Isnin, Mei 21, 2007

SYOR TUBUHKAN SURUHANJAYA HARGA NEGARA

BATU PAHAT: Biro Ekonomi Umno Bahagian Batu Pahat menyarankan kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Harga Negara (SHN) bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Sehat Mahmud, berkata langkah berkenaan perlu untuk mengelak rakyat menjadi mangsa dan menanggung beban kesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, antara fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya terbabit ialah memantau kenaikan harga barangan keperluan di samping mengelak pengeluaran atau pengedarannya dimonopoli pembekal atau pemborong tertentu.

Katanya, penubuhan suruhanjaya berkenaan dapat membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat pertimbangan wajar terhadap permohonan menaikkan harga barangan yang dikemuka pihak terbabit.

"Pada masa ini, kita mendengar pengeluar serta pemborong barangan tertentu mengemukakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga sesuatu barangan, terutama barangan kawalan.

"Dalam keadaan seperti ini, SHN perlu menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kebenaran asas dakwaan permasalahan dihadapi pembekal atau pemborong terbabit. Siasatan wajar mencakupi beberapa perkara penting seperti dakwaan yang mengatakan pengeluar serta pembekal mengalami kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan membenarkan pengilang menaikkan harga siling tepung gandum sebanyak 15 sen bagi setiap kilogram.

Kebenaran diberikan itu, katanya, bakal menyebabkan berlaku tindak balas rantaian yang mendorong pengeluar barangan berasaskan tepung gandum menaikkan harga produk masing-masing dan ini akan memberi kesan negatif ketara terhadap perbelanjaan dan kehidupan rakyat.

"Kenaikan harga tepung gandum didakwa pihak kementerian sebagai tidak dapat dielakkan, dipercayai bakal memberi banyak kesan negatif kepada pengguna.

"Dalam hal ini, saya berpendapat pihak kementerian sewajarnya lebih bertanggungjawab membela nasib rakyat dan tidak mudah tunduk kepada desakan pihak tertentu," katanya.

Tiada ulasan: