Isnin, Mei 21, 2007

PENGGUNA BOLEH GUNA KUASA PULAU KEDAI

RAKYAT, terutama yang bergantung kepada gaji bulanan bagi menyara keluarga, tentunya menaruh harapan tinggi terhadap Bajet 2008 yang bakal dibentangkan beberapa bulan lagi. Ini berikutan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, memberi jaminan kerajaan akan memastikan usaha mengekang kenaikan harga barang diberi keutamaan dalam belanjawan itu. Jaminan itu kena pada waktunya ketika pelbagai barang keperluan mencatatkan kenaikan harga. Terbaru, harga siling tepung gandum dinaikkan 15 sen sekilogram, daripada RM1.20 kepada RM1.35 ekoran peningkatan harga bahan itu di pasaran dunia selain kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan. Sama ada kita suka atau tidak, kenaikan harga bahan itu terpaksa diterima kerana gandum diimport dari Australia, New Zealand dan United Kingdom. Apa yang membimbangkan kita ialah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang berasaskan tepung sewenang-wenang terutama roti, biskut, roti canai dan kuih-muih. Walaupun kerajaan memberi amaran kenaikan barang tidak harus melebihi 10 peratus daripada kadar kenaikan tepung gandum sebanyak 15 sen itu, sudah ada restoran mamak yang menaikkan harga roti canai antara 10 hingga 20 sen.

Kita percaya keghairahan peniaga menaikkan harga barang keperluan harian ada kaitan dengan janji kerajaan untuk mengkaji gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, tidak lama lagi. Peniaga ternyata menaikkan dulu harga barang sebelum kerajaan menambah gaji kakitangan awam. Harga beberapa barang dapur dan makanan dilaporkan naik antara lima hingga 15 peratus. Antara alasan pemborong dan peniaga kedai runcit ialah kononnya pengilang menaikkan harga sehingga mereka tiada pilihan lain kecuali menjual pada harga lebih tinggi kepada peruncit. Pengguna pula merungut kerana harga barang naik pada kadar tidak munasabah. Kita kerap mendengar amaran demi amaran daripada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

Malah kita turut didedahkan laporan mengenai tindakan terhadap peniaga berkenaan. Walau apa juga alasan yang diberikan golongan ini termasuk pengilang seperti kenaikan kos operasi dan sebagainya, tindakan menaikkan harga barang runcit sesuka hati menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab selain tidak prihatin terhadap kemampuan rakyat khususnya golongan pendapatan rendah. Kita juga tidak mahu berikutan kenaikan itu, kadar inflasi negara yang dijangka berada pada paras rendah dalam jajaran antara 1.9 peratus hingga 2.5 peratus mulai Mac lalu hingga akhir tahun ini, akan turut melonjak. Antara faktor Indeks Harga Pengguna (IHP), iaitu pengukur inflasi kekal di atas dua peratus, adalah kenaikan harga makanan dan minuman.

Kerana itu, kita amat berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah. Pemantauan terhadap 255 jenis barang pengguna setiap minggu bagi memastikan harganya tidak melebihi paras harga siling ditetapkan perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh bukan saja ke atas peruncit malah pengilang dan pemborong yang boleh menipu dengan cara halus. Selain mengharapkan pihak berkuasa, kita sebagai pengguna harus memainkan peranan mengajar peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan memboikot kedai atau restoran mereka.

Berita Harian
17 Mei 2007

Tiada ulasan: