Isnin, April 30, 2007

ATASI SEGERA KEKURANGAN MINYAK MASAK

Para pengguna di Selangor, Perak, Pahang dan Johor dilaporkan menghadapi masalah untuk mendapat bekalan minyak masak paket 1 kilogram. Ada peniaga pula mendakwa mereka tidak menjual minyak masak paket kerana pembekal menetapkan harga melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Pada masa ini harga siling bagi minyak masak paket 1 kilogram sebanyak RM2.50.

FOMCA memandang serius dengan masalah kekurangan minyak masak ini. Nampaknya apa yang berlaku kepada krisis kekurangan gula pasir dahulu telah melanda kepada minyak masak pula. Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah kekurangan minyak masak ini agar apa yang berlaku kepada gula pasir dahulu tidak berulang lagi.

Berdasarkan kepada masalah yang dihadapi ketika krisis gula dahulu dan kini minyak masak, ia disebabkan oleh sikap pembekal atau pemborong yang menjual melebihi daripada siling yang ditetapkan. Akta kawalan Harga 1946, meletakkan 11 barangan keperluan di bawah harga kawalan secara pentadbiran. Kawalan harga tersebut bermaksud peruncit tidak boleh menjual melebihi daripada siling yang ditetapkan kepada pengguna. Walau bagaimanapun, Akta ini tidak mengenakan kawalan harga terhadap pembekal atau pemborong. Sekiranya pembekal atau pemborong ini meletakkan harga melebihi harga siling, maka peruncit akan menghadapi masalah untuk menjual barangan mereka pada harga siling yang ditetapkan kerana ia akan menyalahi peraturan. Langkah yang biasa diambil oleh peruncit bagi mengatasi masalah ini ialah dengan tidak menerima bekalan barangan keperluan tersebut.

Di sinilah letaknya masalah yang terdapat dalam sistem kawalan harga yang ditetapkan oleh kerajaan. Kawalan harga sepatutnya juga dibuat di peringkat pengilang dan pemborong. Ini memastikan struktur harga yang ditetapkan di peringkat-peringkat ini tidak melebihi harga siling.

Oleh itu, FOMCA meminta agar kerajaan mengkaji semula struktur penetapan harga siling bagi barang kawalan ini agar ia ditetapkan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan bahawa bekalan barangan keperluan asas pengguna tidak dimonopoli oleh sekumpulan syarikat sahaja. Ia perlu dibuka seluas-luasnya kepada syarikat-syarikat lain dengan menetapkan mereka perlu memohon lesen terlebih dahulu bagi memastikan kawalan dan pemantauan dapat dilaksanakan.

FOMCA berharap kerajaan dapat mengatasi segera kekurangan bekalan minyak masak paket 1 kilogram ini dengan segera agar para pengguna tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkannya.

Tiada ulasan: