Rabu, Mei 23, 2007

FOMCA GESA PENGGUNA BANDING HARGA BARANG

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata pengguna hendaklah membandingkan harga barangan bagi membolehkan mereka memulau peniaga atau premis perniagaan yang menaikkan harga barang ekoran kenaikan gaji kakitangan awam.

Pengarah Komunikasi FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pengguna harus bijak menggunakan kuasa mereka dengan cara membandingkan harga antara peniaga atau premis perniagaan sebelum membeli sesuatu barang.

Katanya ini kerana tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) jika kenaikan harga itu melibatkan bukan barangan kawalan.

“FOMCA merasakan perlu ada satu mekanisma untuk mengawal keadaan ini kerana di negara lain ada mekanisma seperti Akta Perdagangan Adil yang akan mengambil tindakan sekiranya harga sesuatu barang naik secara keterlaluan,” katanya.

Mengenai cadangan melabel dan mendedahkan premis yang menaikkan harga barang kepada umum, beliau berkata kerajaan boleh mengambil tindakan mendedahkan nama premis yang terbabit melalui media atau di tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi meminta rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna secara bijaksana dengan mendedahkan para peniaga yang menaikkan harga barang.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli berkata orang ramai hendaklah menggunakan kuasa sebagai pembeli bagi menangani masalah peniaga menaikkan harga barangan, satu fenomena penyakit sosial yang boleh diselesaikan masyarakat.

Menasihati pengguna supaya tidak melanggan di premis perniagaan yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: “Saya yakin jika kita bertindak bijak, peniaga tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Gerik di sini hari ini, Menteri Besar itu berkata orang ramai mesti bijak memilih kedai atau perkhidmatan yang menyediakan harga berpatutan.

Tajol Rosli berkata tidak ada gunanya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam jika kos hidup mereka tetap tinggi disebabkan tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

Walaupun kerajaan boleh mengawal harga barang perlu yang dikawal harganya, orang ramai katanya bertanggungjawab membantu kerajaan memastikan harga barangan lain tidak dinaikkan sesuka hati.

Orang ramai boleh mengekang kenaikan harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab itu dengan mengurangkan kekerapan penggunaan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang bukan keperluan harian.

– BERNAMA

Tiada ulasan: