NEGARA pada dasarnya mampu mengeluarkan hasil padi melebihi keperluan semua rakyat jika sistem sedia ada di beberapa kawasan penanaman padi dipertingkatkan serta mematuhi piawaian pengurusan pembajaan secara tepat.
Malah, jika sistem dibangunkan untuk meningkatkan hasil padi digunakan secara meluas, Malaysia bukan saja tidak perlu mengimport beras seperti berlaku kini, malah mampu pula menjadi pengeksport utama sumber makanan itu ke seluruh dunia.
Timbalan Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Syed Omar Syed Rastan, berkata selama ini pengeluaran padi dalam negara hanya mampu membekalkan beras untuk 72 peratus keperluan dalam negara manakala selebihnya (28 peratus) lagi diimport.
Katanya, berdasarkan keluasan penanaman padi sedia ada di seluruh negara yang kini melebihi 650,000 hektar, Malaysia sebenarnya tiada masalah untuk membekalkan beras untuk lebih 30 juta penduduk sedangkan jumlah penduduk kini cuma 27 juta orang.
“Setakat ini, Malaysia mempunyai 200,000 hektar kawasan penanaman padi yang diusahakan dua kali setahun manakala 250,000 hektar lagi diusahakan sekali setahun. Purata pengeluaran padi dalam negara ialah empat tan sehektar.
“Namun, jika teknologi dipertingkatkan di sesetengah kawasan, purata pengeluaran padi boleh dinaikkan kepada antara enam hingga lapan tan sehektar. Ia bukan perkara mustahil kerana ada kawasan seperti di Barat Laut Selangor mampu menghasilkan antara lapan hingga 12 tan sehektar.
Katanya, jika semua kawasan penanaman padi diusahakan dua kali setahun menggunakan teknologi terkini serta pengurusan baja yang betul, hasil padi dalam negara mampu menampung keperluan untuk hampir 45 juta penduduk.
Menjelaskan secara lebih terperinci, Syed Omar berkata, masalah dihadapi kebanyakan pesawah ketika ini untuk mendapatkan hasil lebih tinggi ialah kegagalan menggunakan teknologi terutama pengurusan baja secara tepat dan berkala.
“Padi adalah satu jenis tumbuhan yang sangat cerewet dan sensitif. Penjagaannya sangat rumit dan memerlukan pengurusan yang betul. Mungkin ramai pesawah tidak sedar kegagalan mereka membekalkan baja pada masa yang betul akan mengurangkan hasil padi dalam jumlah yang sangat besar.
“Contohnya, pada dua peringkat utama yang perlu diberi perhatian iaitu tempoh beranak aktif dan pembentukan tangkai, kegagalan memberi baja pada masa yang tepat akan menyebabkan hasilnya merosot sehingga lebih 25 peratus,” katanya.
Syed berkata, pada peringkat beranak aktif, iaitu selepas 15 hingga 20 hari dari tarikh menabur benih, baja mesti diberikan segera manakala sebelum hari ke-55, iaitu pada peringkat pembentukan tangkai (padi bunting), baja perlu diberikan sekali lagi.
Berita Harian, 12 Mei 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan