Isnin, Mei 12, 2008

PENGURUSAN SEMUA PERINGKAT PERLU DIPERBAIKI

PENGURUSAN terhadap semua peringkat dalam sistem penanaman padi perlu diperbaiki bagi memastikan hasil padi dalam negara mampu menghasilkan bekalan beras mencukupi, malah mencakupi 100 peratus keperluan penduduk dalam negara berbanding hanya 72 peratus ketika ini.

Penambahbaikan itu perlu memberi lebih penekanan kepada usaha melihat semula infrastruktur di semua kawasan penanaman padi termasuk memastikan teknologi terkini mampu disalurkan kepada pesawah dengan tepat dan berkesan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, berkata kerajaan perlu menumpukan lebih perhatian kepada meningkatkan infrastruktur sedia ada terutama membabitkan sistem pengairan yang selama ini menjadi kelemahan utama dalam sektor itu.

Katanya, sistem pengairan sedia ada di beberapa kawasan penanaman padi masih lemah dan gagal membekalkan bekalan air secukupnya sehingga menurunkan produktiviti hasil padi ke tahap yang sangat rendah.

“Secara purata, hasil padi dalam negara setakat ini hanya sekitar empat tan sehektar. Jika kawasan bermasalah mampu dipertingkatkan hasilnya sebanyak antara satu hingga dua tan sehektar lagi, negara tidak perlu mengimport bekalan beras kerana hasil dalam negara akan lebih daripada cukup.

“Meskipun proses meningkatkan infrastruktur bukan satu perkara mudah, untuk meningkatkan hasil padi sebenarnya mampu dilakukan jika pesawah menguruskan penanaman padi secara tepat termasuk aspek pemberian baja,” katanya.

Beliau berkata, apa yang disedari pihaknya ialah kebanyakan ejen yang ditugaskan menyampaikan pengembangan teknologi kepada pesawah gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan menyebabkan kebanyakan pesawah tidak menguruskan kawasan mereka secara berkesan.

Berbalik kepada isu pengairan, beliau berkata, ada kawasan sawah yang tidak diratakan dengan betul menyebabkan proses aliran air ke petak lain tidak sekata.

“Kebanyakan kawasan di luar pengurusan Mada dan Projek Barat Laut Selangor, pengurusan sistem salirannya sangat lemah. Ada kes pesawah di petak depan menutup saliran air dan ia sekali gus mengganggu petak orang lain menyebabkan pengeluaran padi tidak sekata.

“Bagi kawasan di Jelapang Padi pula, ada pesawah yang tidak mengikut sistem jadual yang sudah disediakan agensi pertanian di kawasan mereka menyebabkan hasil padi di situ juga merosot.

“Justeru, elemen infrastruktur, pengairan dan tali air serta pengurusan sawah menjadi punca utama kegagalan hasil padi dalam negara mencapai 100 peratus keperluan seluruh penduduk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, melalui projek peladangan tepat yang diusahakan Mardi di beberapa kawasan sekitar Jelapang Padi, pengeluaran hasil padi boleh mencapai lapan tan sehektar dan ia adalah hasil penggunaan teknologi secara terancang, benih terbaik dan pengurusan baja yang tepat.

Katanya, ada pesawah di sesetengah kawasan tidak menggunakan bekalan biji benih sah yang dibekalkan Mardi tetapi lebih gemar menggunakan benih ciptaan sendiri dan keadaan itu diburukkan lagi dengan kemunduran teknologi di kawasan terbabit.

“Apabila sistem pembajaan dan penggunaan benih tidak digunakan secara tepat, pembaziran akan berlaku, malah penggunaan tidak terancang itu yang mungkin berlaku secara berlebihan akan menyebabkan pencemaran pula kepada alam sekitar.

“Kaedah peladangan tepat adalah penyelesaian terbaik untuk meningkatkan hasil padi dan sudah dibuktikan serta dijalankan sejak lima tahun lalu. Namun, masalahnya pesawah tidak konsisten dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, sumber kewangan selama ini kurang tertumpu kepada meningkatkan infrastruktur pertanian dan keadaan itu antara penyumbang utama kepada masalah krisis beras ketika ini..

Justeru, katanya, dengan pengumuman kerajaan untuk memperuntukkan hampir RM2.5 bilion bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan Jelapang Padi dijangka akan menjadi pemacu utama untuk mencapai sasaran 90 peratus bekalan beras dalam negara pada 2010.

Berita Harian, 12 Mei 2008

Tiada ulasan: