Jumaat, Mac 30, 2007

LEMAH KHIDMAT JAWAB TELEFON, FOMCA MAHU PENJELASAN

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengucapkan syabas kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana memberikan arahan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan supaya memperbaiki sistem penyampaian mereka.

Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, beliau perlu memastikan pemantauan dilakukan secara berkala.

Memang amat mendukacitakan apabila mendapati daripada 10 buah agensi kerajaan yang dihubungi, empat daripadanya gagal melayani panggilan tersebut dengan berkesan.

Ironisnya, Jabatan Perkhidmatan Awam, yang sepatutnya menjadi model teladan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan, merupakan salah satu daripada empat buah agensi kerajaan tersebut.

FOMCA ingin mendapatkan penjelasan daripada beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang gagal menjawab panggilan telefon dalam tempoh tiga deringan.

Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) umpamanya, memberikan alasan mereka hanya mempunyai seorang operator telefon sahaja. Amat menghairankan bagaimana ibu pejabat Perkeso yang mengendalikan empat juta pekerja di seluruh negara boleh berfungsi dengan seorang operator telefon sahaja.

Apakah jenis perkhidmatan yang boleh diharapkan dengan agensi yang beroperasi dengan hanya seorang operator telefon itu?

Perkeso sepatutnya perlu memastikan mereka mempunyai pusat panggilan pelanggan yang mampu menangani keperluan empat juta pekerja. Apatah lagi, kewujudan mereka adalah berdasarkan kepada sumbangan pekerja tersebut.

Demikian juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang walaupun mempunyai pusat panggilan pelanggan, namun masih terdapat banyak aduan tentang masa yang lama diambil sebelum panggilan itu dilayani.

Dengan memberikan pelbagai alasan, sebenarnya menunjukkan kelemahan dalam perancangan. Kepentingan dalam mengendalikan panggilan dengan cepat dan berkesan menggambarkan kecekapan mana-mana agensi kerajaan.

Tidak ada gunanya mempunyai Piagam Pelanggan yang mengagumkan, jika gagal menyediakan perkhidmatan yang paling asas, iaitu memberikan maklumat.

FOMCA sendiri menerima pelbagai aduan tentang jabatan kerajaan yang gagal mengendalikan panggilan telefon dengan baik.

Sebagai permulaan, FOMCA berharap Tan Sri perlu memantau jabatan-jabatan yang beroperasi di Putrajaya terlebih dahulu.

Isnin, Mac 26, 2007

SYARIKAT JUALAN LANGSUNG MENGAMALKAN SKIM PIRAMID

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) amat mengalu-alukan langkah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat 6 buah syarikat jualan langsung yang didapati menjalankan perniagaan ala skim cepat kaya.

Syarikat-syarikat jualan langsung ini didapati telah mengubahsuai pelan pemasaran sebenar yang dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mendapatkan Lesen Jualan Langsung.

Berdasarkan pemerhatian FOMCA, hampir sebahagian besar daripada syarikat jualan langsung yang beroperasi di negara ini memang menjalankan operasi bertentangan dengan pelan pemasaran asal yang dikemukakan kepada Kementerian. Ini kerana KPDHENP menetapkan syarikat jualan langsung menekankan penjualan produk mereka terus kepada pengguna yang memang akan menggunakan produk tersebut. Perlantikan pengedar dan stokis adalah bagi membantu operasi pemasaran mereka agar sampai kepada pengguna.

Namun yang sering berlaku, kebanyakan syarikat jualan langsung ini lebih menekankan kepada penajaan ahli baru dan setiap ahli baru perlu membeli sejumlah produk dengan nilai tertentu bagi membolehkan mereka memperolehi insentif yang ditawarkan oleh syarikat. Sesi ceramah yang dianjurkan oleh mereka lebih menekankan kepada mendapatkan penajaan ahli baru, dan bukannya tentang produk yang dijual. Lantaran itu, ada dalam kalangan pengedar dan stokis ini tidak begitu memahami tentang produk yang dijual sehingga gagal menerangkan kepada pengguna dengan jelas. Isu kematian pengguna yang mengambil pil pelangsing badan, baru-baru ini, mungkin disebabkan oleh masalah ini. Pengedar atau stokis gagal memaklumkan kepada pengguna tersebut tentang kesan sampingan atau komplikasi yang timbul jika produk tersebut diambil dalam keadaan pengguna tersebut sedang menghidap sesuatu penyakit atau alahan tertentu.

FOMCA amat berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memantau kegiatan syarikat-syarikat jualan langsung ini yang menjalankan perniagaan pelbagai peringkat atau MLM, tetapi mengamalkan operasi ala skim piramid.

Dalam masa yang sama, FOMCA juga berharap persatuan-persatuan jualan langsung seperti Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) dan Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA) turut melakukan pemantauan terhadap ahli-ahli mereka yang beroperasi menyalahi Akta Jualan Langsung. Kerajaan mungkin perlu mewajibkan semua syarikat jualan langsung yang ingin mendapatkan Lesen Jualan Langsung perlu menjadi ahli kepada salah satu daripada dua persatuan jualan langsung ini sebagai prasyarat utama. Ini bagi memastikan kawalan kendiri dapat dilakukan oleh persatuan-persatuan jualan langsung tersebut.

DSAM dilaporkan sebagai berkata, 90 peratus daripada syarikat jualan langsung tidak berdaftar dengannya. Daripada 600 buah syarikat jualan langsung yang berdaftar, hanya 66 sahaja yang menjadi ahlinya. Mungkin ada di antara syarikat-syarikat yang tidak berdaftar dengan DSAM ini menjadi ahli Persatuan Edaran Terus Malaysia. Namun apa yang penting ialah semua syarikat jualan langsung wajib menjadi ahli mana-mana persatuan jualan langsung.

Syarikat-syarikat yang tidak menjadi ahli mana-mana persatuan jualan langsung inilah yang banyak menjalankan operasi menyalahi peraturan yang ditetapkan. Mereka bukan sahaja mengamalkan operasi ala skim piramid, malah menjadi dalang kepada penipuan skim gores dan menang.

Rabu, Mac 21, 2007

Kutipan tol RM23.65 bilion


Plus catat jumlah tertinggi RM15.91b atasi 18 lebuh raya lain

KUALA LUMPUR: Sembilan belas lebuh raya di seluruh negara mengutip tol berjumlah RM23.65 bilion sehingga akhir tahun lalu, dengan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM15.91 bilion.

Ini diikuti Jambatan Pulau Pinang sebanyak RM1.7 bilion; Lebuhraya Utara Selatan-Hubungan Tengah (Elite) RM1.05 bilion; Lebuhraya Shah Alam (Kesas) RM990 juta; Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) RM970 juta dan Lebuhraya KL-Karak RM780 juta.

Laluan Kedua Malaysia Singapura (Linkedua) pula mengutip RM350 juta, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) RM320 juta, manakala 11 lebuh raya lagi mencatat kutipan kurang daripada RM300 juta.

Kutipan tol semua lebuh raya itu didedahkan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu (gambar), dalam sidang Dewan Rakyat, semalam. Ini adalah kali pertama butiran terperinci mengenai kutipan tol itu diumumkan.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh), Samy Vellu turut memperincikan kos pembinaan, penyelenggaraan dan tempoh konsesi semua lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, sehingga akhir tahun lalu, 19 lebuh raya itu membelanjakan RM492 juta setahun atau RM41 juta sebulan untuk penyelenggaraan.

Katanya, Plus yang dibina dengan kos RM5.94 bilion diberi tempoh konsesi selama 50 tahun bermula 1988 dan memerlukan RM27.83 juta sebulan atau RM330 juta setahun untuk penyelenggaraan.

Tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang pula selama 25 tahun bermula 1993 dan kos penyelenggaraannya RM220,000 sebulan, manakala Elite yang dibina dengan kos RM1.25 bilion diberi tempoh konsesi 36 tahun bermula 1994 dan kos penyelenggaraannya berjumlah RM1 juta sebulan.

Kesas diberi tempoh konsesi selama 30 tahun bermula 1993; LDP 33 tahun/1996 dan Lebuhraya KL-Karak 38 tahun/1994.

Sementara itu, pada sesi soal jawab, Samy Vellu berang dengan tindakan pembangkang yang terus menyalahkan kementeriannya berhubung kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star.

Beliau sebaliknya menjelaskan kelewatan itu disebabkan kerja tambahan yang perlu dilakukan atas permintaan pihak atasan yang mahukan HSB menjadi hospital pakar seperti Institut Jantung Negara (IJN).

“Tambahan kerja tak kira. Ambil kira kontrak asal saja, akhirnya kita tembak JKR (Jabatan Kerja Raya). Bangunan ini (HSB) bercampur dengan IJN. Selepas itu kita bina Wad Diraja macam-macam kerja ditambah,” katanya menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

HSB bernilai RM500 juta yang akan menggantikan Hospital Alor Star (HAS) sepatutnya siap pada 2003, tetapi tertangguh akibat beberapa masalah termasuk dakwaan pelan yang sentiasa berubah.

Hospital itu hanya diserahkan JKR kepada Kementerian Kesihatan pada 15 Mac lalu dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

Samy Vellu berkata, kedudukan hospital itu di kawasan sawah juga antara faktor kelewatan pembinaannya.

“Kawasan tanah ini lembik dan tiang asas perlu masuk 36.5 meter... itu saja perlu masa setahun supaya benar-benar kukuh, bukan kita beli tanah itu, orang bagi tanah kita buatlah,” katanya.

Menjawab soalan asal Tan pula, Samy Vellu berkata, perbincangan sudah diadakan antara JKR dengan kontraktor Jalan Lingkaran Tengah (MRR-2) bagi membuat tuntutan bayaran pembaikan yang dilaksanakan kerajaan.

“Kalau kita tunggu bayaran daripada kontraktor itu dalam tempoh tiga tahun lagi pun belum tentu jambatan dapat disiapkan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan kerana JKR perlu menganalisis setiap bahagian tiang sebelum membuat tuntutan itu.

Laluan 1.7 kilometer di MRR-2 ditutup kepada semua kenderaan pada 8 Ogos 2004 berikutan keretakan pada 31 tiang dan dibuka semula mulai 7 Disember 2004.

Bagaimanapun, ia ditutup kembali pada Februari 2006 bagi kerja pembaikan dan empat daripada enam lorong jejambat itu dibuka semula untuk kenderaan ringan akhir tahun lalu.

Berita Harian, 21 Mac 2007

Selasa, Mac 20, 2007

Pelaburan Saham Neraka

Oleh ZAINUDDIN ZAIN, FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Metro Ahad, 18 March 2007

Pendapatan mencecah lima angka selepas beberapa bulan aktif melabur

KUALA LUMPUR: "Saya berdosa. Niat untuk memperbaiki ekonomi keluarga rupa-rupanya mendekatkan kami kepada api neraka kerana hasil daripada wang haram itu digunakan untuk membiayai kehidupan, sekali gus menjadi darah daging kami sekeluarga."

Demikian luahan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Liza yang sanggup berhenti kerja sebagai pemandu bas sekolah di ibu kota gara-gara pendapatan lumayan mencecah lima angka yang diperolehnya hanya selepas beberapa bulan aktif melabur di dalam skim pelaburan di internet.

Liza yang berusia pertengahan 30-an dan mempunyai tiga anak menangis teresak-esak kerana insaf selepas mendapat penerangan pakar ekonomi Islam, Zaharuddin Abdul Rahman, mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.

Mengimbas semula pembabitan di dalam pelaburan itu, Liza berkata, ia bermula awal tahun lalu selepas mendapat maklumat daripada seorang rakannya lalu membuat pelaburan awal kira-kira AS$100 (RM380) di dalam satu skim pelaburan di internet yang ketika itu masih baru beroperasi.

"Daripada pelaburan secara suka-suka, saya menjadikannya sumber rezeki sepenuh masa sehingga berhenti kerja kerana dalam tempoh kurang enam bulan, pendapatan saya mencapai lima angka apabila ada ramai ‘downline' (orang bawahan).

"Daripada keuntungan itu, saya melabur di beberapa skim baru di internet, sekali gus memberi pulangan lumayan yang digunakan untuk membayar hutang serta menyara hidup kami sekeluarga berikutan gaji suami kecil," katanya.

Bagaimanapun, Liza berkata, ketika ghairah mencari untung dengan melabur di internet, dia tersentak apabila membaca di dalam ruangan tulisan Zaharuddin di Metro Ahad (MA) mengenai pelaburan di internet yang disahkan haram.

Dia yang kemudian menghubungi Zaharuddin, bertekad berhenti daripada semua pelaburan haram itu untuk membina hidup baru tanpa wang haram.

"Saya tidak mahu mengheret keluarga ke dalam api neraka hanya kerana kemewahan sementara di dunia," katanya yang bersyukur suaminya tidak berhenti kerja meskipun pendapatan daripada pelaburan di internet mencecah puluhan ribu sebulan.

Liza juga berazam mencari kerja halal selepas ini dan akan mengira semula semua keuntungan yang digunakan hasil daripada pendapatan pelaburan di internet itu.

"Saya berjanji akan membayar sedikit demi sedikit kepada badan kebajikan untuk membersihkan diri kami sekeluarga daripada wang haram," kata Liza.

Pada masa ini, ada beberapa skim pelaburan di internet yang popular di kalangan rakyat negara ini yang mengaku kononnya mereka syarikat pelaburan online telus yang menawarkan fenomena baru dunia pelaburan ‘off shore'.

Ada pengendali skim itu mengaku mereka berpangkalan di Zurich (Switzerland), Amerika Syarikat dan Eropah serta peneraju ekonomi yang lain untuk menarik minat pelaburan bukan hanya dari rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.

Kebanyakan pengendali skim menawarkan pelaburan serendah AS$20 (RM76) dengan jaminan ulangan dua peratus setiap hari selama 100 hari, sekali gus bermakna seseorang mendapat keuntungan maksimum 200 peratus dalam tempoh itu.

Malah, bagi yang melabur AS$2,000 (RM7,600) pula, skim menjanjikan pulangan sehingga 290 peratus dalam tempoh 100 hari. Jumlah pulangan terus meningkat jika seseorang pelabur mempunyai ‘downline' (orang bawahan) yang ramai.

Seorang lagi pelabur yang mahu dikenali sebagai Hazli, 30, yang baru tiga minggu terjebak dalam pelaburan di internet, berkata dia terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan modal sebelum berhenti daripada aktiviti berkaitan riba itu.

Hazli berkata, dia menyertai pelaburan itu dengan pelaburan AS$100 (RM380). Melalui pengiraannya, selepas 100 hari, dia memperoleh keuntungan kira-kira RM950 dan selepas ditolak modal, dia bakal mendapat untung bersih RM570.

"Bayangkan, dalam masa 30 hari saya bakal mendapat RM285, sedangkan ada 70 hari lagi untuk tempoh matang. Jadi jika saya melabur dalam jumlah besar, tentu pulangannya besar. Begitupun selepas menyedari ia haram, niat itu terus terbatal dan kini saya hanya menunggu untuk mendapatkan modal semula," katanya.

Dia yang dimaklumkan mengenai pelaburan itu oleh kakak dan abang iparnya berkata, sebelum mengetahui ia haram, dia berhasrat menggunakan keuntungan sebagai simpanan untuk membuka perniagaan, membayar hutang dan membantu ibu bapa.

"Memang pada mulanya saya bersemangat untuk menyertainya, apatah lagi selepas diberitahu keuntungan diperoleh segera. Namun selepas berfikir secara logik, ke mana wang dilaburkan itu pergi dan mengapa begitu cepat iaitu selepas sehari boleh dapat keuntungan, saya terfikir kebenarannya," katanya.

Hazli berkata, keghairahan masyarakat Melayu menyertai pelaburan seperti itu yang menjanjikan pulangan segera mengundang risiko, selain salah di sisi agama.

"Pada saya, disebabkan ghairah melabur, tidak mustahil seseorang itu membuat pinjaman ceti haram atau along kerana dalam masa sehari sudah dapat keuntungan.

"Selain itu, berdasarkan pengalaman saya, ia melalaikan kerana kita asyik mencari ‘downline' tanpa menitikberatkan perkara wajib seperti solat, selain menimbulkan sifat tamak. Bila dapat wang, kita mahu cari lagi banyak, sedangkan apa yang diperoleh itu tiada keberkatan," katanya.

Bagaimanapun, rasa insaf Liza dan Hazli tidak dikongsi Amira, berusia pertengahan 20-an, yang bertekad tidak meninggalkan pelaburan di internet sehingga Jawatankuasa Fatwa Malaysia membuat pengumuman rasmi mengenai pengharamannya.

"Saya tidak tahu ia (pelaburan menerusi internet) halal atau haram. Ada orang kata halal dan ada juga beritahu haram.

"Begitupun, ‘upline' (orang atas) saya bergelar haji. Malah, ada rakan bertanya seorang ustazah dan diberitahu ia halal. Saya keliru, tetapi bagi saya, terpulang kepada niat masing-masing."

Amira berkata, pada masa ini ramai orang Melayu, sama ada kakitangan swasta atau kerajaan, ‘berlumba-lumba' menyertai pelaburan ini yang menjanjikan pulangan dalam tempoh 24 jam atau sehari selepas menyertainya.

"Soal halal dan haram sangat penting, terutama bagi orang Islam. Jika haram, tentu saya akan tinggalkan, tetapi pada masa ini saya lihat pelbagai golongan atau status menyertainya.

"Mungkin ia (skim) masih baru di negara ini dan mendapat sambutan hangat tetapi akan datang, saya tidak tahu apa akan berlaku, terutama apabila banyak pihak mula ‘bercakap' mengenai status halal dan haram pelaburan ini sekarang," katanya.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu tidak menafikan, keuntungan segera selain ‘kerja mudah' antara faktor ramai orang Melayu terpengaruh untuk menjadi orang kaya baru (OKB) melalui pelaburan singkat itu.

"Bayangkan, jika seseorang itu melabur AS$100 (RM380), mereka boleh memperoleh keuntungan sehingga RM950 (AS$250) selepas tempoh matang iaitu 100 hari.

"Dalam sehari, boleh untung RM9.50 (AS$2.50). Kalau malas cari downline, mereka hanya mengaut untung ini setiap hari selama 100 hari dan jika ada downline, tentu keuntungan bertambah. Memang mudah dan senang," katanya.

Dia yang melabur AS$500 (RM1,900) beberapa bulan lalu gembira kerana hanya dalam tempoh 40 hari, modal dilaburkan diperoleh kembali dan kini dia hanya ‘makan untung'.

"Sebelum menyertai pelaburan ini, bakal pelabur diberitahu mengenai risikonya, termasuk kerugian yang akan ditanggung sendiri. Justeru, mereka yang baru digalakkan membuat pelaburan serendah AS$20 (RM76) dan lihat hasilnya sebelum membuat keputusan sendiri," katanya sambil menambah, pelaburan tertinggi ialah AS$2,000 (RM7,600) dengan pulang mencapai RM23,000 dalam tempoh 100 hari.

Ditanya adakah dia tidak bimbang jika satu hari nanti kerajaan mengharamkan pelaburan seperti itu, Amira berkata, seandainya perniagaan itu terbukti haram, dia tidak teragak-agak meninggalkannya.

Mukadepan: Ketepikan hukum agama untuk jadi OKB

18 March 2007

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah untuk menjadi ‘orang kaya baru' atau OKB, ada umat Islam di negara ini sanggup mengetepikan hukum agama dengan mengambil risiko melabur di dalam skim pulangan ekspres di internet.

Walaupun menyedari ia berbentuk skim cepat kaya dan pelaburan mereka berisiko berikutan hanya bersandarkan urusan di internet dan satu nombor telefon, habuan lumayan dijanjikan skim itu menjadikan mereka ‘kelabu mata'.

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, memberi amaran, pulangan yang diterima daripada skim di internet adalah haram.

Beliau yang juga penulis tamu untuk ruangan An-Nur di Metro Ahad berkata, selepas tiga minggu berturut-turut membicarakan mengenai pelaburan di internet di ruangan itu, banyak maklum balas diterima daripada orang ramai.

"Ramai menelefon dan menghantar e-mel untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Malah, saya diminta membentangkan kajian saya mengenai pelaburan di internet dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, 10 Mac lalu.

"Selain saya, seorang lagi yang juga bekas pelabur di dalam skim pelaburan internet turut membentangkan pengalamannya," katanya.

Zaharuddin berkata, pada mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan pelaburan di internet sebagai haram.

"Apabila saya maklumkan keputusan ini kepada mereka yang menelefon dan menghantar e-mel, ada yang terkejut dan menangis kerana selama ini menggunakan wang haram.

"Yang jelas, jangan kata makan minum atau membeli aset, wang berkenaan juga haram meskipun digunakan untuk membayar hutang, termasuk cukai.

"Ini kerana Majlis Fekah Sedunia memutuskan, wang yang difatwakan daripada hasil yang haram harus disedekahkan kepada badan kebajikan awam atau surau dan masjid selain golongan fakir," katanya.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata, kajian ulama dan pakar ekonomi Islam mendapati, ada beberapa ciri di dalam pelaburan berkenaan yang jelas bertentangan dengan Islam, menyebabkan ia difatwakan sebagai haram.

"Yang jelas, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah. Selain itu, banyak helah di dalam skim pelaburan berkenaan, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada pelanggan, yang mana keadaan ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

"Semua skim ini tidak ada kontrak atau perjanjian sempurna, sebaliknya hanya berurusan di internet tanpa butiran sebagai bukti, menyebabkan risiko untuk orang ramai tertipu adalah besar dan mudah," katanya.

Beliau berkata, tindakan beberapa skim menetapkan kadar faedah untuk tempoh tertentu juga bertentangan dengan hukum Islam kerana berkonsepkan riba.

Zaharuddin berkata, tiada jalan penyelesaian, selain umat Islam yang terjebak dengan skim berkenaan mengeluarkan semua wang mereka dan mengambil semula modal sebenar yang dilaburkan.

"Wang keuntungan pula perlu diserahkan untuk kebajikan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika diteliti, banyak skim pelaburan di internet mengamalkan konsep skim piramid.

Di dalam satu kenyataan, beliau berkata, ada skim meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif tinggi dengan lebih ramai berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif diperoleh.

"Persoalannya, peserta yang mengikuti skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa sebenarnya berlaku ialah, wang pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur lain.

"Pada satu peringkat, wang berkenaan tidak lagi dijadikan sebagai pusingan sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif diharapkan," katanya sambil menambah, tidak wujud undang-undang pada masa ini yang menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka jika berlaku penyelewengan terhadap skim berkenaan.

Khamis, Mac 15, 2007

Membendung promosi ubat tidak beretika


PERTUBUHAN pengguna seluruh dunia menyambut Hari Hak Pengguna Sedunia pada 15 Mac setiap tahun. Seperti tahun sebelumnya, ‘Consumer International’ (CI), sebagai persatuan antarabangsa dianggotai lebih 250 persatuan pengguna dari 115 negara, menetapkan tema tertentu dan tahun ini ialah ‘Promosi Ubat-Ubatan Yang Tidak Beretika’.

Di Malaysia, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), yang juga ahli CI turut menjayakan kempen ini. Dengan kerjasama dan jaringan ahli CI seluruh dunia, Fomca sedang merangka pelbagai program seiring dengan kempen anjuran CI.

Sebagai permulaan, Fomca bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengadakan program kesedaran awam mengenai penggunaan ubat-ubatan secara rasional.

Menerusi program ini, masyarakat didedahkan terhadap konsep penggunaan ubat secara rasional.

Secara keseluruhannya, pengguna tidak sedar sebahagian besar ubat yang mereka ambil dipengaruhi syarikat pengeluar ubat, yang lebih mementingkan keuntungan. Kempen secara global ini bertujuan memastikan kerajaan dan syarikat farmaseutikal bertanggungjawab terhadap promosi, pemasaran dan pengiklanan ubat-ubatan tidak beretika.

Promosi ubat-ubatan dilakukan dengan pelbagai bentuk seperti promosi secara terbuka melalui iklan, pemberian produk sampel secara percuma dan kunjungan ke klinik perubatan oleh wakil jualan.

Ada juga promosi ubat dilakukan secara tidak langsung dengan membiayai kempen kesedaran sesuatu penyakit dan menulis artikel di dalam jurnal perubatan iaitu kaedah terkini syarikat farmaseutikal.

Dalam usaha promosi ini, syarikat pengeluaran farmaseutikal menggunakan pendekatan seolah-olah ia dilakukan secara sah mengikut undang-undang menyebabkan pengguna keliru dan mendapat maklumat salah.

Promosi yang disasarkan kepada doktor antara lain menerusi pengiklanan bercetak, brosur produk, menulis artikel dalam jurnal, kunjungan wakil jualan, pandangan pakar dalam sesuatu bidang, membiayai persidangan bagi pakar perubatan, pendidikan perubatan secara berterusan, hadiah, internet dan laman web produk.

Ada juga promosi menerusi anggota sosial, melobi menggunakan saluran politik, membiayai aktiviti pelajar perubatan dan farmasi, membiayai kumpulan pesakit.

Kaedah pemasaran ini memang tidak beretika. Pengeluar ubat-ubatan lebih mementingkan keuntungan. Oleh itu, bagi meningkatkan jualan produk, mereka cuba meningkatkan permintaan pengguna terhadap produk berkenaan.

Antara kaedah tidak beretika ialah:

  • Mempromosi ubat-ubatan serta membuat dakwaan yang mengelirukan;

  • Melindungi diri mereka daripada sebarang risiko dan kesan sampingan ubat-ubatan mereka dengan sengaja;

  • Memberikan insentif kewangan kepada doktor yang memberikan preskripsi ubat kepada pengguna, dan;

  • Menggunakan kempen kesedaran penyakit untuk mempromosi ubat mereka.

    Kaedah ini menyebabkan pengguna mengambil sesuatu ubat secara tidak rasional dan mendedahkan pengguna terhadap risiko kesihatan.

    Pada masa ini, tidak ada maklumat jelas mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan sesuatu promosi ubat-ubatan itu dijalankan secara beretika.

    Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mempunyai penanda aras dalam menentukan promosi ubat-ubatan tidak beretika. Bagaimanapun, kriteria ini bukan wajib dilaksanakan dan tidak mempunyai obligasi undang-undang. Pihak berkuasa kesihatan sesebuah negara perlu menggubal peraturannya sendiri untuk mengawal selia aktiviti berkaitan promosi ubat-ubatan.

    Di Eropah, kebanyakan negara di benua itu menyokong kawalan kendiri bagi sektor industri dan kerajaan mereka tidak begitu aktif dalam memantau salah laku korporat. Di negara rantau Asia, Amerika Latin dan Afrika, masalah rasuah dan tadbir urus lemah turut membantutkan usaha memantau aktiviti promosi ubat-ubatan.

    Kawalan kendiri industri menjadi pemantau kepada promosi ubat-ubatan tidak beretika. Mereka mewujudkan beberapa kod industri yang perlu dilaksanakan oleh industri secara sukarela untuk mengawal selia aktiviti promosi ubat-ubatan. Kod ini mempunyai perbezaan kandungan yang ketara dan sering gagal dikuatkuasakan.

    Dengan pengecualian kepada Amerika Syarikat dan New Zealand, kebanyakan negara mengharamkan pengiklanan berkaitan ubat-ubatan preskripsi secara terus kepada pengguna. Bagaimanapun, dengan menaja kumpulan pesakit tertentu, membiayai kempen kesedaran penyakit, mewujudkan laman web dan menawarkan khidmat kepada pakar kesihatan, pengeluar ubat-ubatan menemui kaedah lebih berkesan bagi mempengaruhi pengguna.

    Laporan CI pada 2006, yang berjudul ‘Penjenamaan Ubat-Ubatan' membentangkan bukti jelas bahawa kawalan kendiri industri gagal melindungi pengguna terhadap taktik promosi tidak beretika.

    Sebagai contoh, ada 972 pelanggaran terhadap kod Persatuan Industri Farmaseutikal Britain oleh 20 syarikat pengeluar ubat-ubatan utama sepanjang tempoh 2002 hingga 2005. Daripada jumlah itu, lebih 35 peratus pelanggaran peraturan berkaitan dakwaan tidak benar mengenai ubat-ubatan.

    Fomca amat yakin kesihatan pengguna perlulah mengatasi keuntungan korporat. Oleh itu, syarikat pengeluar perlu memaklumkan mengenai pembiayaan kempen kesedaran penyakit, mendedahkan sepenuhnya data ujian klinikal dan menghentikan amalan pemberian hadiah kepada doktor.

    Semua bentuk peraturan pada peringkat sejagat, serantau atau negara, hendaklah meliputi semua perkara berkaitan promosi ubat-ubatan, termasuk di laman web dan kempen kesedaran penyakit.

    Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Fomca dan Ahli Majlis Eksekutif Consumer International (CI)

  • Berita Harian, 15 Mac 2007

    Jumaat, Mac 09, 2007

    KEMARUK SKIM PELABURAN MELALUI INTERNET

    Jika kita melayari internet pada hari ini, kita akan menjumpai pelbagai laman web yang menawarkan perkhidmatan skim pelaburan. Ada di antaranya yang memberikan pulangan yang begitu menarik sehingga ramai yang ingin menyertainya.

    Ramai yang telah melaburkan wang mereka melalui skim pelaburan ini dengan pelaburan sehingga beribu-ribu ringgit. Memang ada yang mengatakan mereka telah mendapat pulangan sebagaimana yang dijanjikan. Namun begitu, terdapat lebih ramai lagi yang mendakwa wang mereka telah lebur kerana tidak mendapat pulangan sebagaimana yang dijanjikan.

    Sebenarnya jika diperhalusi skim pelaburan ini secara teliti, ia mengamalkan konsep skim piramid. Ada skim ini yang turut meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif yang tinggi, berbanding sekiranya mereka hanya melabur sahaja. Lebih ramai yang berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif yang diperolehi.

    Persoalannya di sini, para peserta yang mengikuti skim-skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa yang sebenarnya berlaku ialah wang para pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur yang lain. Pada satu peringkat, wang tersebut tidak lagi dijadikan sebagai pusingan, sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif yang diharapkan.

    Para pengguna begitu asyik dengan pulangan pelaburan melalui internet ini sehingga gagal untuk memastikan sama ada wang yang dilaburkan itu selamat ataupun tidak. Tidak wujud sebarang undang-undang pada masa ini di negara kita yang dapat menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka sekiranya berlaku penyelewengan terhadap skim pelaburan tersebut.

    Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidan Kassim baru-baru ini ada menyatakan bahawa terdapat pegawai kanan kerajaan negara yang leka menyertai skim pelaburan melalui internet sehingga menjejaskan prestasi kerja mereka.

    ini menunjukkan bahawa skim pelaburan ini turut diminati oleh golongan yang berkedudukan tinggi. Sudah tentu jumlah pelaburan mereka juga besar dan sedang dijanjikan pulangan yang tinggi. Apabila sampai satu peringkat nanti, apabila penaja skim ini menghentikan pemberian pulangan, barulah mereka sedar bahawa mereka sebenarnya telah tertipu. Pada ketika itu segalanya seperti `nasi telah menjadi bubur’. Sudah tentu pada masa itu, prestasi kerja mereka akan lebih teruk lagi.

    Adalah lebih baik mereka melabur ke dalam pelbagai skim pelaburan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi amanah di negara ini. Permodalan Nasional Berhad baru-baru ini telah menawarkan pembelian Amanah Saham Wawasan 2020 sebanyak satu bilion dan Amanah Saham Malaysia pula sebanyak 800 juta unit. Pelaburan ini telah terjamin pulangannya walaupun mungkin tidak setinggi pulangan yang didakwa oleh penaja pelaburan melalui internet ini. Yang pentingnya wang mereka selamat dan mendapat jaminan daripada kerajaan.

    Rabu, Mac 07, 2007

    TEGAS MENANGANI PENJUALAN MAKANAN RINGAN DI SEKOLAH

    Baru-baru ini, akhbar tempatan telah melaporkan tentang kualiti makanan, terutamanya penjualan makanan ringan di kantin sekolah. Ini merupakan isu yang telah lama diperkatakan beberapa dekad yang lalu. Namun sehingga kini masalah ini masih belum ada penyelesaiannya.

    Walaupun terdapat garis panduan bagi kantin sekolah dan adanya larangan penjualan makanan ringan di sekolah, namun begitu kes-kes berkaitan makanan masih terus berlaku, seperti kes keracunan makanan di sekolah. Dalam pada itu peningkatan kadar obesiti dalam kalangan pelajar kian membimbangkan. Pada tahun 2005, Institut Jantung Negara (IJN) mengadakan satu kajian tentang tabiat pemakanan dalam kalangan pelajar sekolah. Kajian tersebut mendapati bahawa pelbagai jenis makanan yang dijual di kantin adalah tidak berkhasiat dan tidak seimbang. Pelanggaran terhadap larangan penjualan makanan ringan dilakukan secara berleluasa, di samping kelemahan dalam pemantauan yang menyebabkan perkara ini terus berlaku.

    Cadangan kerajaan untuk menempatkan pakar pemakanan di sekolah-sekolah berasrama merupakan langkah yang positif ke arah menerapkan amalan pemakanan yang baik dalam kalangan pelajar. Biarpun langkah ini mungkin sukar untuk dilaksanakan pada masa ini disebabkan oleh kekurangan tenaga profesional yang terlatih dalam bidang ini, namun begitu pengetahuan terhadap kepentingan amalan makanan yang berkhasiat perlu diberikan kepada guru, pengusaha kantin, dan ibu bapa.

    Dalam pada itu, pemantauan yang berterusan oleh pihak berkuasa hendaklah dilakukan. Semua pihak yang berkaitan seperti jabatan pelajaran, pihak berkuasa tempatan dan pengurusan sekolah hendaklah diselaraskan bagi menangani masalah pengusaha kantin yang culas, di samping tindakan segelintir guru yang turut menjual makanan ringan kepada pelajar sekolah. Pemberian tender kepada pengusaha kantin perlu dilakukan secara telus di samping pemerhatian secara berkala dilakukan terhadap mereka.

    Persatuan Ibu Bapa dan Guru hendaklah turut memainkan peranan yang aktif sebagai kumpulan pendesak bagi memastikan amalan pemakanan yang sihat dilaksanakan di sekolah. Mereka juga boleh mendapatkan khidmat pakar pemakanan untuk memberikan kesedaran tentang pemakanan berkhasiat.

    Selain itu, cadangan untuk mewujudkan zon penampan di luar kawasan sekolah bagi menghalang penjualan makan ringan melalui kenderaan bergerak perlu dilaksanakan dengan segera. Pelajar sekolah khususnya di peringkat sekolah rendah perlu diberikan panduan tentang cara-cara membuat pilihan makanan yang berkhasiat. Mereka tidak sewajarnya didedahkan dengan iklan makanan ringan yang boleh mengelirukan. Ibu bapa hendaklah bertindak secara contoh teladan yang baik dari segi pengambilan makanan yang sihat. Sediakan makanan yang seimbang dan berkhasiat kepada anak-anak mereka sebelum mereka pergi ke sekolah.

    Jangan sekali-kali kita meletakkan keuntungan melebihi faktor kesihatan. Kita sebenarnya menyediakan bakal pemimpin ini dengan makanan yang berkhasiat.

    Malaysia Transparency Perception Survey 2007

    Tuesday, March 06, 2007

    In a recent survey conducted by Transparency International Malaysia (TI-M) and the Merdeka Centre for Opinion Research, Transparency Perception Survey 2007, the result was rather expectable then shocking; corruption is very serious in Malaysia. Police was given a big thumb-down with 59% of the correspondents voting them as deemed to be corrupt.

    The survey polled 1,025 respondents from the public and 411 from the corporate sector.

    Other keys finding from the survey include:

    1. 40% of the public and 52% of the corporate respondents said public sector integrity remained unchanged in the past 12 months;

    2. 46% (public) and 26% (corporate) expect this to improve in the next 12 months;

    3. 40% (public) and 54% (corporate) said private sector integrity remained the same
    in the past 12 months;

    4. 45% (public) and 29% (corporate) expect this to improve in the next year;

    5. 30% (public) and 47% (corporate) admitted to having paid bribes or knowing someone who had done so, mainly to avoid inconvenience;

    6. Bribe-paying experience among the public: Chinese (58%), Indian (23%), Malay (14%). [56% of the people polled were Malay, 34% Chinese and 10% Indian];

    7. 54% of the public and 71% of the corporate respondents said there was no transparency in government procurement processes.

    8. 95% of the public and 82% of the corporate respondents supported legislation to protect whistle blowers; and

    9. 78% of the public and 76% of the corporate respondents want the ACA to report to Parliament.

    The Sun, 6 March 2007