Khamis, Mei 03, 2007

BERSEDIAKAH PENGUSAHA DI NEGARA KITA BERSAING SECARA SIHAT?

Cadangan Lembaga Pelesenan kenderaan Perdagangan untuk membenarkan pengusaha pengangkutan awam khususnya bas ekspres untuk menetapkan tambang sendiri berdasarkan kepada kualiti perkhidmatan dan kedudukan pasaran perlu diberikan perhatian yang serius.

Memang cadangan ini mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah pengguna berpeluang untuk membuat perbandingan harga berdasarkan kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengusaha pengangkutan awam tersebut. Dengan cara ini pengguna akan mendapatkan perkhidmatan berdasarkan kepada nilai wang yang dibayar. Bagi memastikan perkhidmatan mereka menjadi pilihan pengguna, pengusaha pengangkutan awam akan berusaha untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan mereka dan menawarkan tambang yang kompetitif demi untuk bersaing dengan pengusaha pengangkutan yang lain. Dalam keadaan seperti ini adakalanya tambang tersebut mungkin lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan pada masa ini.

Namun begitu, keburukan daripada cadangan ini ialah sekiranya wujudnya pakatan di antara pengusaha ini untuk menetapkan satu kadar tertentu yang mungkin lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan sekarang. Oleh itu pengguna akan berhadapan dengan masalah tambang yang lebih tinggi di samping kualiti perkhidmatan masih ditakuk lama. Dalam hal ini, FOMCA mencadangkan LPKP perlu menetapkan kadar tambang siling bagi memastikan kadar tambang yang bakal ditetapkan oleh pengusaha dalam lingkungan tidak melebihi harga siling yang ditetapkan.

Persoalan yang timbul berdasarkan cadangan LPKP tersebut ialah bersediakah pengusaha pengangkutan awam ini untuk bersaing secara yang sihat, dengan menjadikan kepentingan dan keselesaan pengguna sebagai matlamat perkhidmatan mereka. Mereka berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dengan kadar sewajarnya. Sekiranya jaminan ini dapat diberikan, maka cadangan LPKP ini boleh diberikan pertimbangan yang sewajarnya dan pengguna akan menikmati kebaikan daripada persaingan yang sihat itu.

Apa yang sering para pengguna sering hadapi pada masa ini ialah pengusaha pengangkutan awam sering mengambil kesempatan dengan menaikkan tambang mereka apabila wujudnya permintaan yang tinggi walaupun LPKP telah menetapkan kadar tambang. Sebelum ini terdapat aduan tentang syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang sehingga RM220 bagi perjalanan sehala dari Johor Bahru ke Pulau Pinang semasa musim perayaan tahun Cina. Begitu juga dengan perkhidmatan teksi yang mengenakan kadar bayaran yang tinggi kepada pengguna dan sering pula tidak menggunakan meter sebagaimana yang dikehendaki oleh LPKP.

Dalam keadaan pengguna yang sering dihimpit dengan masalah seperti ini pun, LPKP dilihat gagal melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengangkutan awam yang tidak mematuhi peraturan ini. Apatah lagi apabila mereka ini diberikan `lesen’ untuk menetapkan sendiri kadar tambang. Adakah cadangan ini sebagai salah satu cara untuk LPKP melepaskan tanggungjawab sebenar mereka?

Memang dalam keadaan pasaran yang global ini, kerajaan tidak boleh mengenakan kawalan terhadap harga barangan atau perkhidmatan. Apatah lagi dengan wujudkannya dasar liberalisasi pasaran dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Namun begitu kerajaan juga perlu melihat kepentingan para pengguna agar harga barangan dan perkhidmatan pada kadar yang kompetitif, yang tidak membebankan para pengguna, setimpal dengan pendapatan mereka.

Pengguna di negara-negara maju dan membangun tidak menghadapi masalah dengan liberalisasi pasaran kerana para peniaga dan pengusaha perkhidmatan mewujudkan persaingan yang sihat sehingga pengguna mendapat banyak manfaat daripadanya. Mereka mempunyai pilihan untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan berdasarkan harga dan kualiti. Jika mereka mempunyai kewangan yang terhad, mereka akan memilih barangan atau perkhidmatan yang berharga rendah dan kurang berkualiti. Begitu sebaliknya jika mereka inginkan perkhidmatan yang berkualiti, maka mereka bersedia membayar pada harga yang lebih tinggi. Mereka tidak khuatir dengan sikap peniaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka kerana peniaga sering menjadikan pengguna sebagai aset penting bagi perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Adakah keadaan ini wujud di negara kita? Bagi sesetengah barangan atau perkhidmatan, ia lebih berbentuk monopoli sehingga pengguna terpaksa membayar walau berapapun kadar yang ditetapkan. Akhirnya pengguna yang berpendapatan rendah akan dinafikan untuk menikmati hak mendapatkan keperluan asas pada kadar yang mampu dibayar dan mudah diperolehi.

Tiada ulasan: