Isnin, Mei 21, 2007

SURUHANJAYA HARGA PATUT DITUBUH

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNDHEP) mengumumkan kenaikan harga siling bagi tepung gandum sebanyak 15 sen, menjadikan harganya kini, RM1.35 satu kilogram.

Antara sebab yang diberikan bagi menaikkan harga kawalan tepung gandum ialah peningkatan kos pengeluaran pada peringkat antarabangsa kerana sebahagian besar gandum digunakan untuk memproses tepung gandum di negara ini diimport dari Australia atau United Kingdom.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) bimbang kenaikan harga tepung gandum ini akan menyebabkan kenaikan bahan berasaskan tepung khususnya bahan makanan seperti roti, roti canai, kuih-muih dan sebagainya.

Fomca berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna terlebih dulu sebelum sesuatu kenaikan harga barang atau perkhidmatan dilakukan. Tindakan ini bagi memastikan kenaikan harga berkenaan tidak membebankan pengguna.

Satu daripada mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Menerusi Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan suruhanjaya ini yang membabitkan kerajaan, pengeluar/pengilang dan pengguna.

Sekiranya ada alasan yang wajar bagi kenaikan, maka kenaikan itu akan dibenarkan. Suruhanjaya ini juga akan membincangkan sekiranya struktur harga sesuatu barang itu perlu disemak semula selepas sekian lama ia ditetapkan.

Ada antara 11 barang kawalan itu tidak disemak sejak mula ia ditetapkan. Sekiranya semakan semula itu dilakukan secara berkala, sebarang kenaikan yang berlaku adalah kecil dan ia tidak akan menjejaskan kos pengeluaran dan pengguna tidak akan berasa beban kenaikannya.

Oleh kerana tidak wujud Suruhanjaya Harga pada masa ini, maka apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga sesuatu barang, kenaikan berkenaan agak tinggi sehingga pelbagai pihak mengalami kesan kenaikan itu.

Apabila timbul ura-ura mengenai kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan, beberapa barang bukan kawalan mengalami kenaikan harga. Ia disebabkan tindakan sesetengah pihak yang ingin meraih faedah daripada kenaikan gaji.

Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya kenaikan harga berlaku.

Justeru, Fomca meminta supaya digubal Akta Perdagangan Adil agar sesuatu tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barang bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya.

Menerusi Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barang yang dijual, sama ada barang berkenaan dikawal ataupun tidak.

Pada masa ini,KPDNDHEP sedang menggubal Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA).

Namun, peraturan ini lebih memberikan tumpuan kepada persaingan tidak sihat dalam sektor industri saja dan tidak mengandungi peruntukan antara peniaga dengan pengguna.

KPDNHEP wajar mewujudkan peruntukan dalam Dasar Amalan Perdagangan Adil, iaitu jika wujudnya amalan perniagaan yang tidak beretika termasuk mengenakan harga tidak munasabah, maka tindakan boleh diambil terhadap sesuatu perniagaan, sama ada pada peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Surat & Emel, Berita Harian
17 Mei 2007

Tiada ulasan: