Isnin, April 30, 2007

Sungai kotor selagi sikap tak berubah

KENYATAAN tegas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid mengenai kegagalan kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ memang tepat memandangkan kegagalan kempen yang dilaksanakan sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, cadangan memberikan peruntukan RM7 juta untuk mengadakan kempen baru, dengan wang RM10,000 diberikan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) adalah tindakan agak mengejutkan dan tidak wajar.

Walaupun banyak wang dan masa digunakan untuk menjayakan kempen berkenaan, aktiviti kempen ini gagal mencapai sasarannya di kalangan masyarakat. Satu punca kegagalan ialah pendekatan digunakan sepanjang kempen.

Ia tidak mungkin dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dengan hanya meletakkan papan tanda, menjalankan kegiatan landskap dan slogan yang hebat.

Untuk mengubah pemikiran masyarakat, kegiatan perlu dijuruskan kepada orang perseorangan bagi mewujudkan ‘perasaan kepunyaan’ masyarakat terhadap sungai.

Walaupun tiada petanda jelas bahawa kegagalan sama akan berulang dalam kempen kedua bernilai RM7 juta ini, dengan memberikan peruntukan RM10,000 kepada setiap Adun dan Ahli Parlimen belum tentu kesedaran mencintai kebersihan sungai sampai kepada masyarakat.

Tambahan pula, mereka yang menjadi wakil rakyat perlu menjalankan peranan ini secara sukarela, iaitu sesuatu yang tidak pernah berlaku pada masa lalu.

Adalah wajar jika peruntukan berkenaan disalurkan kepada sekolah yang terletak berhampiran sungai. Kajian dan penyelidikan di seluruh dunia menunjukkan untuk melahirkan kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar di kalangan masyarakat ialah dengan menukar pemikiran mereka sejak kecil lagi.

Oleh itu, sekolah sebagai institusi awam perlu menjadi saluran bagi mendidik pelajar mengenai alam sekitar dan pemuliharaan sungai.

Satu lagi kaedah memastikan pembabitan sekolah dan pelajar ialah dengan merombak kelab alam sekitar sedia ada atau mewujudkan kelab pemuliharaan sungai dengan peruntukan secara tahunan bagi memastikan program dijalankan berterusan.

Kelab ini juga boleh jadi teladan bagi persatuan penduduk di kawasan taman atau kampung berhampiran sungai. Sementara Adun dan Ahli Parlimen perlu berperanan memberikan tunjuk ajar kepada kelab berkenaan agar ia mencapai matlamat, iaitu mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya sungai.

Dengan ini mereka akan memastikan sungai tidak dicemari. Mereka juga akan mengambil langkah memastikan sisa buangan dapur seperti pencuci pakaian yang tidak boleh dibiodegrasikan, sisa minyak masak dan bahan kimia yang digunakan di rumah tidak mengalir ke longkang dan seterusnya ke sungai.

Selain itu, mereka juga dapat mendidik masyarakat mengenai bahaya menggunakan bahan kimia yang boleh merosakkan alam sekitar.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yakin pembabitan masyarakat pada peringkat akar umbi dalam usaha pemuliharaan sungai amat penting. Selain dapat mengurangkan tahap pencemaran, mereka juga boleh menjadi pemantau bagi memastikan industri yang beroperasi di sekitar perumahan mereka, tidak mencemarkan sungai. Pendekatan ini terbukti berjaya di beberapa negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan negara membangun seperti Filipina dan India.

Sudah tiba masanya kita mengambil pendekatan baru. Pendekatan ini bukan saja dapat mewujudkan kesedaran, tetapi juga mendidik dan melatih sekumpulan ahli masyarakat mengenai kesan negatif daripada amalan seharian terhadap sungai, masalah kesihatan yang akan dihadapi dan kekurangan air jika pencemaran sungai ini tidak diatasi.

Walaupun tugasan ini agak sukar dilaksana, ia boleh berjaya jika mendapat kerjasama seluruh anggota masyarakat.

MARIMUTHU NADASON,
Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca)

Surat & Emel, Berita Harian
28 April 2007

Tiada ulasan: