Pendapat
KRISIS minyak masak sawit peket plastik satu kilogram telah berlarutan hampir satu bulan tanpa menampakkan tanda-tanda penyelesaiannya. Dalam pada itu, kerajaan terus bertegas untuk mengekalkan harga siling minyak masak peket plastik sebanyak RM2.50 satu kilogram bagi Semenanjung Malaysia bagi melindungi kepentingan para pengguna.
Jika kita mengimbau kembali krisis bekalan gula pasir pada tahun lalu, ia berlaku ketika harga gula mentah di pasaran antarabangsa telah meningkat. Ini menyebabkan pengeluar gula tidak berminat untuk mengeluarkan gula pasir yang dikawal harganya pada paras siling RM1.45 satu kilogram, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pengeluaran gula halus yang ketika itu tidak dikawal harganya.
Lantas bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan telah mengenakan harga siling di peringkat pengilang dan pemborong bagi gula pasir dan juga gula halus. Hasil daripada langkah tersebut, krisis gula pasir telah pulih seperti sedia kala.
Senario yang serupa berlaku kepada minyak masak sawit. Dalam keadaan harga minyak sawit mentah mencecah RM2,300 setan, pengilang minyak masak sawit telah mengurangkan pengeluaran minyak masak dalam peket plastik satu kilogram atau dalam tin yang dijual kepada peruncit untuk dibungkus semula dalam peket plastik satu kilogram.
Sebaliknya pengilang telah meningkatkan pengeluaran minyak masak dalam botol yang harga silingnya sebanyak RM3.30 satu kilogram bagi minyak sawit tulen atau RM3.60 bagi minyak masak sawit campuran. Selain itu, ada juga pengilang yang mengeluarkan minyak masak sawit yang telah diperkayakan kandungannya dengan menambah vitamin tertentu, yang harganya langsung tidak dikawal di bawah Akta Kawalan Harga 1946.
Oleh sebab itulah, bekalan minyak masak peket plastik telah berkurangan di pasaran. sebaliknya bekalan minyak masak sawit dalam botol tidak terjejas. Ini menunjukkan tidak wujudnya masalah bekalan minyak masak sawit, sebaliknya berlaku manipulasi pengeluaran di peringkat pengilangan minyak masak sawit. Dengan cara ini pengilang dapat memastikan kos pengeluaran mereka tidak terjejas disebabkan oleh kenaikan harga minyak sawit mentah,
Di samping itu, pemborong pula menjual harga minyak masak peket plastik atau dalam tin pada harga yang lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan. Ini menyebabkan peruncit enggan menerima bekalan atau terpaksa berhadapan dengan tindakan apabila menjual melebihi harga siling.
Keadaan kekurangan bekalan minyak masak sawit plastik satu kilogram ini telah mewujudkan tekanan kepada pengguna untuk terpaksa membeli minyak masak sawit dalam botol pula.
Dengan mengambil iktibar kaedah kerajaan mengatasi krisis bekalan gula pasir dahulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat kerajaan harus menggunakan kaedah yang sama terhadap minyak masak sawit ini.
Mengatasi
Pertama, bagi mengatasi masalah pemborong yang menjual kepada peruncit melebihi harga siling, kerajaan perlu menetapkan harga kawalan pada peringkat pengilang dan pemborong juga. Kedua, untuk memastikan pengilang terus mengeluarkan minyak masak peket plastik, kerajaan perlu mengenakan kuota pengeluaran kepada pengilang berdasarkan jumlah penggunaan biasa minyak masak jenis ini di kalangan pengguna.
Ini boleh dilakukan di peringkat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, melalui Akta Kawalan Bekalan 1961. Dengan cara ini, pengilang terpaksa mengeluarkan minyak masak peket plastik berdasarkan kuota yang ditetapkan, dan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran minyak masak sawit dalam botol atau minyak masak sawit yang telah diperkayakan.
Bagi mengatasi masalah peningkatan kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh pengilang minyak masak pula, kerajaan boleh melaksanakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak sebagaimana pada tahun 1997. Dalam skim ini, pengeluar kelapa sawit dikehendaki membayar ses untuk dimasukkan ke dalam Dana Akaun Amanah Industri atau dikenakan cukai ‘windfall” berdasarkan paras harga minyak sawit mentah semasa. Ses dan cukai ini kemudiannya diberikan kepada pengilang minyak masak dalam bentuk subsidi, berdasarkan kepada perbezaan kos pengeluaran dan harga minyak masak yang ditetapkan.
Pada tahun 1997, kerajaan mengenakan ses sebanyak 50 sen bagi setiap RM10 kenaikan harga minyak sawit mentah melebihi RM1,450 satu tan, dan pada tahun 1998 pula, kerajaan mengenakan cukai ‘windfall’ sebanyak RM50 satu tan bagi harga minyak sawit mentah melebihi RM2,000 satu tan.
Jika langkah-langkah ini dilaksanakan, krisis bekalan minyak masak peket plastik yang melanda pada masa ini dapat dipulihkan. Di samping itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan bagi membanteras amalan menyorok stok minyak masak sawit dan kegiatan penyeludupan ke negara jiran.
– MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi FOMCA.
Ruangan Pendapat, Utusan Malaysia
7 Mei 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan