Jumaat, April 29, 2011

KURANG NILAI KENDIRI JADI PENDORONG BUAT RAWATAN KECANTIKAN


29 April 2011

KECANTIKAN adalah subjektif dan setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenainya. Ada yang menyukai wanita montel, bermata sepet, berhidung besar malah pandangan mengenai cantik itu berbeza-beza mengikut tafsiran setiap orang.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Lim Abdullah, individu yang melakukan rawatan kecantikan sebenarnya mempunyai kurang nilai kendiri sehingga mereka merasakan tidak sempurna walaupun ketidaksempurnaan itu hanya lima peratus.

Golongan ini biasanya berusaha mencantikkan diri dengan cara melakukan rawatan kecantikan menerusi ubat-ubatan atau pembedahan.

Wanita seharusnya menerima setiap kelebihan dan kekurangan pada diri mereka dan menerima hakikat walau secantik mana sekalipun mereka, pada akhirnya kecantikan dalaman paling utama.

“Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Perhubungan yang baik tidak hanya bersandar kepada fizikal semata-mata. Misalnya lelaki memang suka memandang wanita cantik namun pada akhirnya perhubungan itu kekal dan bahagia disebabkan perasaan sayang, hormat menghormati dan sifat bertanggungjawab, bukanlah kepada kecantikan saja,” katanya.

Seharusnya wanita berkenaan perlu sedar, lelaki yang berdampingan dengan mereka hanya sekadar suka-suka dan bukannya untuk dijadikan pasangan hidup.

Apatah lagi kos untuk rawatan kecantikan ini sangat tinggi dan tidak semua lelaki sanggup mengeluarkan belanja untuk pasangan mereka. Jika ada pun mungkin setelah bergelar suami isteri.

“Bagaimanapun, setiap rawatan mempunyai kesan tertentu dan seharusnya mereka menilai daripada segi kewangan, kesan rawatan dan sama ada dibolehkan agama atau tidak. Jangan hanya melakukannya disebabkan terpengaruh kepada sesuatu yang akhirnya memudaratkan diri,” katanya.

Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman, orang ramai yang ingin melakukan rawatan kecantikan atau mengambil sebarang ubat melangsingkan badan harus memeriksa terlebih dulu pusat rawatan itu sama ada bertauliah atau tidak.

Ini dapat dilihat menerusi sijil dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mempunyai doktor pakar dalam bidang berkaitan.

“Kegagalan pengguna mendapatkan maklumat jelas mengenai rawatan akan menyusahkan mereka sekiranya berlaku masalah yang tidak diingini.

“Banyak aduan diterima daripada pengguna yang melakukan rawatan di pusat kecantikan tidak bertauliah dan mereka terpengaruh untuk menjadi cantik dengan segera tanpa memikirkan kesannya,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, wanita yang menghadapi mangsa akibat ubat palsu atau kecederaan pada fizikal boleh membuat aduan kepada Fomca dan KKM sebelum tindakan diambil. Selepas itu, baru pihak kementerian membuat serbuan ke premis berkenaan. Tindakan mungkin akan diambil dengan menarik sijil pendaftaran perniagaan.

Tambah Yusof, apa yang menjadi masalah kini adalah kebanyakan pusat rawatan berkenaan sukar dikesan kerana pemiliknya menggunakan sijil palsu dan pengguna berhadapan masalah tidak sanggup membuat aduan.

“Walaupun Fomca ada menerima aduan, ramai tidak sanggup tampil mendedahkan identiti mereka disebabkan rasa malu. Mereka hanya mendiamkan diri dan membuat rawatan susulan di hospital atau klinik bertauliah malangnya trauma daripada kejadian itu akan menghantui hidup mereka,” katanya.

Justeru, Mohd Yusof menasihati pengguna terutama wanita supaya lebih berhati-hati dengan setiap paparan iklan di media cetak atau elektronik. Sebaiknya pergi sendiri ke pusat rawatan atau klinik yang menjalankan rawatan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Paling penting, pilih doktor bertauliah dan berpengalaman supaya mereka tidak menghadapi masalah di kemudian hari akibat rawatan yang bukan saja menyebabkan kecacatan malah kehilangan nyawa.

Jumaat, April 22, 2011

CUEPACS, FOMCA MAHU SKIM PINJAMAN PELABURAN AMANAH SAHAM DIPERINCI



22 April 2011

KUALA LUMPUR: CUEPACS dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan skim baru yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah membuat pinjaman untuk melabur dalam dana Amanah Saham 1Malaysia, tetapi mahu kerajaan merangka mekanisma terbaik bagi memastikan pinjaman berkenaan tidak membebankan rakyat.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata langkah berkenaan memberi keuntungan untuk jangka masa panjang kerana ia memberi pendapatan tambahan kepada golongan terbabit.

Beliau berkata, bagaimanapun skim itu perlu diperincikan dengan teliti dan hanya mereka yang mempunyai kewangan mencukupi dibenarkan berbuat demikian bagi mengelakkan bebanan membayar ansuran pinjaman setiap bulan.

"Sekiranya kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat berpendapatan rendah, mereka sepatutnya dibenarkan mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur.

"Melalui cara itu, mereka tidak perlu membayar ansuran pinjaman. Ia lebih selamat dan dapat mengelakkan diisytiharkan muflis sekiranya gagal membayar pinjaman dalam tempoh ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman mudah bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia.

Omar berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan rakyat terutama kakitangan awam melabur dalam skim cepat kaya atau saham yang berisiko tinggi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, skim terbabit membuka peluang kepada golongan berkenaan menambah pendapatan pada masa depan.

Beliau berkata, walaupun amanah saham itu memberi pulangan kecil, namun ia lebih terjamin berbanding saham lain berisiko besar dan mengelakkan melabur dalam skim cepat kaya.

"Langkah berkenaan baik, namun, setiap individu perlu memastikan kedudukan kewangan mereka sebelum melakukan pinjaman," katanya.

SAMBUT BAIK PENURUNAN CAJ PERAYAUAN


22 April 2011

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyambut baik langkah pengurangan kadar caj perayauan sehingga 20 peratus bagi panggilan suara serta 30 peratus untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Malaysia dan Singapura.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, langkah itu tepat pada masanya dan menguntungkan rakyat kedua-dua negara serta berharap pengurangan itu akan diperluaskan ke negara lain.

“Kami berharap biarlah ada ketelusan mengenai perkara ini dan pengguna dimaklumkan berapa kadar caj dikenakan ke atas mereka setiap kali membuat panggilan. Jangan nanti ada pula caj tersembunyi yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro di Kuala Lumpur, semalam.

SKIM PINJAMAN MUDAH PELABURAN JANGAN SAMPAI MEMBEBANKAN GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH



Kerajaan akan memperkenal skim pinjaman mudah untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan tabungan golongan berpendapatan rendah, khususnya untuk menghadapi keperluan masa hadapan.

Usaha kerajaan ini amat dialu-alukan kerana ia akan membantu golongan berpendapatan rendah mendapat pinjaman mudah untuk melabur dalam amanah saham. Ini merupakan salah satu lagi tabungan masa hadapan, selain daripada kumpulan wang simpanan pekerja, simpanan bank dan sebagainya.

Namun begitu, skim pinjaman mudah ini perlu diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Sebagaimana yang sedia maklum, pelaburan dalam amanah saham juga berisiko, terutamanya apabila berlaku krisis kewangan. Pengalaman beberapa skim amanah saham yang pernah diwujudkan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran, sepertimana amanah saham yang diwujudkan oleh kerajaan negeri. Antaranya Amanah Saham Johor, Amanah Saham Selangor, Amanah Saham Kedah dan sebagainya. Amanah saham ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila dilancarkan. Namun keuntungan yang dihajatkan tidak kesampaian apabila nilai saham merudum ketika berlakunya krisis ekonomi.

Ramai pula yang memohon pinjaman bank untuk membiayai pelaburan amanah saham tersebut. Akibat daripada dividen yang rendah menyebabkan mereka terpaksa menanggung hutang pula. Keadaan yang sama pernah berlaku kepada pelabur skim amanah saham nasional. Beberapa buah bank telah memperkenalkan produk pembiayaan pelaburan amanah saham nasional yang membolehkan peminjam membayar balik melalui dividen yang diterima.. Semasa berlaku kegawatan ekonomi pada akhir 1990-an, ramai yang terpaksa menanggung hutang kerana dividen yang diterima lebih rendah daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar.

Masalah seperti ini juga mungkin boleh berlaku kepada golongan berpendapatan rendah yang membuat pinjaman untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia. Mereka tidak sewajarnya hanya bergantung kepada dividen yang bakal diterima untuk membayar balik pinjaman. Jumlah pinjaman yang dibuat juga perlu berdasarkan kemampuan mereka. Janganlah kerana terlalu ghairah dengan skim pinjaman mudah ini, mereka meminjam dalam jumlah yang besar. Akhirnya apabila berlaku keadaan yang tidak diingini, mereka terpaksa menanggung hutang, dan mungkin boleh diisytiharkan muflis jika pinjaman yang tertunggak itu berjumlah lebih RM30,000.

Kerajaan perlu memastikan wang dalam amanah saham dilaburkan dalam pelaburan yang berisiko rendah. Walaupun pulangannya mungkin rendah, namun wang pelabur akan terjamin. Selain itu, institusi kewangan yang terlibat dalam skim pinjaman mudah ini juga menawarkan kadar faedah atau keuntungan yang rendah. Ini bagi memastikan jumlah bayaran pinjaman tersebut tidak terlalu tinggi. Hasrat kerajaan mewujudkan skim ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan tabungan mereka. Jika kadar faedah dan keuntungan yang dikenakan tinggi, dividen yang diterima habis digunakan untuk membayar kepada institusi kewangan sahaja.

Khamis, April 21, 2011

PENGUATKUASAAN LEMAH PUNCA BERLELUASA - FOMCA

PATUHI SEGERA GARIS PANDUAN KANTIN SEKOLAH


Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan arahan bahawa makanan ringan tidak dibenarkan dijual di sekolah. Arahan ini dibuat memandangkan tahap kesihatan pelajar sekolah yang membimbangkan, terutamanya kegemukan dan kencing manis.

Langkah Kementerian Kesihatan ini amat dialu-alukan dan hendaklah dilaksanakan oleh pihak sekolah. Pengharaman penjualan makanan ringan dan minuman berkarbonat sepatutnya telah lama diharamkan di sekolah. Namun disebabkan oleh pemantauan yang masih belum memuaskan oleh pihak sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat masih terus dijual di kantin-kantin sekolah.

Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Kantin Sekolah semenjam tahun 1983 lagi. Garis panduan ini sebagai rujukan pihak sekolah dalam penyediaan makanan yang dijual di kantin sekolah.

Garis panduan ini telah menyenaraikan makanan dan minuman yang dilarang di kantin sekolah, iaitu:

  1. Makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
  2. Minuman ringan bergas.
  3. Gula-gula, coklat dan biskut berkrim.
  4. Jenis-jemis makanan yang elah dijeruk sama ada masam atau masin atau manis, basah atau kering seperti asam manis atau masin, jeruk mangga, kulit limau, jeruk halia, jeruk bawang dan lain-lain.
  5. Makanan snek yang rapuh seperti ‘crackers’.
  6. Semua jenis makanan yang berupa permainan atau yang dijual bersama permainan seperti cincin, gambar, belon dan lain-lain.
  7. Rokok, bahan-bahan makanan yang mengandungi alkohol dan barang-barang seumpamanya.
  8. Makanan yang melampaui tarikh tamat tempoh.

Selain itu, makanan dan minuman yang tidak digalakkan dijual di kantin sekolah pula ialah:

  1. Makanan dan minuman yang mengandungi gula yang berlebihan seperti sirap, donat, aiskrim dan lain-lain.
  2. Minuman berperisa kecuali susu berperisa.
  3. Minuman yang menggunakan bahan pewarna dan perisa sintetik seperti minuman oren dan lain-lain.

Garis Panduan Kantin Sekolah juga menyenaraikan makanan yang sesuai dijual di kantin sekolah, di samping tahap keselamatan dan kebersihan yang perlu diamalkan oleh pengusaha kantin.

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu meminta supaya pihak sekolah segera melaksanakan garis panduan ini. Walaupun garis panduan ini masih perlu dikemas kini dari semasa ke semasa, namun apa yang terkandung dalamnya secara asasnya sudah cukup untuk menjadi panduan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kantin yang sihat dan selamat untuk pelajar sekolah.

Setiap sekolah mempunyai jawatankuasa kantin yang terdiri daripada guru-guru dan pengusaha kantin. Jawatankuasa ini perlu memainkan peranan yang sewajarnya dengan dipantau oleh Jabatan Pelajaran Daerah bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu bersikap tegas terhadap penjaja kecil yang menjual makanan dan minuman ringan di luar kawasan sekolah. Tidak ada maknanya jika pihak sekolah begitu ketat melaksanakan peraturan pemakanan di kantin, tetapi pelajar dengan mudah mendapatkan makanan tidak berkhasiat di luar sekolah apabila pulang.

Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memperkukuh kurikulum berkaitan amalan pemakanan di dalam mata pelajaran, sama ada sains atau kemahiran hidup. Pelajar perlu diberikan kesedaran yang mantap tentang amalan pemakanan yang sihat dan seimbang, termasuk bahaya makanan dan minuman ringan. JIka pelajar dapat ditanamkan dengan kesedaran ini, mereka sendiri akan menjauhkan diri daripada makanan dan minuman ringan.

Rabu, April 20, 2011

KENDERAAN TERPAKAI PERLU DIPERIKSA PUSPAKOM


Mulai 1 Jun 2011, semua kenderaan terpakai, yang dibaik pulih dan diubah suai, termasuk motosikal, hendaklah diperiksa oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum membuat transaksi sewa beli.

Peraturan ini adalah sebahagian daripada pindaan yang dibuat dalam Akta Sewa Beli 1967, Pindaan 2010. Langkah ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada terbeli kereta terpakai yang dipotong sambung atau dicuri. Pembeli kereta terpakai akan diberikan salinan perakuan pemeriksaan puspakom apabila membeli kereta terpakai.

Sebelum ini, pengguna sering menghadapi masalah membeli kereta terpakai yang tidak tentu statusnya. Apabila berlaku kemalangan atau melakukan pemeriksaan menyeluruh di bengkel, barulah diketahui bahawa kereta tersebut adalah kereta potong sambung. Dalam keadaan seperti ini pengguna akan mengalami kerugian apabila kereta itu tidak boleh lagi digunakan di jalan raya dan dianggap sebagai kerugian sepenuh (total loss).

Dalam peraturan baru ini, syarikat kenderaan terpakai hendaklah menghantar kenderaan tersebut untuk menjalani pemeriksaan di Puspakom. Puspakom akan memberikan laporan perakuan pemeriksaan selepas pemeriksaan dilakukan. Seseorang yang ingin membeli kenderaan terpakai akan diberikan salinan laporan kenderaan untuk mengetahui status kenderaan tersebut. Selepas itu barulah proses pembelian secara sewa beli boleh dilakukan.

Selain itu, terdapat beberapa peraturan lain yang terdapat dalam pindaan Akta Sewa Beli ini. Antaranya:
  • Wang tempahan untuk membeli kenderaan dimasukkan dalam wang pendahuluan sekiranya pembelian secara sewa beli diteruskan. Wang tempahan adalah sebanyak satu peratus daripada harga tunai kenderaan tersebut.
  • Sekiranya pembelian secara sewa beli tidak dapat diteruskan kerana masalah kegagalan mendapatkan pembiayaan, wang tempahan akan dipulangkan sepenuhnya jika pembatalan dibuat oleh penjual, sebaliknya jika pembatalan dibuat oleh bakal pembeli, maka 90 peratus daripada wang tempahan akan dipulangkan.
  • Proses pengambilan semula kenderaan (Repossession) hendaklah dilakukan oleh ejen perolehan semula yang mempunyai permit. Pengambilan semula kenderaan tidak boleh dilakukan secara kekerasan, dan penyewa diberikan tempoh masa secukupnya untuk mengeluarkan barang peribadi.
  • Sekiranya notis pengambilan semula telah diberikan kepada penyewa melalui notis jadual keempat, dan penyewa telah menyerahkan kenderaan tersebut kepada institusi kewangan sebelum tempoh 21 hari tamat, semua kos berkaitan perolehan semula tidak akan ditanggung oleh penyewa, seperti upah pengambilan semula, penundaan, penyimpanan dan sebagainya.
  • Proses pengambilan semula perlu mendapat perintah mahkamah sekiranya penyewa telah membayar ansuran melebihi 75% daripada harga tunai barang. Sebaliknya perolehan semula tanpa perintah mahkamah pula dibuat jika jumlah ansuran tidak melebihi 75% daripada harga tunai barang.
Pindaan baru akta sewa beli juga menetapkan bahawa pemunya, termasuk wakil jualan tidak boleh meminta bakal penyewa menandatangani sebarang borang yang tidak dilengkapkan butiran. Sebelum ini bakal penyewa sering diminta untuk menandatangani beberapa borang yang tidak dilengkapkan, seperti borang perjanjian sewa beli, pertukaran hak milik dan sebagainya.

Penyewa juga boleh meminta untuk menyimpan kad pendaftaran kenderaan setelah membuat permohonan secara bertulis kepada pemunya, iaitu institusi kewangan. Pindaan baru ini meletakkan tanggungjawab kepada penyewa untuk memberikan maklumat mengenai kenderaan dalam tempoh 14 hari setelah menerima notis bertulis daripada pemunya.

Penyewa yang ingin menyelesaikan ansuran lebih awal berhak untuk mendapatkan rebat faedah ke atas jumlah faedah yang dikenakan bagi tempoh yang belum dilalui. Rebat ini dibuat berdasarkan formula yang ditetapkan di bawah akta sewa beli.

Dengan berkuatkuasanya Akta Sewa Beli 1967 Pindaan 2010 pada Jun 2011 nanti, sekurang-kurang pembeli kenderaan terpakai berasa lebih selamat kerana kenderaan yang dibeli itu bukannya kenderaan potong sambung atau dicuri.

Rabu, April 13, 2011

KES IKAN PATIN UJI KEBERKESANAN AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN



Akhbar pada hari ini menyiarkan berita tentang sekumpulan 50 orang yang dikenakan bayaran sebanyak RM13,000 selepas menikmati hidangan ikan Patin di Temerloh, Pahang. Pelanggan tersebut terkejut kerana dikenakan caj yang begitu tinggi, seolah-olah harga di hotel 6 bintang.

Kes seperti ini telah biasa berlaku sebelum ini. Pelanggan dikenakan harga makanan yang tidak menentu, dan adakalanya tidak munasabah. Namun disebabkan harga makanan di restoran atau gerai bukannya barang kawalan, dan pihak restoran sendiri ada meletakkan senarai harga, maka pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap restoran tersebut. Sebelum 1 April 2011, peraturan berkaitan harga tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

Namun, pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 telah dikuatkuasakan, bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Di bawah akta ini, selain daripada kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, peniaga juga boleh dikenakan tindakan sekiranya menjual barang dengan harga yang keterlaluan atau tidak munasabah.

Dalam kes ikan patin itu, mungkin pengusaha restoran ada meletakkan senarai harga, cuma pelanggan tersebut tidak memberikan perhatian dengan anggapan bahawa harga makanan di restoran itu sama seperti restoran yang lain. Namun disebabkan ikan patin itu adalah hidangan yang istimewa, dan dikatakan memang harganya mahal, maka pengusaha restoran perlu meletakkan tanda harga yang jelas untuk dilihat oleh pelanggan supaya mereka mengetahui harga hidangan sebelum memakannya.

Dikatakan ikan patin buah atau patin muncung dijual antara RM90 hingga RM190 sekilogram. Apabila ia telah dimasak, harganya antara RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiz. Bagi ikan patin sangkar pula, harganya RM15 sekilogram, dan setelah dimasak, harganya RM5 hingga RM7 seketul.

Oleh itu, dengan berkuatkuasanya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, pelanggan yang kena membayar hidangan ikan patin sebanyak RM13,000 hendaklah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya siasatan boleh dilakukan terhadap pengusaha restoran tersebut sama ada telah melakukan kesalahan di bawah akta ini. Kes ikan patin ini boleh dijadikan sebagai kes perintis bagi menguji keberkesanan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan ini, sama ada ia mampu melindungi kepentingan pengguna.

Di bawah akta ini, pihak yang disabitkan kesalahan, jika individu boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan seterusnya boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Syarikat yang disabitkan kesalahan pula, boleh didenda tidak lebih RM500,000, dan kesalahan seterusnya didenda tidak lebih daripada RM1 juta.

FOMCA berharap KPDNKK menggunakan akta ini untuk melindungi pengguna yang menghadapi masalah peniaga yang meletakkan harga barang dan perkhidmatan mereka dengan sesuka hati. Pengguna yang menghadapi masalah seperti ini boleh membuat aduan kepada KPDNKK di talian bebas tol: 1800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di 03-78779000.

Dalam masa yang sama, pengguna juga perlu berhati-hati. Lihat senarai harga terlebih dahulu sebelum makan. Ini bertujuan untuk mengelak daripada terpaksa membayar harga makanan yang tinggi.

Jumaat, April 08, 2011

ABAI PANGGILAN MINTA MAKLUMAT PERIBADI


7 April 2011

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta mengabaikan panggilan telefon, SMS dan e-mel yang meminta mendedahkan maklumat peribadi dengan alasan akaun bank atau kad kredit diceroboh pihak ketiga.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, segala urusan berkaitan maklumat peribadi individu perlu dilakukan di kaunter bank terbabit.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai sindiket penipuan antarabangsa yang aktif sejak dua tahun lalu dan dipercayai didalangi warga Taiwan.

Sindiket itu juga berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM10 juta membabitkan hampir 200 mangsa.

“Penggunaan medium pengantara seperti telefon dan e-mel tidak boleh dipercayai berikutan ia bersifat maya malah kita juga tidak mengetahui siapa sebenarnya di sebalik saluran itu.

“Jika benar akaun bank pengguna mengalami masalah seperti diceroboh pihak ketiga, mereka tidak perlu panik kerana terdapat talian khas disediakan bank bertanyakan hal itu,” katanya.

Isnin, April 04, 2011

PERLU BIJAK BEZA SKIM PIRAMID, MLM


4 April 2011

KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan supaya lebih bijak untuk membezakan perniagaan jualan langsung berbilang tingkat (MLM) yang dibenarkan atau tidak dibenarkan kerajaan bagi mengelakkan dipergunakan pihak tertentu.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman mengakui pihaknya banyak menerima aduan orang ramai mengenai MLM, malah ia antara aduan tertinggi diterima Fomca.

“Kebanyakan pengguna keliru dan tersalah tafsir mengenai MLM. Mereka perlu sedar jika ia bersifat untuk mendapatkan keuntungan dalam bentuk mata ganjaran, bonus dan penajaan, ia MLM yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, promosi juga dilakukan bertujuan untuk menambah ahli dan terpaksa memenuhi syarat termasuk membeli produk berkenaan. Ini menyalahi Akta Jualan Langsung.

“Kemungkinan ramai pengguna tidak sedar dalam jualan langsung wujudnya tempoh bertenang selama 10 hari sebelum mereka bersetuju untuk membeli atau menggunakan barang dan perkhidmatan ditawarkan.

“Namun, tempoh ini tidak lagi diamalkan dalam MLM dan ia seolah-olah mendesak pelanggan untuk membeli barangan terbabit. “Berbanding MLM yang dibenarkan kerajaan, penerangan lebih tertumpu kepada produk yang ingin dijual kepada orang ramai termasuk penggunaan dan kelebihan barangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam mengenai penceramah bebas, Akhil Hayy yang didakwa menjalankan perniagaan berteraskan sistem piramid dan tohmahan itu dilemparkan terhadapnya menerusi blog.

Penyanyi nasyid itu dituduh menjalankan perniagaan membekal dan pengeluar produk minyak wangi dan produk kesihatan untuk orang Melayu yang ketinggalan zaman dan tidak berpelajaran. Dalam masa sama, dia juga didakwa menipu orang Melayu dengan skim piramid yang dilancarkan.

Bagaimanapun, beliau menafikan tohmahan berkenaan dan menyatakan perniagaan dijalankannya lebih menitikberatkan perniagaan berteraskan ‘trading’ atau pemasaran satu tingkat (SLM).

Jumaat, April 01, 2011

AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN LINDUNGI PENGGUNA DARIPADA PENIAGA MENGAUT KEUNTUNGAN BERLEBIH-LEBIHAN


1 April 2011

Bermula pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 akan dikuatkuasakan. Akta baru ini menggantikan Akta Kawalan Harga yang telah wujud semenjak tahun 1946.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan ini merupakan akta yang amat penting bagi pengguna kerana ia dapat melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan.

Dalam akta ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Pengawal harga, dengan kelulusan Menteri KPDNKK, diberi kuasa untuk menentukan harga dan caj maksimum, minimum atau tetap harga dan perkhidmatan bagi setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit.

Akta ini juga meneruskan peraturan dalam Akta sebelum ini, iaitu penjual barang dan perkhidmatan hendaklah mempamerkan senarai harga barang dan perkhidmatan di tempat yang mudah untuk dilihat oleh pelanggan.

Kepentingan utama akta ini adalah untuk menetapkan peraturan bagi memastikan tidak ada peniaga menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah. Akta ini memberi kuasa kepada Menteri PDNKK untuk menetapkan satu mekanisme penetapan harga yang munasabah berdasarkan elemen-elemen dalam penetapan harga, seperti cukai, kos pembekal, keadaan penawaran dan permintaan, keadaan geografi dan pasaran serta faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kedudukan harga.

Bagi membantu dalam pelaksanaan akta ini, sebuah Majlis Penasihat Harga ditubuhkan, Majlis ini berperanan untuk menasihatkan Menteri PDNKK berkaitan dengan perbuatan mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan dan hal-hal lain yang berkenaan dengan harga serta caj barang dan perkhidmatan.

Majlis Penasihat Harga ini dianggotai oleh Ketua Setiausaha KPDNKK atau wakilnya dan 10 orang ahli lain, yang terdiri daripada empat orang wakil daripada kerajaan dan enam orang daripada orang awam, industri dan pertubuhan bukan kerajaan.

Peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan. Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya, dikenakan denda sehingga RM1 juta.

Pengguna yang mendapati ada peniaga yang menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah hendaklah membuat aduan kepada KPDNKK di talian 1800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau melalui laman web www.nccc.org.my.