Selasa, April 10, 2007

Fomca gesa ambil tindakan ejen penipu

KUALA LUMPUR: “Tidak boleh dibiarkan dan perlu ambil tindakan segera,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, mengenai tindakan segelintir ejen syarikat jualan langsung yang tergamak menipu golongan orang kurang upaya (OKU) semata-mata mahu mengaut keuntungan mudah.

Katanya, tindakan ejen seperti itu bertentangan dengan pelan pemasaran asal seperti dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, kebanyakan syarikat jualan langsung kini lebih menekankan penajaan ahli baru dan setiap ahli baru perlu membeli sejumlah produk dengan nilai tertentu bagi membolehkan mereka memperoleh insentif ditawarkan.

Sebaliknya, kata beliau, KPDNHEP menetapkan syarikat jualan langsung menekankan penjualan produk mereka terus kepada pengguna yang akan menggunakan produk itu.

Justeru, katanya, kerajaan perlu bertindak segera, termasuk mengambil tindakan mengikut Akta Jualan Langsung bagi memastikan orang ramai tidak terus jadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

“Hari ini, ada kira-kira 600 syarikat jualan langsung dan hanya sedikit mendaftar dengan Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM). Jadi syarikat yang tidak mendaftar dengan mana-mana persatuan jualan langsung inilah yang banyak menjalankan operasi menyalahi peraturan.

“Mereka bukan saja mengamalkan operasi ala skim piramid atau jadi dalang kepada penipuan skim gores dan menang, malah terbabit dalam penipuan seperti ini,” katanya yang turut mengakui Fomca turut menerima aduan penipuan daripada OKU.

Mohd Yusof berkata, selain OKU, mereka yang menghadapi kegemukan juga sering jadi mangsa pihak tidak beretika itu bagi memastikan produk mereka berjaya dijual.

“Sebenarnya, kes mangsa ditipu sudah banyak disiarkan media dan saya pasti ramai lagi menjadi mangsa ejen syarikat jualan langsung ini, tetapi mereka tidak tahu hendak buat apa atau saluran mana harus diikuti.

“Saya sarankan mangsa tampil buat aduan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Metro Ahad, 8 April 2007

Tiada ulasan: