Jumaat, Februari 23, 2007

HAK UNTUK MENDAPATKAN UBAT: KERAJAAN PERLU TEGAS BAGI MENYELAMATKAN NYAWA PESAKIT

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia ingin mengulas dan menyokong pendirian tegas Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail yang mempertahankan kemudahcapaian dan ketersediaan ubat generik di Malaysia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak di Geneva baru-baru ini.

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Amerika Syarikat (FTA Malaysia-AS) telah membangkitkan pelbagai isu sosio-ekonomi yang menarik perhatian pelbagai pihak, khususnya persatuan pengguna dan pertubuhan berasaskan komuniti.

FTA Malaysia-AS atau sebarang bentuk perjanjian dua hala mahupun pelbagai hala, tidak sewajarnya menyebabkan wujud ketidaksaksamaan sosial dalam masyarakat, terutamanya dalam sektor yang kritikal seperti penjagaan kesihatan.

Pada tahun 2003, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan lesen untuk mengimport beberapa dadah antiretroviral generik dari India, di bawah Perjanjian Berkaitan Hak Harta Intelektual (TRIPs) untuk kegunaan Kementerian Kesihatan.

Hasil daripada tindakan tersebut, kos rawatan bulanan hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan telah menurun sebanyak 81 peratus, iaitu daripada AS$315 kepada AS$58 (RM1,102 kepada RM203). Rentetan daripada itu, jumlah pesakit yang dirawat oleh agensi-agensi di bawah kementerian kesihatan juga telah meningkat daripada 1,500 kepada 4,000.

Walau bagaimanapun, jumlah ini masih rendah berbanding dengan kes penghidap penyakit AIDS seramai 10,000 yang memerlukan rawatan segera. Lesen import ubat generik tersebut pula hampir tamat.

Melihat kepada isu-isu yang dibincangkan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat sebelum ini, terdapat beberapa peruntukan di bawah TRIPs yang amat membimbangkan. Kemungkinan besar, Amerika Syarikat juga akan mendesak Malaysia untuk menerima peruntukan ini dalam FTA Malaysia-AS.

Sebenarnya peruntukan-peruntukan ini bertentangan dengan Pengisytiharan Doha tentang TRIPs dan kesihatan awam. Ia juga telah menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan ubat-ubat pada harga yang rendah.

Antara peruntukan lain yang bertentangan adalah peruntukan yang memberikan hak ekslusif kepada syarikat yang menghasilkan data ujian ubat-ubat generik tertentu bagi sesuatu tempoh. Ini akan menghalang penggunaan ubat generik dalam tempoh tersebut, walaupun ubat-ubat itu tidak dipatenkan.

Bagi penghidap HIV/AIDS, tindakan ini tidak ubah seperti mengenakan hukuman mati terhadap mereka. Mereka memerlukan rawatan berterusan pada tempoh masa yang lama dan kemudahcapaian kepada rawatan pada kadar yang rendah merupakan aspek yang amat penting.

Menyedari akan wujudnya situasi seumpama inilah, maka Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas bagi melindungi berjuta-juta nyawa yang terancam, khususnya golongan miskin, warga tua dan penghidap penyakit kronik seperti pesakit HIV/AIDS.

Peraturan berkaitan perdagangan tidak sepatutnya menafikan hak asasi manusia untuk menikmati keperluan asas, seperti kemudahan kesihatan. Sebaliknya tumpuan perlu diberikan bagi mewujudkan kesaksamaan sosial, melalui kemajuan dan pembangunan.

RAKYAT MALAYSIA ANTARA TERTINGGI MEMAKAN MAKANAN SEGERA

Agensi Penyelidikan Pemasaran, AC Nielsen, dalam satu kajiannya pada tahun 2005, mendapati Malaysia menduduki tempat kedua daripada 10 negara di dunia yang memakan makanan segera, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Peratusan rakyat Malaysia yang makan makanan segera adalah 59 peratus, manakala Amerika Syarikat sendiri, yang dianggap sebagai pelopor dalam restoran makanan segera, menduduki tempat kelapan, iaitu hanya 35 peratus sahaja.

Kajian ini amat menunjukkan tentang gaya hidup rakyat Malaysia yang begitu obses terhadap makanan segera. Tidak hairanlah mengapa rakyat Malaysia di antara yang terdedah dengan pelbagai penyakit, dan sering menduduki tempat tertinggi antara penghidap penyakit kronik yang teramai di dunia.

Pengambilan makanan segera yang ramai dalam kalangan rakyat Malaysia ini di antaranya disebabkan oleh langkah agresif syarikat pengeluar makanan segera khususnya strategi pengiklanan mereka.

Biarpun begitu, langkah mengharamkan iklan makanan segera sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Rakyat Malaysia sendiri perlu mengamalkan makanan seimbang dan sering melakukan senaman.

Dalam pada itu, penjualan makanan segera, makanan tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat di sekolah-sekolah dan di luar sekolah perlu dihentikan. Kementerian Pelajaran perlu tegas dalam hal ini dan mengambil tindakan terhadap sekolah-sekolah yang gagal mematuhi peraturan ini. Hal ini kerana pelajar sekolah didapati ramai memakan makanan segera dan minuman berkarbonat ini dan semakin ramai pelajar sekolah yang obesiti agak membimbangkan.

Kerajaan perlu bersikap proaktif dalam menangani masalah kesihatan rakyat. Jangan hanya apabila berlakunya kejadian yang tidak diingini barulah tindakan tegas diambil sedangkan masalah ini telah lama berlaku.

Haram iklan makanan segera tidak boleh atasi masalah penyakit kronik - Fomca

Roy Rasul
Thu | Feb 22, 07 | 11:09:12 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) – Langkah kerajaan untuk mengharamkan iklan makanan segera tidak boleh menyelesaikan peningkatan masalah penyakit kronik yang dihidapi rakyat, kata Bendahari Agung, Persatuan pengguna-pengguna Malaysia (Fomca), Yusuf Abdul Rahman.

Katanya, sebelum ini masalah makanan segera atau ringan sudah lama disuarakan oleh pihak yang prihatin seperti Fomca dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Bagaimanapun katanya, hanya apabila bilangan rakyat yang mengidap penyakit kronik seperti diabetis, obesiti, jantung dan sebagainya sudah mencecah jutaan orang barulah kerajaan sibuk untuk mengambil tindakan sehingga mahu diharamkan iklan produk-produk tersebut.

Menurut beliau, walaupun langkah tersebut adalah salah satu cara, tetapi ia tidakdapat mengatasinya.

Sebaliknya beliau membidas sikap kerajaan sendiri yang tidak proaktif terhadap masalah tersebut.

Media melaporkan, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek berkata, bahawa cadangan pemberhentian iklan makanan segera akan dibawa ke kabinet secepat mungkin.

Katanya, walaupun iklan makanan segera menyumbang perolehan RM100 juta setahun tetapi kesihatan rakyat lebih utama.

Dalam pada itu Yusuf berkata, kerajaan sepatut sedar bahawa penyakit tersebut bukan kerana makanan ringan sahaja tetapi gaya hidup masyarakat yang kurang mengamalkan bersenam dan memakan makanan berlemak seperti nasi lemak pun boleh membuat kesihatan terganggu.

“Contohnya pengambilan nasi lemak setiap pagi ini pun akan menambah lemak dan kolestrol, jadi takkan kerajaan hendak haramkan juga nasi lemak apabila terbukti ia penyebab pelbagai penyakit,” soalnya.

Oleh kerana itu katanya, yang penting ialah cara seseorang mengendalikan kehidupan sehariannya di mana perlu mengambil makanan seimbang dan rajin bersenam.

Katanya, nampak sangat kerajaan hanya akan sedar apabila ramai yang mengidap penyakit kronik dan tidak kurang juga yang meninggal sedangkan isu tersebut sudah lama berlaku. - mr

Jumaat, Februari 16, 2007

AWASI SURAT BERANTAI SKIM CEPAT KAYA

Sudah menjadi lumrah pada masa ini, apabila pergi ke masjid atau surau, terdapat risalah-risalah yang diletakkan di situ untuk dikutip oleh orang ramai. Kandungan risalah tersebut adalah berkaitan dengan satu program yang didakwa boleh menyelesaikan masalah kewangan mereka yang menyertainya. Pelbagai nama yang diberikan untuk program ini, seperti Skim Insan Gemilang, Program Sumbangan Ikhlas, Program Ikhwan dan sebagainya.

Surat ini akan menceritakan masalah kewangan yang dihadapi oleh penyebar risalah ini. Namun apabila beliau menyertai program ini, masalah kewangan tersebut telah berjaya diselesaikan. Dalam risalah tersebut tersenarai tiga nama peserta yang telah menyertai program ini. Apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin menyertai program ini ialah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun ketiga-tiga peserta tersebut. Kemudian peserta baru ini diminta mengisi borang yang disertakan dengan meletakkan nama peserta kedua di tempat pertama dan peserta ketiga pula di tempat kedua, manakala peserta baru pula di tempat ketiga. Buat salinan sebanyak mungkin dan sebarkan kepada sesiapa sahaja.

Sebenarnya program ini adalah skim piramid atau sering kali disebut juga skim cepat kaya. Skim ini bertujuan untuk memancing orang yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dan pulangan yang tinggi. Sejarah menunjukkan bahawa skim seperti ini tidak mencapai matlamat sebagaimana yang dijanjikan. Ia hanya menguntungkan beberapa orang yang berada di atas sahaja.

Para pengguna perlu berhati-hati apabila mendapat risalah seperti ini. Jangan sesekali melibatkan diri kerana ia akan menyebabkan skim seperti ini terus bermaharajalela. Tidak usaha kita hidup dengan berangan-angan bahawa apabila menyertai skim ini, akan mencurah-curah wang masuk ke dalam akaun.

FOMCA telah lama mendesak agar Akta Anti Piramid digubal supaya skim-skim seperti ini dapat dibanteras. Akta ini bukan sahaja mengenakan tindakan kepada mereka yang menganjurkannya, tetapi juga mereka yang bersubahat dan turut mempromosi skim ini untuk disertai oleh orang lain. Janganlah kita membuangkan wang kita secara tidak bermanfaat dengan menyertai skim ini. Wang tersebut lebih baik digunakan untuk menampung perbelanjaan hidup kita yang kian meningkat pada masa ini.

Isnin, Februari 12, 2007

ALAT ELETRIK TANPA PIAWAIAN BAHAYA

Sebanyak 759 kebakaran yang berlaku pada tahun lalu disebabkan penggunaan barangan elektrik berharga murah dan tidak berkualiti yang lazimnya tidak tidak menepati piawaian keselamatan. Demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Di negara kita terdapat 31 barangan elektrik yang wajib mendapat piawaian keselamatan, termasuklah peti televisyen, plag, seterika, periuk nasi elektrik dan sebagainya. Semua barangan elektrik ini perlu mempunyai label piawaian keselamatan yang dikeluarkan oleh SIRIM dan label Suruhanjaya Tenaga, sebagai pengawalselia bekalan elektrik di negara ini.

Namun begitu, banyak barangan elektrik ini yang tidak mempunyai piawaian keselamatan ini dijual secara berleluasa dan secara terbuka di pasaran, termasuk juga di pasar raya-pasar raya besar. Seperti kebiasaannya, barangan elektrik ini dijual lebih rendah berbanding barangan elektrik berjenama yang mempunyai piawaian standard. Oleh itu, ia menjadi pilihan para pengguna untuk membelinya. Apatah lagi, ia sering dijadikan gimik oleh sesetengah pasar raya besar seolah-olah mereka menjual barangan elektrik pada harga yang lebih rendah berbanding pasar raya besar yang lain.

Satu lagi yang menyebabkan hal ini berlaku disebabkan oleh kekurangan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Tenaga. Keadaan ini berlaku kerana Suruhanjaya Tenaga hanya mempunyai beberapa orang penguatkuasa sahaja. Oleh itu mereka mampu untuk mengambil tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melainkan apabila menerima aduan daripada para pengguna.

Oleh yang demikian, FOMCA mencadangkan agar 31 barangan elektrik yang diwajibkan mempunyai piawaian keselamatan ini turut diwartakan di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999. Di Bahagian III, Seksyen 19, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diberi kuasa untuk menetapkan piawaian keselamatan bagi mana-mana barangan atau perkhidmatan.

Dengan menetapkan piawaian keselamatan barangan elektrik dalam Akta Perlindungan Pengguna, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mengambil tindakan sekiranya ada peniaga yang menjual barangan elektrik yang tidak mempunyai piawaian keselamatan. Dengan ini, sekurang-kurangnya perlambakan barangan elektrik yang tidak mempunyai piawaian ini dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama, masalah kebakaran disebabkan oleh penggunaan barangan elektrik yang tidak selamat juga dapat dielakkan.

Surat & E-mel, Berita Harian
10 Februari 2007

Jumaat, Februari 02, 2007

LPKP GAGAL MELINDUNGI KEPENTINGAN PENGGUNA

Tindakan syarikat teksi di Kuala Lumpur menaikkan kadar bayarannya sehingga 100 peratus amat dikesali. Apa yang lebih mendukacitakan, Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor menyatakan bahawa kenaikan tersebut tidak perlu mendapat kelulusan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), sebaliknya dibuat berdasarkan persetujuan daripada kebanyakan syarikat pengusaha teksi di Lembah Klang Dan Selangor.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh pengusaha teksi ini. Jelas tindakan ini dilakukan kerana kegagalan LPKP melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan mereka.

Sebelum ini terdapat laporan berita yang menyatakan bahawa ada syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang sehingga RM220 bagi perjalanan sehala dari Johor Bahru ke Pulau Pinang. Apakah yang dilakukan oleh LPKP bagi mengatasi masalah ini.

Kewujudan ulat yang berleluasa di terminal bas dan Kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih gagal diatasi walaupun telah lama berlaku. Begitu juga kegiatan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan mengenakan caj yang tinggi kepada pengguna. Apakah tindakan LPKP bagi menghentikan kegiatan ini?

Mungkin Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi perlu menstrukturkan semula peranan LPKP dan memberikan kuasa perundangan serta penguatkuasa yang mencukupi bagi mengatasi masalah yang terus membelenggu pengguna pengangkutan awam ini.

Tidak ada gunanya Kementerian Dan LPKP mengumumkan tentang kadar pengangkutan awam tetapi ia gagal dipatuhi oleh syarikat pengusaha pengangkutan awam itu. Dan biarpun ia berlaku, LPKP masih gagal mengambil tindakan terhadap mereka.

4 AGENSI BINCANG KOMPAUN


KUALA LUMPUR: Agensi penguat kuasa yang terbabit dalam mengenakan kadar kompaun seragam membabitkan 188 kesalahan trafik sudah bersedia untuk melaksanakan penyeragaman itu menjelang 15 Februari ini.

Sistem kutipan kompaun yang dilaksanakan oleh empat agensi penguat kuasa itu juga sudah bersedia bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Solah Mat Hassan, berkata empat agensi itu sudah berbincang sebelum keputusan menyeragamkan kadar kompaun dibuat bagi 188 kesalahan trafik itu diumumkan.

Katanya, semua agensi bersetuju penyeragaman kadar kompaun itu membolehkan mereka menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dengan lebih telus selain mengelakkan kekeliruan.

“Sebelum ini, kadar kompaun bagi kesalahan trafik yang dikenakan JPJ dan polis berbeza sedangkan kesalahan itu termaktub di bawah akta sama. Penyeragaman ini mengambil kira prinsip ia dilaksanakan mengikut akta yang sama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata bermula 15 Februari ini, JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya akan mengenakan kadar kompaun yang seragam membabitkan 188 jenis kesalahan trafik.

Antara kompaun yang diseragamkan pada kadar RM300 bagi setiap kesalahan itu ialah meletak kenderaan dan memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar serta gagal mematuhi lampu isyarat.

Menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong di sebelah kiri, tidak berhenti ketika murid melintas, pusingan U di tempat larangan, cermin gelap dan asap berlebihan pula dikenakan kompaun RM200.

Sementara itu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) II, Datuk Nooryah Md Anvar, berkata pihaknya sedang menunggu surat mengenai perkara itu daripada Kementerian Pengangkutan.

Katanya, persediaan akan dibuat selepas maklumat lanjut mengenai penyeragaman kadar kompaun itu diterima.

“Buat masa ini, kami tidak menerima surat berhubung pelarasan kompaun itu dan masih menunggu maklumat itu daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, persatuan pengguna mengalu-alukan keputusan kerajaan menyeragamkan kadar kompaun membabitkan 188 kesalahan trafik yang disifatkan prihatin dengan kehendak rakyat.

Namun, mereka berpendapat kadar kompaun yang dikenakan wajar mengambil kira jenis kesalahan yang dilakukan dan perlu ada budi bicara termasuk untuk kes kesalahan trafik pertama.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kadar kompaun yang diselaraskan itu sepatutnya lebih munasabah dan tidak membebankan pengguna.

Katanya, pelarasan itu baik supaya pengguna tidak keliru namun kadarnya biarlah berpatutan.

Berita Harian, 2 Februari 2007