh membantu meringankan beban rakyat tatkala negara dibelenggu dengan isu global iaitu kenaikan harga minyak dan krisis makanan.
"Jangan melihat kenaikan gaji ini dari aspek negatif yang akan terus menjadi penyumbang kepada kenaikan harga barang.
"Saya tahu isu kenaikan harga barang memang akan menjadi topik hangat di kalangan media, bagaimanapun media sepatutnya boleh melihat perkara ini dari sudut positif yang boleh membantu meringankan beban rakyat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman tidak menafikan ada sesetengah peniaga yang akan mengambil kesempatan untuk terus menaikkan harga barang berikutan kenaikan gaji itu.
"Bagaimanapun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kerana kenaikan gaji itu tiada kaitan dengan urusan peniaga dan jika kenaikan harga barang berlaku, ia hanya faktor kecil kerana harga barang memang sudah naik berikutan kenaikan harga minyak.
"Tindakan penguat kuasaan sangat penting pada masa ini bagi memastikan peniaga tidak terus bermaharajalela untuk menaikkan harga barang terutama barang kawalan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan